Wednesday, March 08, 2017

Menunggu

Jam sudah ke angka 4.13 petang, saya masih di sini. Sejak 6.54 pagi lagi saya berada di sini. SMK Kampong Chengal, tempat yang telah Allah tetapkan untuk saya mencari rezeki.

Suasana sudah semakin sunyi, hanya kedengaran suara Fynn Jamal berlagu Arjuna Beta di komputer riba saya ini. Semua guru sudah pulang. Hanya saya, dan beberapa orang kakitangan di pejabat yang masih bertugas.

Seharian hari ini, tugas saya berlangsung penuh lancar walaupun memenatkan. Selesai merealisasikan jadual ganti, saya ke taklimat oleh Tuan Pengetua sebentar di Bilik Mesyuarat. Sedikit pencerahan tentang pengisian borang penilaian kendiri. Saya sudah faham, tuan. Terima kasih.

Jam lapan, saya ke Kelab Pengguna untuk perjumpaan mingguan. Sekejap sahaja, sekadar berbincang tentang tip-tip mengawal perbelanjaan. Jam 8.30 saya lepaskan mereka ke kelas, dan saya ke kantin.

Jam 9.00 saya kembali memaku diri di bilik peperiksaan. Saya meneruskan tugas menyusun soalan peperiksaan Matematik yang akan berlangsung esok. Jam 9.40 saya menuju ke dewan untuk mengawas peperiksaan di sana, sehingga jam 10.40.

Kembali semula saya ke bilik peperiksaan untuk menyambung tugas menyusun kertas-kertas itu. Alhamdulillah, jam 12.00 tengah hari semuanya siap dan saya bergegas ke dewan pula untuk sekali lagi mengawas perjalanan peperiksaan di sana, sehingga ke 1.10 tengah hari.

Makan tengah hari saya hanya semangkuk mihun tom yam dan segelas air limau nipis ais di kantin. Alhamdulillah.

Segera saya kembali ke bilik peperiksaan untuk solat Zohor, dan jam 2.30 petang saya meneruskan tugas dengan kelas tambahan Add Maths tingkatan 4 Ibnu Sina. Alhamdulillah, murid-murid ini kelihatan luar biasa semangatnya. Sebenarnya mereka tiada di sekolah pada sebelah pagi kerana lawatan ke MRSM Kota Bharu. Jam lapan mereka ke sana dan pulang pada jam 2.00 petang. Sangka saya mereka penat dan mahu membatalkan kelas, rupanya tidak. Kesemua sembilan belas murid itu ada dan mereka bersungguh-sungguh belajar. Tuhan, rahmatilah anak-anak ini dan beri mereka kemudahan dalam pelajaran, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Anak-anak begini amat menyejukkan hati dan saya rela mendidik mereka walau sesukar mana pun penerimaan mereka terhadap Matematik Tambahan.

Jam 4.19 petang, deringan telefon dengan nada milik suami saya kedengaran. Dia sudah selesai berurusan di klinik Perol dan akan tiba mengambil saya sekitar lapan minit lagi. Saya perlu berhenti dahulu di sini.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment