Saturday, February 10, 2018

Meragam

Seorang isteri bekerja seperti saya, punya waktu untuk mengurus rumah tangga yang amat suntuk. Saban pagi saya keluar jam 6.40 dan hanya kembali selepas berpenat lelah melaksanakan tugas di sekolah pada jam menghampiri tiga petang. Itu pun jika tiada agenda lain di sekolah seperti kelas tambahan, mesyuarat atau latihan sukan. Jika tidak, tentunya jam menghampiri enam baru pulang. Apabila pulang, tentunya kerehatan yang dicari. Lenalah saya sebentar sehingga Asar sebelum bangkit meneruskan tugas menggosok pakaian, memasak dan membasuh.

Begitu hari minggu tiba, agenda membersihkan rumah daripada debu dan habuk juga urusan mengemaskini pakaian yang menggunung tidak berlipat, selain keluar berbelanja keperluan rumah tangga yang kehabisan.

Rutin yang sama berulang-ulang, dan jemu bukan lagi kata yang tepat kerana maksud tanggungjawab lebih dititikberat.

Mujur ada teknologi yang memberi sedikit bantuan. Paling ketara, mesin basuh. Ia bukan lagi barang mewah tetapi keperluan yang tidak boleh tiada.

Tiba-tiba, mesin basuh Hitachi saya yang baru berusia dua tahun lebih itu meragam. Mulanya, air tidak mahu berhenti. Lama-lama, ia sekejap hidup sekejap mati. Susah sungguh saya apabila pembantu saya yang satu ini meragam begini!

Berkali-kali suami saya mencari tukang baiki, tetapi mereka seperti tidak sudi datang membaiki di rumah. Semalam, Jumaat pagi barulah ada yang mahu datang melihat-lihat mesin basuh ini. Katanya, air sudah masuk ke bahagian dalam dan alat ganti perlu dicari. Harganya mungkin menjangkau tujuh lapan ratus.

Saya dan suami berkira-kira sendiri. Baiklah kami membeli mesin basuh baru daripada membaiki yang ini jika kosnya sebegitu tinggi. Sudahnya, malam tadi kami meninjau-ninjau mesin basuh baru di G Orange Mall.

Nampaknya, ini mesin basuh kelima dalam sejarah perkahwinan kami yang baru dua puluh tahun ini. Empat, enam, enam, dua - itu sifirnya. Mesin basuh pertama 1999, mesin basuh kedua 2003, mesin basuh ketiga 2009 dan mesin basuh keempat 2015. Ganasnya saya!

Kali ini kami memilih LG kerana terpengaruh dengan promoternya. Harga cuma RM1499 dan insya Allah, petang nanti ia tibalah di Chenok ini.

Kali ini saya berdoa agar ketahanannya melebihi yang sebelum-sebelum ini.

Amin.

No comments:

Post a Comment