Thursday, March 02, 2017

Menjahit

Melihat emak menjahit baju-baju kami sewaktu saya kecil dahulu, terliur juga. Biasalah kanak-kanak, apa sahaja yang orang dewasa lakukan tentunya membangkit rasa ingin mencuba. Tak sabar mahu belajar dan menjahit baju sendiri.

Apabila menginjak usia dara, emak memberi sedikit tunjuk ajar. Sehelai kain berukuran empat meter panjang dengan bidang empat puluh lima inci, emak ajar bagaimana mahu dipotong untuk menjadikannya sepasang baju kurung. Saya ini mudah belajar, sekejap sahaja emak tunjuk, saya sudah faham. Maka terhasillah beberapa pasang baju kurung yang saya jahit sendiri pada usia dua puluhan itu.

Selepas mendirikan rumah tangga, saya kehilangan peluang. Mesin jahit pun saya tidak punya, lalu kebolehan yang saya miliki itu tidak mampu saya asah sebaiknya. Mungkin juga saya kurang berminat, lalu mengabaikan setiap kesempatan.

Semua baju saya, diupah. Baju suami pula, dibeli. Lalu apa pentingnya lagi menjahit?

Pun, sebagai wanita, saya tidak boleh mengelak untuk melakukannya. Apabila ada baju yang terurai jahitan, atau seluar yang dibeli terlebih labuh, atau kain sarung diberi orang belum berjahit, tentunya saya perlu juga melakukannya. Dengan mata yang semakin kabur ini, menjahit secara manual sudah menjadi semakin sukar. Saya memerlukan sebuah mesin jahit.

Saya mengkhabarkan keinginan kepada suami, tetapi dia seperti tidak menggalakkan. Lelaki, apalah yang dia suka dan tahu tentang menjahit!

Lalu saya mencari di Lazada. Inilah dia.



Harganya cuma RM34.20, ditambah kos penghantaran RM4.50. Semalam saya menerimanya, dan sudah mencubanya. Ternyata ia berbaloi.

Selepas ini saya tidak perlu lagi menjahit manual. Walaupun bukanlah baju kurung yang bakal saya siapkan, sekurang-kurangnya saya boleh menjahit kain-kain sarung yang banyak belum berjahit itu, serta mengubahsuai beberapa helai jubah yang labuh, dan banyak lagilah!

No comments:

Post a Comment