Tuesday, February 20, 2018

Tenang

Benarlah negeri Perlis itu penuh dengan ketenangan. Sebaik tiba di sana, segalanya mudah dan selesa. Tiada kesesakan lalu lintas, tiada kepadatan penduduk, tiada keserabutan. Kiri dan kanan perjalanan kami hanyalah sawah padi yang menghijau, serta perkampungan yang damai. Jika di tempat kami pada musim cuti begini tentunya jalan raya sangat sesak dan bandar pula sangat padat dengan manusia.

Alhamdulillah, pilihan saya untuk ke Perlis sungguh tepat. Tiba di Hotel Sri Garden, Kangar pada kira-kira jam 3 petang 16 Februari itu, kami menyelesakan diri dengan sedikit rehat di bilik 201 yang boleh tahan selesanya.


Jam 5 petang, kami keluar ke Jeti. Ramainya manusia di sini yang mahu menyeberang ke Pulau Langkawi. Saya tidak teruja pun untuk melangkah ke sana kerana cuti-cuti begini Langkawi tidak menyajikan ketenangan. Perlis lebih selesa.

Di Restoran Nelayan, kami menikmati laksa dan pasembur. Alhamdulillah. Seterusnya kami pusing-pusing di bandar Kangar dan singgah bergambar di Masjid Alwi.

Makan malam pula, kami ke Restoran Kak Teh 365 untuk hidangan tom yam, kailan ikan masin, daging masak merah dan telur dadar. Jam sembilan kami pulang dan saya hanya mahu berehat. Mata sudah terlalu mengantuk. Suami saya mahu keluar bertemu kawannya, Cikgu Sabri jadi saya memilih untuk tidur sahaja. Jam 11.30 baru suami saya pulang.

Hari kedua, selesai sarapan nasi lemak dan mihun goreng di hotel, kami keluar melawat Gua Kelam. Ramai juga pengunjung tetapi tidaklah bersesak-sesak. Menjelang tengah hari, kami ke pasar raya The Store dan seterusnya ke Restoran Anjung Keli untuk makan tengah hari.

Restoran Anjung Keli ini agak terkenal kerana lauk pauknya yang banyak beserta ulam-ulaman. Memang ramai orang pada tengah hari begini tetapi masih ada ruang untuk kami berdua menjamu selera. 

Petang pula, saya hanya berehat di bilik. Suami saya keluar lagi bertemu kawannya, Cikgu Aziz. Saya sememangnya seronok bersendirian jadi petang ini saya memenuhi masa dengan melayari internet di telefon sahaja.

Malam menjelang, kami ke Restoran Maju Ahammad yang terletak di sebelah hotel kami sahaja. Seterusnya kami menziarah isteri Cikgu Sabri di rumahnya, yang baru selesai menjalani pembedahan lutut.

Hari Ahad, kami bersedia untuk pulang. Sebelum pulang, kami singgah dahulu di rumah Cikgu Aziz di Sanglang dan beliau memberi seplastik buah kedondong untuk kami bawa pulang ke Kelantan. Terima kasih.

Perjalanan hari ini agak lambat kerana kesesakan akibat kemalangan di Jalan Gerik- Jeli. Pening saya menghadapi perjalanan hari ini. Jam 7.26 petang baru kami selamat tiba di rumah. Malam ini tidak perlu makan lagi kerana kami sudah berhenti makan tiga kali sepanjang perjalanan tadi.

Selamat tinggal Perlis. Ada umur kita jumpa lagi.










No comments:

Post a Comment