Sepanjang Februari ini, bilangan guru yang tiada di sekolah melebihi sepuluh orang pada setiap hari malah pernah mencecah sehingga enam belas orang yang menyebabkan urusan menyediakan jadual relief menjadi sukar.
Jadual relief sebenarnya dijana dengan perisian komputer, mengutamakan guru yang paling lapang dalam sehari untuk diberi relief dan hanya satu relief untuk setiap orang kecuali jika tiada pilihan. Seorang guru diberi empat hingga lapan masa mengajar setiap hari. Selalunya, yang mengajar tujuh dan lapan masa saya akan kecualikan dari diberi relief.
Pun ada masanya, saya kecualikan yang lapan sahaja apabila bilangan guru tidak hadir terlalu ramai. Bayangkan jika sepuluh orang guru tiada dan purata masa mengajar enam setiap orang, tentunya enam puluh relief perlu disediakan. Janaan automatik oleh komputer sudah tidak relevan lagi dan saya perlu menyudahkan jadual relief secara manual. Tentu sangat sukar kerana bilangan guru yang tinggal cuma enam puluh empat, dan ditolak pula dengan guru lapan masa. Bilangan relief akan melebihi bilangan guru yang ada dan terpaksalah saya memberi dua relief kepada guru-guru tertentu, dan mengecualikan relief beberapa kelas yang boleh diharap untuk melakukan kerja sendiri dan tidak merayau-rayau sewaktu guru mereka tiada.
Pagi Khamis lepas, lama saya terpaku di depan komputer menyelesaikan jadual relief yang sukar itu. Apabila selesai, saya menghantarnya dalam kumpulan WhatsApp relief untuk tindakan guru-guru. Sebanyak tiga puluh satu relief saya sediakan setelah dikecualikan masa pertama dan beberapa kelas hadapan.
Tutt!
Mesej WhatsApp peribadi saya berbunyi. Saya mengagak, tentu ada yang mahu bertanya tentang relief. Sebagai manusia biasa saya pun selalu silap. Ada ketikanya apabila melakukan secara manual, ada guru yang bertindih kelas. Ada juga saya tertinggal nama guri yang tiada. Itu biasa dan saya akan membetulkannya semula.
Kali ini mesej itu dari seorang GK yang mempersoalkan kenapa dia diberi relief pada setiap hari. Katanya, GK lain tidak begitu. Aduh!
Sedih juga saya apabila seorang pentadbir mempunyai sifat berkira begini. Apatah lagi pandangannya sangat salah apabila mengatakan GK lain tidak diberi relief. Saya tidak pernah bersikap memilih, tetapi dia menganggap begitu. Tentulah hati saya pedih!
Manusia ini sungguh sudah menghilangkan rasa hormat saya kepadanya. Dia memburukkan dirinya sendiri di hadapan mata saya dan saya tidak ada masa untuk melayannya. Semoga dia tidak diangkat ke jawatan yang lebih tinggi selepas ini kerana akan lebih menyusahkan orang lain.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment