Wednesday, February 14, 2018

Perlis

Esok, bermula cuti lima hari sempena sambutan Tahun Baru Cina 2018. Rasa lega sungguh, biar pun hanya untuk seketika.

Pelbagai agenda tercatat dalam diari cuti ini, dan yang paling gah tentunya Majlis Pelancaran TSAM Army yang akan berlangsung di SMK Kampong Chengal pada Sabtu 17 Februari. Sebahagian besar guru dilantik sebagai AJK bagi merealisasikan sebuah majlis beragenda politik itu. Mujur nama saya tiada. Bolehlah saya bercuti-cutian tanpa perlu berpenatan.

Sebenarnya, saya kasihan benar dengan guru-guru yang terlibat dalam majlis ini. Bukankah waktu itu sewajarnya guru-guru bercuti? Tetapi apalah daya yang ada.

Saya pula, sudah menempah penginapan di Hotel Sri Garden, Kangar, Perlis selama dua malam bermula 16 Februari. Jika pun nama saya termasuk dalam senarai AJK, tentunya saya tetap akan menguzurkan diri kerana percutian saya itu.

Kenapa Perlis?

Saya sekadar mahu ke tempat yang jarang-jarang saya sampai. Saya mahu tenang-tenang tanpa sebarang fikiran tentang kerja. Walaupun sebenarnya saya lebih suka berehat di kampung (rumah emak) tetapi demi suami tercinta, biarlah saya berkorban. Lagi pun, bukan selalu. Untuk tahun 2018 ini, waktu yang sesuai untuk bercuti tidaklah sebanyak mana. Saya sudah menganalisis tarikh-tarikh yang ada, dan hanya cuti ini yang kelihatannya memberi ruang itu.

Adik-adik yang akan berpulang, in shaa Allah akan sempat bertemu pada Khamis dan Isnin. Mudah-mudahan. Amin.


Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment