Tuesday, March 14, 2017

Ujian Mac



Bermula minggu lepas, ujian pertama untuk tahun ini dijalankan di sekolah ini secara berperingkat. Dimulai dengan pelajar tingkatan lima, seterusnya diikuti oleh tingkatan empat dan hari ini semua tingkatan mendudukinya.

Ujian ini sekadar satu bentuk penilaian awal untuk menilai tahap penerimaan pelajar selepas lapan minggu belajar. Ia tidak selaras pun kerana soalan disediakan oleh guru-guru sendiri. 

Dari pengamatan saya, nampak seperti pelajar-pelajar masih belum mahu bersedia. Mereka masih belum serius sepenuhnya dan ujian ini bukan medan penentu sebenar prestasi mereka. Pun ia tetap relevan kerana dari keputusan ujian inilah nanti pelbagai program akan dirancang bersesuaian dengan pencapaian mereka.

Merenung kembali cerita dahulu, pada tahun saya di tingkatan lima, prestasi akademik saya sememangnya naik mendadak. Daripada tempat ke-175 daripada 298 orang pelajar, saya pantas mendaki ke tangga ke-50 dan semakin meningkat pada ujian seterusnya.

Faktornya ialah persekitaran. Sewaktu tingkatan empat saya memang ralit berkawan dan kurang belajar. Apabila naik ke tingkatan lima, saya dikelaskan dalam kelompok pelajar cemerlang hanya kerana Matematik Tambahan saya mendapat gred B. Padahal mata pelajaran lain semua ke laut! Waktu itu, gred B Matematik Tambahan sangat cemerlang kerana yang mendapat gred A mungkin tidak sampai lima orang.

Saya mula panik. Rakan-rakan baru saya sangat hebat. Sangat terkenal dengan kecemerlangan semua mata pelajaran. Saya?

Lalu bermulalah sebuah transformasi. Diiring doa ayah dan ibu yang tidak pernah padam, Allah menunjuk jalannya kepada saya.

Alhamdulillah. 

Dalam SPM 1989, saya antara yang cemerlang biar pun bukan yang terbaik.

Begitu kenangannya. Ia menjadi indah apabila landasan yang kita lalui tidak kita cemari dengan anasir yang tidak diingini.

Semoga pelajar-pelajar saya yang sedang saya didik ini juga melalui pengalaman indah untuk mereka kenang saat mereka dewasa nanti.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment