Wednesday, November 28, 2018

Susah

Membelek sehelai demi sehelai muka surat bercetak itu, ada sebak dalam jiwa. Entah kenapa, saya merintih dalam tangis yang tidak kedengaran. Simpati benar pada anak-anak didik saya yang jiwa mereka masih rapuh tetapi diuji sebegini. 

Ini SPM, sijil yang harganya tinggi dan nilainya besar. Matematik Tambahan sudah lama terkenal dengan payahnya, tiba-tiba dibumbui lagi dengan KBAT yang entah apa-apa. Sebagai guru, saya turut sama merasai kehampaan mereka. 

Apa pun, saya sedar ini bukanlah pengakhiran sebuah cerita. Masih terhampar jalan yang panjang untuk mereka lalui. Walaupun saya tahu sukar untuk mengharapkan gred yang terbaik atas keupayaan mereka yang tidak seberapa, harapnya apa yang mereka capai nanti tetap memberi mereka rasa kepuasan. 

Sebagai guru, saya terima perubahan ini. Soalan SPM tahun kebelakangan ini jelas mahu menguji kedalaman pengetahuan konsep dan penguasaan asas murid dalam mata pelajaran ini yang tidak lagi boleh dilatih tubi. Benarlah, dan itulah yang terbaik. Saya terima dengan hati terbuka kerana saya tahu ramai pensyarah universiti yang merungut melihat keupayaan pelajar mereka. Dalam SPM, Matematik Tambahan tertera gred A tetapi konsep asas matematik gagal difahami dengan baik. Itulah silap kami - guru sekolah menengah - terlalu menekankan gred sehingga mengabaikan pemahaman konsep.

Semoga ada perubahan positif bermula dari sebuah kesedaran yang terhasil dari sebuah kesedihan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment