Tuesday, March 07, 2017

LDP

Latihan Dalam Perkhidmatan.

Menjadi penjawat awam, kursus sebegini sangat tidak dapat dielakkan. Apabila diedar surat arahan, maka hujung minggu yang sepatutnya dipenuhi agenda bersama keluarga akan terpaksa dikorbankan demi peningkatan profesionalisme yang lebih penting daripada apa jua pun.

Begitu Sabtu lalu. 4 Mac yang menjadi saksi sebuah LDP di SMK Kadok. Mujurlah lokasinya cuma lima minit perjalanan dari rumah saya. Sekurang-kurangnya tidak memaksa saya dan suami bersesak-sesak di jalan raya.

LDP itu dinamakan Kolaboratif LDP Berkelompok dan disertai oleh enam buah sekolah sekitar. SMK Kampong Chengal tempat saya bertugas, SMK Kadok tempat suami saya berbakti juga sebagai tuan rumah, dan empat buah sekolah lagi iaitu SMK Salor, SMK Tanjung Chat, SMK Sering dan SMK Panji. Semuanya sejumlah lebih empat ratus orang guru berkumpul untuk mengikuti LDP ini.

Jam 7.50 pagi, saya dan suami bergerak keluar dari rumah dengan perut kosong. Awalnya saya mahu memasak untuk sarapan tetapi kata suami saya, kita sarapan di kantin sahajalah. Saya akur.

Tiba di SMK Kadok, kami terus menuju ke kantin untuk mengisi perut. Saya cuma menjamah dua biji kuih dan secawan teh o. Belum terbuka selera saya untuk menjamah nasi. Suami saya mengambil sepiring nasi goreng dan teh o ais. Nampaknya kelibat guru-guru di kantin ini hanya dari kalangan guru tuan rumah. Saya mahu mencari rakan-rakan saya dari Chengal. Lalu saya bingkas meninggalkan suami saya dan teman-temannya untuk menuju ke Dewan.

Di Dewan barulah saya ketemu ramai orang. Rakan-rakan guru dari Salor antara yang sempat saya salami. Seronok bertemu rakan lama, masing-masing ceria dan masih seperti dulu juga. Ramah dan mesra.

Selesai mendaftar, saya mengambil tempat duduk yang tentunya berdekatan dengan kipas dan di tepi pintu dewan. Dewan ini panas, jika berada di tengah-tengah tentu saya tidak selesa. 

Sesi pertama, ceramah tentang protokol dan etika oleh pensyarah MSU. Boleh tahan juga menarik walaupun ada isinya yang tidak berkaitan langsung dengan profesion kami. Tak mengapalah. Anggap sahaja ilmu untuk dikongsi.

Jam 10.20 kami diberi rehat dan menjamah sedikit persegaran. Kali ini saya mengambil sepiring nasi goreng untuk mengisi perut yang sudah mula kelaparan.

Sesi kedua pada jam 11.00 pagi, kami dihidangkan dengan ucapan perasmian yang panjang lebar oleh pegawai PPD. Biasalah, mereka pegawai, kami guru. Tentu ada jurang yang memisahkan dan kami pasrah.

Sesi terakhir, ceramah agama oleh seorang ustaz. Saya sudah mula mengantuk. Tajuk ceramah memang gah, "Cemerlang Dunia, Cemerlang Akhirat" tetapi dengan suasana yang semakin panas juga badan yang sudah tidak larat, saya tidak mampu memeberi fokus. Asyik memandang jam berkali-kali, saya sebenarnya mahu segera pulang!

Jam 1.30 tengah hari segalanya tamat. Kami dibekalkan sebungkus nasi untuk santapan tengh hari, dan majlis pun bersurai. Oh ya, lupa satu perkara. Kami sebenarnya diarahkan membayar RM10.00 seorang untuk makan dan sijil. Kelakar, kan? 

Begitulah. Kami akur kerana diarahkan untuk akur.


No comments:

Post a Comment