Menjadi seorang wanita bekerjaya memang tidak dapat dinafi cabarannya. Fitrah wanita yang tidaklah seperkasa lelaki bukan suatu alasan untuk melemahkan diri sendiri. Selagi upaya ada, selagi itu kudrat dinyala.
Sudah lapan belas tahun saya bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab yang diamanah ini. Ada waktu-waktunya kepala rasa berat. Berdenyut-denyut. Fikiran rasa serabut. Emosi juga bersimpang siur. Rasa mahu rehat. Rasa mahu bercuti setahun!
Pun, naluri saya tetap waras dalam menaakul dan mencari keputusan. Bukan tidak pernah saya hadir ke sekolah sewaktu badan terasa panas dan lemah. Ya, saya demam tetapi tetap jua mahu ke sekolah kerana saya tidak sanggup menangguhkan tugas yang bertimbun itu. Saya juga ada rasa malu untuk kerap MC atau bercuti rehat. Nampak seperti kurang komited atau mungkin mengambil kesempatan. Kerana itulah, jika tidak benar-benar sakit atau ada temujanji, MC bukanlah pilihan saya.
Alhamdulillah. Tahun lepas hanya sekali saya mengambil MC ketika ada temujanji di klinik pakar. Allah memberi saya kesihatan yang baik walaupun ada waktu-waktunya fizikal dan mental saya tidak berada pada tahap optimum.
Malangnya, ada segelintir guru menganggap MC dan cuti rehat itu sebagai hak mereka dan boleh sahaja mengambilnya sesuka hati. Bila ditegur, ada sahaja alasan yang diberi dan mereka tidak pernah mahu mengambil iktibar apa lagi merasa bersalah.
Sukar juga berdepan golongan ini. Mereka menganggap kesalahan ada di pihak yang menegur sedang mereka ridak bersalah apa-apa. Lalu berulang-ulanglah mereka melakukannya.
Semoga Allah menyentuh hati-hati mereka ini dengan rasa keinsafan.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment