Wednesday, February 28, 2018

Mencari Diri

Rabu. 28 Februari 2018. 

Sehari dua ini saya sesak dengan berita Zouk dan Neelofa. Ia ada di mana-mana, tak terhindarkan. Rasa muak bercampur dengan hairan dengan keprihatinan masyarakat yang keterlaluan untuk suatu isu yang pada saya bukanlah utama. Entahlah, kalau dah Melayu tu, Melayulah juga!

Bukan mudah untuk mengubah minda membentuk keutamaan dan menerima kekurangan. Saya bosan sungguh. Tiada keseimbangan dalam banyak perkara di negara ini. Senget.

Saya lebih tenang menghadap kerja saya hari ini daripada menjebakkan diri ke kancah kecam mengecam yang tidak berkesudahan itu. Kebetulan soalan peperiksaan sudah siap dicetak, lalu tugas seterusnya ialah menyusun dan mengacip, juga menyediakan skema. Seronok saya apabila kerja saya berkisar pada dunia pendidikan yang saya cintai ini.

Jujurnya, tahun ini saya rasa lebih seronok untul bekerja. Niat untuk bersara awal sudah saya padamkan dari hati. Saya mahu terus berbakti selagi Allah memberi saya kudrat dan afiat.

Kehidupan peribadi saya juga kelihatannya semakin menenangkan jiwa. Biar pun cuma berdua sejak dua puluh tahun yang lalu, bahagia itu tetap tercipta seadanya. Syukur ya Allah kerana memberi kurnia yang tidak terhingga.

Saat ini siri Syurga Yang Kedua sedang ke udara. Saya mengikuti juga walaupun tidak sepenuhnya. Terkesan dengan nasib Sabrina tetapi teruja dengan kecekalan jiwanya.

Setiap perkara di sekeliling kita ini, iktibarnya sentiasa ada. Terpulang pada kita melihat dari sisi mana. Seperti mana Neelofa, kita juga manusia yang sentiasa terdedah kepada kesilapan dan dipenuhi dosa dan noda. Kepada Allah jualah kita berserah.

Selamat tinggal Februari.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, February 25, 2018

Urusan Relief

Sepanjang Februari ini, bilangan guru yang tiada di sekolah melebihi sepuluh orang pada setiap hari malah pernah mencecah sehingga enam belas orang yang menyebabkan urusan menyediakan jadual relief menjadi sukar.

Jadual relief sebenarnya dijana dengan perisian komputer, mengutamakan guru yang paling lapang dalam sehari untuk diberi relief dan hanya satu relief untuk setiap orang kecuali jika tiada pilihan. Seorang guru diberi empat hingga lapan masa mengajar setiap hari. Selalunya, yang mengajar tujuh dan lapan masa saya akan kecualikan dari diberi relief.

Pun ada masanya, saya kecualikan yang lapan sahaja apabila bilangan guru tidak hadir terlalu ramai. Bayangkan jika sepuluh orang guru tiada dan purata masa mengajar enam setiap orang, tentunya enam puluh relief perlu disediakan. Janaan automatik oleh komputer sudah tidak relevan lagi dan saya perlu menyudahkan jadual relief secara manual. Tentu sangat sukar kerana bilangan guru yang tinggal cuma enam puluh empat, dan ditolak pula dengan guru lapan masa. Bilangan relief akan melebihi bilangan guru yang ada dan terpaksalah saya memberi dua relief kepada guru-guru tertentu, dan mengecualikan relief beberapa kelas yang boleh diharap untuk melakukan kerja sendiri dan tidak merayau-rayau sewaktu guru mereka tiada.

Pagi Khamis lepas, lama saya terpaku di depan komputer menyelesaikan jadual relief yang sukar itu. Apabila selesai, saya menghantarnya dalam kumpulan WhatsApp relief untuk tindakan guru-guru. Sebanyak tiga puluh satu relief saya sediakan setelah dikecualikan masa pertama dan beberapa kelas hadapan.

Tutt!

Mesej WhatsApp peribadi saya berbunyi. Saya mengagak, tentu ada yang mahu bertanya tentang relief. Sebagai manusia biasa saya pun selalu silap. Ada ketikanya apabila melakukan secara manual, ada guru yang bertindih kelas. Ada juga saya tertinggal nama guri yang tiada. Itu biasa dan saya akan membetulkannya semula.

Kali ini mesej itu dari seorang GK yang mempersoalkan kenapa dia diberi relief pada setiap hari. Katanya, GK lain tidak begitu. Aduh!

Sedih juga saya apabila seorang pentadbir mempunyai sifat berkira begini. Apatah lagi pandangannya sangat salah apabila mengatakan GK lain tidak diberi relief. Saya tidak pernah bersikap memilih, tetapi dia menganggap begitu. Tentulah hati saya pedih!

Manusia ini sungguh sudah menghilangkan rasa hormat saya kepadanya. Dia memburukkan dirinya sendiri di hadapan mata saya dan saya tidak ada masa untuk melayannya. Semoga dia tidak diangkat ke jawatan yang lebih tinggi selepas ini kerana akan lebih menyusahkan orang lain.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, February 24, 2018

Acara

Semalam Jumaat, hujung minggu untuk kami di sini. Tentunya ia hari yang ditunggu-tunggu sepanjang minggu dan acaranya tentulah tentang rumah tangga. Urusan kain baju, kemas mengemas, keluar ke pasar dan masak memasak.

Tetapi Jumaat semalam nyata berbeza. Acaranya bukan tentang rumah tangga. Seawal pagi kami kaum guru diarah untuk hadir mendengar motivasi keibubapaan oleh Dato' Dr. Fadzilah Kamsah di SMK Melor. Ini anjuran Parlimen Ketereh dan tentunya kehadiran kami didaftarkan. 

Acara yang sama turut diadakan di SMK Kok Lanas pada jam 2.30 petang dan sebahagian lagi guru diarahkan ke sana. Kali ini giliran suami saya pula.

Dan malam, masih lagi kami beracara. Kali ini majlis pengagihan BAP1M yang disempurnakan oleh Tan Sri Annuar Musa bertempat di SK Kampong Chengal yang melibatkan juga SMK Kampong Chengal.

Jam 8.25 malam saya tiba, dan hanya pulang ke rumah pada jam 11.45 malam. TSAM hanya tiba untuk majlis pada jam 10.15 dan selepas berucap kira-kira 20 minit, barulah penyampaian bermula. Kesian orang kampung menunggu lama hanya untuk RM100.

Sungguh saya kepenatan dengan perkara-perkara begini. Tetapi apalah daya yang ada selain akur dan menurut perintah.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, February 23, 2018

Boros

Mengurus kewangan bukanlah semudah membaca buku tentangnya. Duit itu sifatnya laku, dan tentulah ia sungguh berhantu. Jika semangat tidak cukup kental, jangan haraplah untuk mampu memiliki aset dan simpanan yang banyak pada awal usia. Cabaran sentiasa ada menanti di mana-mana. 

Kisah saya dan wang bukanlah sesuatu yang menarik pun, tetapi rasanya ada iktibar yang boleh dipinjam sebentar.

Seperti orang lain, saya juga sangat suka berbelanja. Sebutlah apa sahaja - pakaian, makanan, buku, alat solek, pinggan mangkuk dan pelbagai lagi akan sentiasa menggoda saya untuk berbelanja. Bagai tiada had dan sempadan untuk saya letakkan pada kegilaan ini.

Dahulu, sewaktu masih belajar, saya mengatur dan merancang perbelanjaan saya dengan cermat. Waktu itu saya banyak menahan rasa. Terliur itu ini pun saya pendam sahaja kerana saya tidak tergamak membazirkan duit ayah emak dan juga duit biasiswa. Azam saya, bila saya bekerja dan bergaji sendiri nanti, saya akan tunaikan segala keinginan yang lama terpendam itu.

Hakikatnya, apabila sudah bekerja, walaupun saya mampu memenuhi segala kemahuan tetapi saya tetap merancang perbelanjaan. Saya mungkin boros pada sesuatu perkara tetapi bab simpanan tidak pernah saya abaikan. Pada permulaan, saya sasarkan sekurang-kurangnya jumlah simpanan saya perlu melebihi sebulan gaji saya. Lama-lama saya naikkan kepada nilai yang lebih tinggi dan alhamdulillah saya boleh katakan saya ini sangat berdisiplin dalam menyimpan.

Pun, perkara yang tidak boleh diabaikan dalam menyusun atur perbelanjaan ialah bahagian sedekah dan derma. Kita sebagai hamba Tuhan tentu mengharapkan redha dan keberkatan dalam setiap sen pendapatan kita. Bersedekah tidak akan mengurangkan rezeki malah menambah keberkatan yang akan memberi kita rasa syukur dan bahagia. Aspek ini sungguh perlu dititikberatkan kerana impaknya luar biasa.

Lalu apa yang boleh saya simpulkan ialah bahagikan gaji kita kepada tiga bahagian iaitu "Simpan, Guna, Beri". Nisbahnya biarlah bersesuaian dengan kita. Mungkin sepuluh peratus simpan, lima peratus beri dan selebihnya guna. Jika gaji RM3200, simpanlah RM320, memberilah RM160 dan gunalah RM2720. Simpanan itu jangan diusik kecuali benar-benar perlu. Jika gaji naik, tambahlah lagi jumlah simpanan. Jika ada bonus, jangan diguna semuanya tetapi simpanlah sedikit.

In shaa Allah dengan adanya simpanan, kita akan lebih selesa dan bersedia jika berlaku sebarang perkara yang di luar jangka. 







Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, February 22, 2018

Dalam Angan

Pernah dan masih saya berangan-angan tentang sebuah keinginan yang tidak akan menjadi nyata. Saya tahu itu, dan sudah redha sepenuhnya, tetapi naluri seorang perempuan tidak pernah mahu peduli untuk berhenti melayan mimpi.

Ada waktu-waktunya, saat sendirian di bilik sepi ini, saya berkhayal sedang memesrai si kecil yang tidur dalam pelukan saya. Matanya bundar seperti saya, bibirnya merah basah dan rambutnya halus ikal. Rengekannya seirama kasih dan sayang dalam hati saya yang subur nian tanpa syarat.

Ada waktunya pula, saya menghitung-hitung usia si sulung yang tentunya sudah di hujung belasan tahun dan sentiasa sudi meneman saya, melayan saya dan membantu saya di rumah ini. 

Juga wujud dalam angan yang panjang, gelak tawa dan hingar bingar kanak-kanal berlarian menggamatkan suasana.

Akhirnya, saya kembali pada realiti. Realiti yang sesungguhnya saya hanyalah melayan angan.

Biarlah. Saya tidak pernah kesal, apa lagi kecewa. Saya tahu ini yang terindah dari Tuhan untuk saya di dunia. Saya mensyukurinya sepenuh hati. Saya tahu, di sana nanti saya akan melalui segala yang lebih indah daripada anganan ini jika saya redha dan berlaku baik sesama insan.

Kerana rindukan keindahan di sanalah, saya mohon agar Allah memberi saya kekuatan untuk terus berbakti di dunia ini seikhlas hati. Tiada balasan di dunia yang saya mahu, tetapi bahagia yang tidak bertepi di sana nanti.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, February 20, 2018

Tenang

Benarlah negeri Perlis itu penuh dengan ketenangan. Sebaik tiba di sana, segalanya mudah dan selesa. Tiada kesesakan lalu lintas, tiada kepadatan penduduk, tiada keserabutan. Kiri dan kanan perjalanan kami hanyalah sawah padi yang menghijau, serta perkampungan yang damai. Jika di tempat kami pada musim cuti begini tentunya jalan raya sangat sesak dan bandar pula sangat padat dengan manusia.

Alhamdulillah, pilihan saya untuk ke Perlis sungguh tepat. Tiba di Hotel Sri Garden, Kangar pada kira-kira jam 3 petang 16 Februari itu, kami menyelesakan diri dengan sedikit rehat di bilik 201 yang boleh tahan selesanya.


Jam 5 petang, kami keluar ke Jeti. Ramainya manusia di sini yang mahu menyeberang ke Pulau Langkawi. Saya tidak teruja pun untuk melangkah ke sana kerana cuti-cuti begini Langkawi tidak menyajikan ketenangan. Perlis lebih selesa.

Di Restoran Nelayan, kami menikmati laksa dan pasembur. Alhamdulillah. Seterusnya kami pusing-pusing di bandar Kangar dan singgah bergambar di Masjid Alwi.

Makan malam pula, kami ke Restoran Kak Teh 365 untuk hidangan tom yam, kailan ikan masin, daging masak merah dan telur dadar. Jam sembilan kami pulang dan saya hanya mahu berehat. Mata sudah terlalu mengantuk. Suami saya mahu keluar bertemu kawannya, Cikgu Sabri jadi saya memilih untuk tidur sahaja. Jam 11.30 baru suami saya pulang.

Hari kedua, selesai sarapan nasi lemak dan mihun goreng di hotel, kami keluar melawat Gua Kelam. Ramai juga pengunjung tetapi tidaklah bersesak-sesak. Menjelang tengah hari, kami ke pasar raya The Store dan seterusnya ke Restoran Anjung Keli untuk makan tengah hari.

Restoran Anjung Keli ini agak terkenal kerana lauk pauknya yang banyak beserta ulam-ulaman. Memang ramai orang pada tengah hari begini tetapi masih ada ruang untuk kami berdua menjamu selera. 

Petang pula, saya hanya berehat di bilik. Suami saya keluar lagi bertemu kawannya, Cikgu Aziz. Saya sememangnya seronok bersendirian jadi petang ini saya memenuhi masa dengan melayari internet di telefon sahaja.

Malam menjelang, kami ke Restoran Maju Ahammad yang terletak di sebelah hotel kami sahaja. Seterusnya kami menziarah isteri Cikgu Sabri di rumahnya, yang baru selesai menjalani pembedahan lutut.

Hari Ahad, kami bersedia untuk pulang. Sebelum pulang, kami singgah dahulu di rumah Cikgu Aziz di Sanglang dan beliau memberi seplastik buah kedondong untuk kami bawa pulang ke Kelantan. Terima kasih.

Perjalanan hari ini agak lambat kerana kesesakan akibat kemalangan di Jalan Gerik- Jeli. Pening saya menghadapi perjalanan hari ini. Jam 7.26 petang baru kami selamat tiba di rumah. Malam ini tidak perlu makan lagi kerana kami sudah berhenti makan tiga kali sepanjang perjalanan tadi.

Selamat tinggal Perlis. Ada umur kita jumpa lagi.










Wednesday, February 14, 2018

Perlis

Esok, bermula cuti lima hari sempena sambutan Tahun Baru Cina 2018. Rasa lega sungguh, biar pun hanya untuk seketika.

Pelbagai agenda tercatat dalam diari cuti ini, dan yang paling gah tentunya Majlis Pelancaran TSAM Army yang akan berlangsung di SMK Kampong Chengal pada Sabtu 17 Februari. Sebahagian besar guru dilantik sebagai AJK bagi merealisasikan sebuah majlis beragenda politik itu. Mujur nama saya tiada. Bolehlah saya bercuti-cutian tanpa perlu berpenatan.

Sebenarnya, saya kasihan benar dengan guru-guru yang terlibat dalam majlis ini. Bukankah waktu itu sewajarnya guru-guru bercuti? Tetapi apalah daya yang ada.

Saya pula, sudah menempah penginapan di Hotel Sri Garden, Kangar, Perlis selama dua malam bermula 16 Februari. Jika pun nama saya termasuk dalam senarai AJK, tentunya saya tetap akan menguzurkan diri kerana percutian saya itu.

Kenapa Perlis?

Saya sekadar mahu ke tempat yang jarang-jarang saya sampai. Saya mahu tenang-tenang tanpa sebarang fikiran tentang kerja. Walaupun sebenarnya saya lebih suka berehat di kampung (rumah emak) tetapi demi suami tercinta, biarlah saya berkorban. Lagi pun, bukan selalu. Untuk tahun 2018 ini, waktu yang sesuai untuk bercuti tidaklah sebanyak mana. Saya sudah menganalisis tarikh-tarikh yang ada, dan hanya cuti ini yang kelihatannya memberi ruang itu.

Adik-adik yang akan berpulang, in shaa Allah akan sempat bertemu pada Khamis dan Isnin. Mudah-mudahan. Amin.


Gambar sekadar hiasan.

Saturday, February 10, 2018

Meragam

Seorang isteri bekerja seperti saya, punya waktu untuk mengurus rumah tangga yang amat suntuk. Saban pagi saya keluar jam 6.40 dan hanya kembali selepas berpenat lelah melaksanakan tugas di sekolah pada jam menghampiri tiga petang. Itu pun jika tiada agenda lain di sekolah seperti kelas tambahan, mesyuarat atau latihan sukan. Jika tidak, tentunya jam menghampiri enam baru pulang. Apabila pulang, tentunya kerehatan yang dicari. Lenalah saya sebentar sehingga Asar sebelum bangkit meneruskan tugas menggosok pakaian, memasak dan membasuh.

Begitu hari minggu tiba, agenda membersihkan rumah daripada debu dan habuk juga urusan mengemaskini pakaian yang menggunung tidak berlipat, selain keluar berbelanja keperluan rumah tangga yang kehabisan.

Rutin yang sama berulang-ulang, dan jemu bukan lagi kata yang tepat kerana maksud tanggungjawab lebih dititikberat.

Mujur ada teknologi yang memberi sedikit bantuan. Paling ketara, mesin basuh. Ia bukan lagi barang mewah tetapi keperluan yang tidak boleh tiada.

Tiba-tiba, mesin basuh Hitachi saya yang baru berusia dua tahun lebih itu meragam. Mulanya, air tidak mahu berhenti. Lama-lama, ia sekejap hidup sekejap mati. Susah sungguh saya apabila pembantu saya yang satu ini meragam begini!

Berkali-kali suami saya mencari tukang baiki, tetapi mereka seperti tidak sudi datang membaiki di rumah. Semalam, Jumaat pagi barulah ada yang mahu datang melihat-lihat mesin basuh ini. Katanya, air sudah masuk ke bahagian dalam dan alat ganti perlu dicari. Harganya mungkin menjangkau tujuh lapan ratus.

Saya dan suami berkira-kira sendiri. Baiklah kami membeli mesin basuh baru daripada membaiki yang ini jika kosnya sebegitu tinggi. Sudahnya, malam tadi kami meninjau-ninjau mesin basuh baru di G Orange Mall.

Nampaknya, ini mesin basuh kelima dalam sejarah perkahwinan kami yang baru dua puluh tahun ini. Empat, enam, enam, dua - itu sifirnya. Mesin basuh pertama 1999, mesin basuh kedua 2003, mesin basuh ketiga 2009 dan mesin basuh keempat 2015. Ganasnya saya!

Kali ini kami memilih LG kerana terpengaruh dengan promoternya. Harga cuma RM1499 dan insya Allah, petang nanti ia tibalah di Chenok ini.

Kali ini saya berdoa agar ketahanannya melebihi yang sebelum-sebelum ini.

Amin.

Tuesday, February 06, 2018

Redha Allah

Jangan berbangga dengan solat, puasa dan zikir yang banyak kerana semua itu belum tentu membuatkan Allah redha.

Justeru, apa yang membuatkan Allah redha?

Nabi Musa AS
"Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau redha?"

Allah SWT 
"Solat? Solatmu itu untuk dirimu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara daripada perbuatan keji dan mungkar."

"Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang."

"Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri."

Nabi Musa AS
"Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau redha ya Allah?"

Allah SWT
"Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku redha, kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir di sampingnya. Dan Aku akan menggantikannya dengan ganjaran 700 kali ganda."
(Surah Al-Baqarah ayat 261 hingga 262)

Apabila kamu sibuk dengan ibadah yang lazim dan berbangga dengannya, maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukannya Allah.

Tetapi, apabila kamu berbuat baik dan berkorban untuk orang lain, maka itu tandanya kau mencintai Allah dan tentu Allah redha kerananya.

Buatlah perkara yang Allah redha maka Allah akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuatkan hidupmu lapangi dan bahagia.

KITAB
*Mukasyafatul Qulub*,

KARYA
*Imam Al-Ghazali*.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, February 04, 2018

Cerita

Semakin helaian hari-hari diselak, semakin pelbagai cerita yang menyapa. Hiba di segenap ruang hati apabila kisah kekejaman fizikal dan emosi bersilih ganti mengisi hari.

Tentang Vasantha Piriya, tentang Aina Nabiha. Selepas ini entah siapa-siapa pula yang akan menjadi bahan cerita kejam dan duka.

Pedih menusuk dan menikam hati. Tidak tercapai akal seorang manusia seperti saya atas tindakan keterlaluan manusia-manusia itu. Tergamak!

Cukup-cukuplah cerita begini. Lukanya dalam amat dan lama untuk pulih. Tidak terbayang jika mereka itu anak-anak saya. Tentu sukar benar untuk menghadapi kenyataan tanpa sokongan persekitaran. 

Hanya doa untuk keluarga mereka, agar tabah melalui. Dan kepada pelaku musnah itu, entah ucapan apa yang sesuai untuk saya hamburkan. Tuhan jua yang mampu memberi balasan setimpal.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, February 02, 2018

Kehilangan

5.15 pagi 
Jumaat 
2 Februari 2018

Seluruh warga SMK Kampong Chengal bersedih atas kepulangan ke rahmatullah Guru Penolong Kanan HEM, Zainuddin bin Ibrahim, 55 tahun.

Daripada Allah kita datang, kepada-Nya jua kita kembali. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Kami mendoakan agar sekalian ahli keluarga Allahyarham diberi ketabahan dan kekuatan menempuh detik sukar ini. 

Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.