Wednesday, May 25, 2016

Skema

Ini musim peperiksaan. Izinkan saya berbicara tentangnya.

Seperti biasa, soalan peperiksaan pertengahan tahun akan disediakan oleh para penggubal bertauliah yang dipilih oleh Majlis Pengetua. Kami di sekolah hanya membayar harganya sahaja. Soalan tentunya akan disertakan dengan skema jawapan untuk rujukan guru-guru sewaktu menanda nanti.

Entah kerana apa, tiba-tiba diumumkan skema jawapan tiada. Maka riuh rendahlah kedengaran suara-suara tidak puas hati dalam kalangan kami. Saya juga begitu. Apa kes kita membayar tetapi barang tidak dihantar?

Pun marah, marah juga. Penyelesaian mesti dicari. Guru-guru yang sentiasa bersedia, sekejap sahaja sudah dapat menyiapkan skema seperti yang dikehendaki tetapi guru-guru yang hanya suka merungut itu teruslah tidak puas hati.

Benarlah penggubal bersalah dalam hal ini tetapi selesaikah masalah dengan marah-marah? Pada saya, ada skema atau tidak, sama sahaja. Setiap kali sebelum menanda kertas jawapan pelajar saya, saya akan menjawab dulu semua soalan dan meletakkan markah yang sesuai pada jawapannya. Ini memudahkan proses saya menanda nanti kerana jawapan pelajar ada pelbagai. Saya tidak pernah bising-bising bertanya skema kerana saya senang dengan cara saya.

Ada kisah yang mahu saya kongsi. Pada dua tahun lepas, pihak sekolah diarahkan menyediakan soalan sendiri untuk setiap peperiksaan pada sepanjang tahun. Saya ditugaskan menyediakan soalan Matematik Tingkatan Lima untuk pertengahan tahun. Tentunya berserta dengan skema. 

Sewaktu peperiksaan itu berlangsung, saya belum lagi memfotostat skema dek kekangan masa. Sebelum peperiksaan selesai, seorang guru ini sudah mula meminta skema. Saya mohon dia tunggu.

Entah kenapa dia seperti mendesak. Saya sedikit terganggu tetapi tetap memberi dengan segera kepadanya selepas selesai memfotostat. 

Apabila tiba giliran guru ini menyediakan soalan untuk peperiksaan seterusnya, dengan gembiranya dia memaklumkan skematidak diaediakan dan guru yang mengajar kena buat sendiri. Semudah itu penyelesaian di pihaknya. Saya sedikit geram.

Lalu pada peperiksaan seterusnya, saya yang menyediakan soalan terasa mahu bertindak sedikit kasar. Seperti biasa, belum pun habis pelajar menjawab peperiksaan, dia sudah meminta skema dari saya. Dengan nada perli, saya berkata, "ingatkan akak nak buat sendiri. Hari tu kan akak suruh kami buat sendiri je skema?"

"Oh... nak balas dendam la ni?" Selamba dia menjawab.

"Tak. Ada je skema ni.." Ujar saya sambil menghulur salinan skema itu kepadanya. 

Dia mengambil tanpa kata terima kasih pun sebaliknya menjawab lagi, "akak tak reti lah nak buat skema. Tu yang akak suruh u all buat sendiri."

Pulak. Alasan!

Skema pada saya bukanlah keperluan utama. Tetapi sikap dan peribadi itu yang perlu diperbetulkan.


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment