Thursday, March 16, 2017

Rutin

SPM 2016 diumum hari ini.

Tidak seperti tahun lepas, ada sedikit debar yang bergetar kala menanti keputusan. Amanah saya untuk 2016 ialah Matematik Tambahan kelas terpandai yang terdiri 22 orang pelajar. Aduhai, mencabar sekali. Takut jika ada yang gagal.

Untuk Matematik Teras saya menggalas beban 32 orang pelajar aliran kemanusiaan kelas ketiga dari belakang. Tidaklah terlalu menekan kerana sasaran untuk mereka biasa-biasa sahaja. Bukan saya memandang rendah tetapi sekadar berpijak di bumi nyata.

Segalanya terjawab pada jam 10 pagi. Pesanan WhatsApp dalam grup sekolah memberi satu nafas lega apabila keputusan keseluruhan berwarna ceria.

Alhamdulillah.

Lalu, tugas rutin saya pun bermula. Berteleku saya di hadapan komputer memasukkan satu persatu keputusan pelajar seramai 169 orang itu. Saya tidak bersendirian. Puan Norma selaku SU Kecemerlangan SPM membantu membacakan gred dan saya mengetuk papan kekunci seirama suara Puan Norma yang bergema.

Suasana di dewan tidak mampu saya rasai. Pada hal saya ingin sekali bertemu pelajar-pelajar saya yang berkumpul di sana untuk majlis penyampaian slip dan juga pengumuman pelajar cemerlang. Sejak 2011, saya tiada peluang itu dek tugas menganalisis ini yang memakan masa agak lama.

Begitulah.

Jam dua petang semua orang pulang tetapi saya masih meneruskan proses analisis saya hingga ke jam 3.30 petang. Selain analisis keseluruhan, saya sediakan juga analisis mengikut kelas, analisis mengikut mata pelajaran dan analisis perbandingan. Apabila semuanya selesai, saya mencetak dan menyediakan sepuluh salinan buku analisis itu untuk diagihkan kepada para pentadbir dan juga untuk simpanan unit peperiksaan. Sendirian saya melakukannya kerana semua orang sudah pulang. Mujur Encik Ghani, pembantu di bilik cetak menolong saya memfotostat. Saya cuma perlu menyusun dan mem"bind" sahaja buku-buku itu.

Ahad ini, saya akan ke sekolah walaupun cuti. Kami para guru diberi cuti seminggu, tetapi tugas saya ini tidak pernah mahu memahami apa itu cuti. Saya perlu mengajar kelas tambahan, meneruskan analisis untuk pelajar asrama pula dan menyelesaikan proses menanda kertas ujian Mac untuk empat kelas yang saya ajar. 

Saya bukan mengeluh. Sungguh ini tanggungjawab yang saya wajib selesaikan demi anak-anak didik yang bakal memberi warna kepada dunia.

Saya cuba untuk menyemai ikhlas agar buahnya dapat saya tuai nanti.

Amin.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment