Saturday, November 10, 2018

Ruang Masa

Jika minggu lepas kami bercuti panjang selama lima hari sempena Deepavali (2 - 6 November), minggu ini cuti kami masih panjang juga sempena Keputeraan Sultan Kelantan. Empat hari sehingga Isnin, sememangnya begitu mengujakan.

Seperti selalu, apabila ada ruang cuti maka adalah ruang untuk kelas tambahan. Saya dengan tanpa rasa bersalah, menghalang diri sendiri daripada melakukannya. Jika diikut pada jadual yang diedar, saya perlu ke sekolah untuk kelas tambahan pada setiap hari walaupun cuti! Oh tidak. Saya bukan jenis begitu. Saya maklumkan pada pelajar, saya ada urusan. 

Kelas tambahan sekarang sudah menjadi satu kewajiban yang tidak boleh diabaikan lagi. Kecemerlangan SPM sepertinya terletak di tangan guru, bukan lagi atas usaha gigih para pelajar. Tiada keseimbangan di sini apabila guru bertungkus lumus tetapi pelajar tidak semua hadir. Pincanglah begitu.

Salahkah jika guru memberi ruang kepada pelajar menelaah mata pelajaran sendiri di rumah? Pada zaman teknologi ini, mereka boleh bertanya guru melalui telefon dan tidak perlu bersama-sama di sekolah. Hantar sahaja gambar soalan yang mereka mahukan bantuan dan guru akan menjawab untuk mereka. Rasanya lebih luwes dan selesa.

Saya ini sayangkan masa cuti saya kerana itulah sahaja masanya untuk saya bersama adik beradik yang sesekali pulang bercuti. Jika waktu begini pun saya tidak sempat memesrai mereka, apalah ertinya cuti? 

Hari ini Sabtu, dan anak-anak saudara saya dari Terengganu ada di rumah saya. Tentulah saya abaikan sahaja kelas tambahan di sekolah. Tiada kompromi lagi.

Emak dan abang Lutfi ke Perak menziarah adik Muhammad sekeluarga jadi Anis, Ain, Aisyah dan Afnan ditinggalkan di rumah saya. Saya seronok sebenarnya kerana bukan selalu saya berkesempatan bersama-sama mereka pada masa yang santai begini.

Mujurlah cuti ini saya dan suami tidak ke mana-mana. Pengisian masa di rumah sebenarnya lebih indah dan nikmat.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment