Thursday, May 12, 2016

Mengawas Peperiksaan

Mereka bercakap-cakap. Sudah ditegaskan, ini peperiksaan. Tidak juga mereka mahu diam. Ada suara-suara kecil. Ada kekekan tawa yang entah kerana apa. Sekejap berpaling ke sana dan ke sini. Saya melarang dengan suara keras. Diamlah sebentar. Kemudian berulang lagi. Saya berleter. Mereka tetap juga begitu. Panas hati saya Tuhan jua yang tahu.

Hari ini, saya ke kelas itu lagi. Tidak sanggup saya memikir suasananya. Peperiksaan yang bukan seperti peperiksaan. Puas melarang, puas berleter, suasana tetap begitu.

Usai mengedar kertas, saya bersuara. 

"Selamat menjawab dengan jujur dan ikhlas. Tunjukkan yang anda ini seorang Muslim sejati. Bukankah kita diajar untuk menjadi orang yang jujur?"

Saya menambah.

"Selama ini saya tak nampak pun kamu ni seperti orang Islam."

"Hah?!"

Serentak mereka bersuara, terkejut mungkin.

"Kenapa? Salahkah kata-kata saya?"

Mereka seperti terpinga.

"Kalau kamu rasa saya salah, tunjukkan yang saya salah. Selamat menjawab."

Saya kembali ke bangku saya. Mereka mula menjawab. Senyap. Diam. Aman.

Berkesan rupanya kata-kata spontan saya tadi. Alhamdulillah. 


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment