Thursday, November 29, 2018

Seminggu

Hari ini genap seminggu sekolah bercuti, tetapi saya masih belum merasainya. Sejak awal minggu, saya sibuk berulang alik ke sekolah untuk kelas tambahan kerana mata pelajaran Matematik Tambahan saya akan diuji pada Selasa. Sehingga Isnin saya temani anak-anak murid saya mengulangkaji. Dan pada Selasa itu saya sama-sama berasa pilu dengan kehebatan soalan yang diberi. Apa pun kami redha. Sungguh redha. 

Rabu semalam saya temani suami ke HRPZ untuk temujanji di bahagian Ultrasound dan petangnya kami menyertai rombongan kenduri sepupu kami ke Kg. Kor. Jam 3.15 petang baru selesai urusan luaran dan barulah saya boleh mencampakkan diri ke katil untuk lena yang sentosa.

Malamnya, untung ada majlis maulidurrasul di surau maka saya tidak perlu memasak. Hanya mi segera Sedaap perisa ayam dan bawang menjadi santapan, itu pun tidak habis. 

Hari ini, jam 8.08 pagi kami turun ke Gong Nering, Jerteh untuk sarapan nasi dagang. Suami saya amat gemarlan nasi dagang di sini terutama gulai ayam kampungnya yang lazat. Habis sepinggan, dia minta lagi sebungkus untuk dibawa pulang.

Pulang kami bukan terus ke rumah. Suami saya mahu berjumpa doktor di Klinik Perol untuk menyerahkan keputusan imbasan ultrasound nya semalam. Jam 11 kami tiba di klinik dan mujurlah orang tidak ramai.

Sekarang suami saya sedang di bilik doktor dan saya masih menanti di luar. Harapnya tiada yang menakutkan dengan keputusan imbasannya itu. In shaa Allah. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, November 28, 2018

Susah

Membelek sehelai demi sehelai muka surat bercetak itu, ada sebak dalam jiwa. Entah kenapa, saya merintih dalam tangis yang tidak kedengaran. Simpati benar pada anak-anak didik saya yang jiwa mereka masih rapuh tetapi diuji sebegini. 

Ini SPM, sijil yang harganya tinggi dan nilainya besar. Matematik Tambahan sudah lama terkenal dengan payahnya, tiba-tiba dibumbui lagi dengan KBAT yang entah apa-apa. Sebagai guru, saya turut sama merasai kehampaan mereka. 

Apa pun, saya sedar ini bukanlah pengakhiran sebuah cerita. Masih terhampar jalan yang panjang untuk mereka lalui. Walaupun saya tahu sukar untuk mengharapkan gred yang terbaik atas keupayaan mereka yang tidak seberapa, harapnya apa yang mereka capai nanti tetap memberi mereka rasa kepuasan. 

Sebagai guru, saya terima perubahan ini. Soalan SPM tahun kebelakangan ini jelas mahu menguji kedalaman pengetahuan konsep dan penguasaan asas murid dalam mata pelajaran ini yang tidak lagi boleh dilatih tubi. Benarlah, dan itulah yang terbaik. Saya terima dengan hati terbuka kerana saya tahu ramai pensyarah universiti yang merungut melihat keupayaan pelajar mereka. Dalam SPM, Matematik Tambahan tertera gred A tetapi konsep asas matematik gagal difahami dengan baik. Itulah silap kami - guru sekolah menengah - terlalu menekankan gred sehingga mengabaikan pemahaman konsep.

Semoga ada perubahan positif bermula dari sebuah kesedaran yang terhasil dari sebuah kesedihan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 27, 2018

Perasaan

Ini perasaannya apabila berada dalam situasi seorang guru yang mengharap terlalu. Melihat keupayaan anak-anak didik saya tahun ini sungguh ia menghadirkan debar yang panjang. Soalan yang ditanya menuntut rasa hairan, bukankah sudah berkali-kali cikgu terangkan? Tidak fahamkah cara cikgu mengajar?

Kata mereka, terlalu banyak perlu ditelan, cikgu. Semuanya bercampur baur. Sejarah, Fizik, Add Maths. Aduh!

Kasihan pula mendengar. Dahulu cikgu pun begitu. Tetapi Allah banyak sungguh membantu. Kalau cikgu kenang kembali kepayahan cikgu dulu dengan keputusan yang cikgu terima, sepertinya tidak layak. Tetapi itulah janji-Nya, usaha seiring dengan doa. Yakin. Harap. Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

Sayu juga hati melihat seorang anak murid yang lemah ini masih terus membuat latihan tanpa mahu berhenti untuk makan. Semua kawannya sudah ke dewan makan, dia masih setia meneruskan ulangkaji. Tentulah doa saya untuk anak ini bertalu-talu. Semoga Allah menerangkan laluannya, amin.

Begitulah. Persekitaran seorang guru begitu rencam. Rasa marah boleh saja bertukar sedih sekelip mata dan doa untuk anak-anak murid tercinta tidak pernah terlupa. Mereka umpama anak-anak sendiri, malah mungkin lebih lagi.

Tuhan, semoga debar yang kurasa ini menerbitkan hasil yang tidak kecewa. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 20, 2018

Maulidurrasul

Hari ini 20 November 2018 bersamaan 12 Rabiul Awal 1440, kami bercuti sempena Maulidurrasul. Sehari pun sangat berharga bagi kami yang dahagakan cuti ini.

Pagi ini suami saya memanggil orang menservis air cond kami yang sudah kurang sejuk itu. Jam 12.30 baru mereka sampai dan siap menservis pada 2.00 petang. Harga yang dikenakan RM180. Maka sejuklah bilik kami semula seperti yang kami mahu.

Tengah hari ini saya memasak ringkas sahaja, ikan tenggiri goreng, telur dadar dan kangkung goreng. Jam 2.30 baru kami makan sebaik tukang servis air cond itu pulang.

Petang pula saya sediakan roti celup telur dan teh o suam sebagai hidangan.

Sekarang saya sedang menanti malam dan masih memikir-mikir menu apa untuk dimasak. Sungguhlah saya ini buntu, tambah lagi apabila perut sendiri rasa kenyang. Jika tidak kerana suami, tentu saya berdiet aje malam ini.

Apabila saya bertanya suami mahu makan apa malam nanti, katanya cuma mahu mi segera. Alhamdulillah. Selesai masalah saya.

Sekian diari hari ini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, November 19, 2018

Areef Irsyad

 
Masa, benarlah cepat sungguh berlalu. Masih baru lagi rasanya menyambut anak ini lahir ke dunia pada 28 Disember 2008, kini usianya sudah menjangkau sepuluh tahun. Aktif dan peramah, saya senang sekali melayan setiap tanya darinya. 

Jumaat lepas, mereka sekeluarga pulang dari Perak dan tiba di rumah Ma sekitar 12.30 tengah hari. Saya yang sejak lama menanggung rindu untuk bertemu mereka, terutamanya adik ipar saya Farah yang masih dalam pantang selepas melahirkan, tidak sabar-sabar untuk ke sana. Sambil suami saya keluar untuk menunaikan fardu Jumaat, saya dihantarnya ke rumah Ma. Dek kalut kerana masa yang sempit - baru selesai menjerang nasi dan memasak satu lauk - saya lupa langsung untuk membawa buah tangan.

Tiba di rumah Ma, senyuman Amal dan keletah Afeef amat mesra menyambut saya. Areef pula terus menyeru nama saya meminta tablet. Begitulah anak-anak, tablet umpama permata bernilai yang tidak terganti dengan apa pun!

Dalam masa terhad, sementara menanti suami saya pulang solat, saya sempat membantu Ma memasak di dapur. Ralat juga kerana tidak terfikir langsung untuk membawa apa-apa dari rumah tadi kerana tidak tahu mereka masih belum makan tengah hari. Sangka saya tentu mereka sudah singgah makan di mana-mana dalam perjalanan tadi.

Apabila suami saya pulang, saya pun bersedia jugalah untuk berangkat. Tak semena-mena Areef mahu mengikut. Beria benar dia, walaupun pada awalnya saya melarang. Bukan apa, sebentar lagi Sufi dan Muiz akan datang untuk bertemu dan bermain-main dengannya, tentulah tidak sesuai jika dia tiada. Tetapi dia langsung tidak mahu dengar. Tetap dia menaiki kereta suami saya dan meminta untuk ke rumah saya juga. Baiklah Areef, Ummi Ti suka sangatlah kalau Areef nak ikut!

Tiba di rumah, saya menyiapkan makan tengah hari. Lauk saya memang ringkas sungguh. Tadi sebelum ke rumah Ma saya sempat memasak kepala ikan tenggiri rebus serai. Saya tambah lagi dengan telur mata cecah kicap dan ikan kering keropok. Rupanya kata Aref, dia tak pernah makan kepala ikan rebus serai. Sedap juga katanya. Banyak dia makan, seronok saya tengok.

Usai makan tengah hari, dia mengikut suami saya melayan lembu dua ekor di kandang. Kemudian saya memanggilnya untuk solat Zohor. Dia minta saya temankan sebab takut solat sendirian di bilik. Lepas solat, sambil makan rambutan kami menonton TV dan saya berikan dia tablet. Seronok dia dapat apa yang dia mahu.

Tidak lama, abahnya datang bersama Muiz untuk menjemputnya pulang. Masih dia berkeras enggan pulang, mahu tidur di rumah Ummi Ti katanya. Kelakar juga Areef ini, dia tidak tahu kebosanan yang akan dilaluinya jika betul mahu tinggal di sini! Mujurlah akhirnya dia setuju untuk pulang bersama abahnya apabila kami memberitahu kami mahu keluar ke tempat lain petang nanti.

Begitulah Areef. Sesekali bertemu, tetap mesra di sisi saya dan saya seronok melayan dia. Semoga Allah memberi Areef kemudahan dalam setiap urusan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Doa dari Ummi Ti untuk Areef sekeluarga tidak akan pernah ada hentinya.



Sunday, November 18, 2018

Sains

Apabila melangkah ke Tingkatan 4, pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia ini akan memilih aliran pengajian mereka berdasarkan keputusan peperiksaan PT3 mereka. Percaya atau tidak, aliran Sains menjadi kebanggaan dan ibu bapa begitu beria-ia mahu anak-anak mereka ke bidang Sains.

Tahukah anda di Malaysia kita ini, graduan aliran Sains bukanlah graduan yang berharga? Selain menjadi doktor, ahli farmasi, jurutera dan cikgu, pekerjaan lain untuk graduan sains sangat terhad. Malah tempat untuk bidang yang saya sebutkan itu pun tidak banyak. Lihat sahaja berapa ramai jurutera dan ahli farmasi yang menganggur. Sedih. 

Untuk ibu bapa di luar sana, berilah kebebasan untuk anak-anak anda memilih bidang kesukaan mereka pada tingkatan empat ini dan jangan dipuja-puja aliran Sains itu. Belajarnya susah, nak cari kerja pun susah. Sungguh!

Saya percaya jika anak-anak kita yang cemerlang tetapi tidak memilih aliran Sains, mereka lebih berpeluang untuk mendapat keputusan SPM yang cantik dan memiliki tempat di universiti juga punya pilihan yang banyak untuk bekerja. Semuanya tergantung rezeki tetapi usaha dan ikhtiar milik kita.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 13, 2018

Sedar

Setiap kali SPM tiba, inilah yang bermain di minda seorang guru seperti saya, yang juga seorang wanita tetapi bukan seorang ibu.

Betapa kesedaran tentang pentingnya, begitu penting dan amat penting sekali peperiksaan ini, ibu bapa mencari ruang untuk menghantar anak-anak mereka sehingga ke pintu dewan. Doa sahaja sesungguhnya tidak cukup pada era masa kini.

Ini pandangan seorang saya. Sekadar pandangan cuma, entah betul entah tidak.

Kasihan anak-anak yang tidak punya ibu bapa, atau yang ibu bapanya jauh, atau yang ibu bapanya tidak mampu hadir meneman hingga ke pintu dewan. Sayunya rasa di hati mereka, kerana mereka sebenarnya mahu dibuat begitu juga tetapi apalah daya.

Dan anak-anak yang dihantar ini, perasaan mereka damai dan tenang amat barangkali, sehingga tentunya dapat menjawab setiap soalan dengan tepat dan mendapat markah penuh. Mungkinlah. Seorang saya berpendapat, cukuplah pesan berpesan di rumah dan cukuplah peluk berpeluk dan salam bersalam juga restu merestu di hadapan pintu rumah. Cukuplah. Selebihnya kirimkanlah doa kerana Allah mendengar walau di mana kita berada.

Jika ibu bapanya bekerja, wajarkah meninggalkan tempat kerja hanya untuk mengiring anak ke dewan SPM? Motivasikah itu? Walaupun seketika, nilai masa dalam kerja tetap diambil kira. Adakah saya kedengaran seperti dengki mendengki?

Sesekali tidak. Saya sekadar melontar pandangan kerana cara ibu ayah memanjai anak sekarang kelihatan lebih melebih. Bahagian yang tidak perlu rasanya tidak usahlah dibuat. Persekitaran kadang-kadang tidak begitu sesuai dan kita wajar pertimbangkan pelbagai situasi.

Sekadar pandangan seorang saya yang tidak pernah dihantar oleh ibu atau ayah pada mana-mana peperiksaan, tetapi bersyukur dan bahagia memiliki ibu dan ayah yang tidak henti mendoakan kebahagiaan hidup kami di dunia dan di akhirat.

Monday, November 12, 2018

Legenda

Ah, legend tak legend, kalau nyanyi ke laut buat apa simpan? 

Teruklah! 

Well, for once in a blue moon let me make a review about his perfomance last night. He was awesome! Period.

Both songs were delivered beautifully and I was much entertained. Even though there were some mistakes in his first song, but still he managed to catch it up and finished the song with pride. So?

I watched his performance repeatedly today, because I recorded the show. His voice came straight from his heart and touched my heart. I felt like crying watching he performed his second song. Touched!

When the presenters announced his name as one of the finalist, I was so happy. I pray that everything will go on nicely on the stage during his performance next week. No more technical problems, no more health problems. I was your fan 23 years ago and am still your fan right now. Winning is another thing, put it aside. Just give your best and make it memorable.

Good luck!





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, November 11, 2018

Maghrib

Waktu Maghrib menjadi waktu yang paling tenang buat saya. Suami akan pergi ke masjid atau surau dan hanya akan pulang selepas Isyak. Saya punya ruang yang luas untuk menunaikan solat, berdoa dan mengaji. Juga ruang untuk diri sendiri sementara menanti dia pulang. Ruang itu akan lebih luas jika saya tidak perlu memasak, atau dia ada jemputan.

Selalunya jika dia pulang untuk makan, saya akan memasak selepas selesai mengaji. Apabila siap, saya akan berehat di bilik sambil menonton tv atau melayari internet sehingga dia pulang. Selepas makan baru saya akan solat Isyak.

Tetapi jika dia ada jemputan, saya akan terus solat sebaik masuk waktu Isyak sebab saya tidak perlu memasak. Seronok kan kalau dia ada jemputan setiap malam?

Tetapi sesekali apabila ada keuzuran dan dia tidak ke masjid, waktu saya sudah tidak sebegitu lagi. Saya tidak akan berdoa panjang, juga tidak akan mengaji. Saya akan melayani dia berbual dan menonton berita di tv.

Tentunya saya lebih seronok jika suami saya sihat dan dapat berjemaah di masjid setiap hari.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, November 10, 2018

Ruang Masa

Jika minggu lepas kami bercuti panjang selama lima hari sempena Deepavali (2 - 6 November), minggu ini cuti kami masih panjang juga sempena Keputeraan Sultan Kelantan. Empat hari sehingga Isnin, sememangnya begitu mengujakan.

Seperti selalu, apabila ada ruang cuti maka adalah ruang untuk kelas tambahan. Saya dengan tanpa rasa bersalah, menghalang diri sendiri daripada melakukannya. Jika diikut pada jadual yang diedar, saya perlu ke sekolah untuk kelas tambahan pada setiap hari walaupun cuti! Oh tidak. Saya bukan jenis begitu. Saya maklumkan pada pelajar, saya ada urusan. 

Kelas tambahan sekarang sudah menjadi satu kewajiban yang tidak boleh diabaikan lagi. Kecemerlangan SPM sepertinya terletak di tangan guru, bukan lagi atas usaha gigih para pelajar. Tiada keseimbangan di sini apabila guru bertungkus lumus tetapi pelajar tidak semua hadir. Pincanglah begitu.

Salahkah jika guru memberi ruang kepada pelajar menelaah mata pelajaran sendiri di rumah? Pada zaman teknologi ini, mereka boleh bertanya guru melalui telefon dan tidak perlu bersama-sama di sekolah. Hantar sahaja gambar soalan yang mereka mahukan bantuan dan guru akan menjawab untuk mereka. Rasanya lebih luwes dan selesa.

Saya ini sayangkan masa cuti saya kerana itulah sahaja masanya untuk saya bersama adik beradik yang sesekali pulang bercuti. Jika waktu begini pun saya tidak sempat memesrai mereka, apalah ertinya cuti? 

Hari ini Sabtu, dan anak-anak saudara saya dari Terengganu ada di rumah saya. Tentulah saya abaikan sahaja kelas tambahan di sekolah. Tiada kompromi lagi.

Emak dan abang Lutfi ke Perak menziarah adik Muhammad sekeluarga jadi Anis, Ain, Aisyah dan Afnan ditinggalkan di rumah saya. Saya seronok sebenarnya kerana bukan selalu saya berkesempatan bersama-sama mereka pada masa yang santai begini.

Mujurlah cuti ini saya dan suami tidak ke mana-mana. Pengisian masa di rumah sebenarnya lebih indah dan nikmat.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, November 07, 2018

Nurul Jannah



Nurul Jannah binti Muhammad. Maafkan Ummi Ti kerana tidak mampu hadir melihat Nurul Jannah buat kali pertama dan terakhir. Maafkan Ummi Ti kerana tidak sempat mengucup dan mencium Nurul Jannah sebelum Nurul Jannah dihantar pulang pada yang Maha Pencipta. Jauh di sudut hati Ummi Ti, sungguh benar rasa terkilan dan ralat yang amat sangat.

Nurul Jannah, sesungguhnya takdir tertulis begitu. Nurul Jannah terpilih menjadi penghuni syurga tanpa hisab dan bakal menunggu ibu dan abah Nurul Jannah di sana. Bertuah ibu dan abah Nurul Jannah yang begitu kuat menerima ujian ini.

Doa Ummi Ti tidak pernah berhenti agar Allah memberi kekuatan untuk ibu dan abah Nurul Jannah, serta meningkatkan darjat mereka di sisi-Nya. Mereka ternyata begitu hebat kerana dapat melalui ujian segetir ini yang tidak semua orang mampu menghadapinya. Sungguh, ibu dan abah Nurul Jannah insan terpilih yang dikasihi Tuhan.

Semoga nanti Ummi Ti dapat juga bertemu Nurul Jannah di syurga. 

Amin.






Saturday, November 03, 2018

Ralat

Tidak mudah mengawal perasaan ini, terutama apabila berkait dengan ahli keluarga. Saya tidak mampu menahan perasaan tetapi kerana saya hanyalah seorang isteri, daya apakah yang saya punya?

Dia suami. Saya hanya isteri. 

Tangisan saya masih belum mahu berhenti. Hati saya seperti tiada di sini. Saya ternampak-nampak betapa sukarnya adik saya ke sana ke mari menguruskan musibah ini sendirian, tanpa seorang pun ahli keluarga yang datang membantu. Teruk benarkah keluarga ini sehingga tidak langsung tergerak untuk ke sana? Terkekang dengan apakah lagi urusan dunia sehingga tega membiarkan dia begitu?

Hati saya memang terlalu ingin ke sana, tetapi tiada kemampuan langsung. Memohon izin pun tidak terkeluar dari bibir dek kata-katanya yang menggores hati saya sehingga calar remuk teruk! Mungkin hati saya yang rapuh, sedang dia tidak berniat begitu.

Adik, maafkanlah. Sungguh, maafkanlah!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.