Mengurus kewangan bukanlah semudah membaca buku tentangnya. Duit itu sifatnya laku, dan tentulah ia sungguh berhantu. Jika semangat tidak cukup kental, jangan haraplah untuk mampu memiliki aset dan simpanan yang banyak pada awal usia. Cabaran sentiasa ada menanti di mana-mana.
Kisah saya dan wang bukanlah sesuatu yang menarik pun, tetapi rasanya ada iktibar yang boleh dipinjam sebentar.
Seperti orang lain, saya juga sangat suka berbelanja. Sebutlah apa sahaja - pakaian, makanan, buku, alat solek, pinggan mangkuk dan pelbagai lagi akan sentiasa menggoda saya untuk berbelanja. Bagai tiada had dan sempadan untuk saya letakkan pada kegilaan ini.
Dahulu, sewaktu masih belajar, saya mengatur dan merancang perbelanjaan saya dengan cermat. Waktu itu saya banyak menahan rasa. Terliur itu ini pun saya pendam sahaja kerana saya tidak tergamak membazirkan duit ayah emak dan juga duit biasiswa. Azam saya, bila saya bekerja dan bergaji sendiri nanti, saya akan tunaikan segala keinginan yang lama terpendam itu.
Hakikatnya, apabila sudah bekerja, walaupun saya mampu memenuhi segala kemahuan tetapi saya tetap merancang perbelanjaan. Saya mungkin boros pada sesuatu perkara tetapi bab simpanan tidak pernah saya abaikan. Pada permulaan, saya sasarkan sekurang-kurangnya jumlah simpanan saya perlu melebihi sebulan gaji saya. Lama-lama saya naikkan kepada nilai yang lebih tinggi dan alhamdulillah saya boleh katakan saya ini sangat berdisiplin dalam menyimpan.
Pun, perkara yang tidak boleh diabaikan dalam menyusun atur perbelanjaan ialah bahagian sedekah dan derma. Kita sebagai hamba Tuhan tentu mengharapkan redha dan keberkatan dalam setiap sen pendapatan kita. Bersedekah tidak akan mengurangkan rezeki malah menambah keberkatan yang akan memberi kita rasa syukur dan bahagia. Aspek ini sungguh perlu dititikberatkan kerana impaknya luar biasa.
Lalu apa yang boleh saya simpulkan ialah bahagikan gaji kita kepada tiga bahagian iaitu "Simpan, Guna, Beri". Nisbahnya biarlah bersesuaian dengan kita. Mungkin sepuluh peratus simpan, lima peratus beri dan selebihnya guna. Jika gaji RM3200, simpanlah RM320, memberilah RM160 dan gunalah RM2720. Simpanan itu jangan diusik kecuali benar-benar perlu. Jika gaji naik, tambahlah lagi jumlah simpanan. Jika ada bonus, jangan diguna semuanya tetapi simpanlah sedikit.
In shaa Allah dengan adanya simpanan, kita akan lebih selesa dan bersedia jika berlaku sebarang perkara yang di luar jangka.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment