Monday, November 19, 2018

Areef Irsyad

 
Masa, benarlah cepat sungguh berlalu. Masih baru lagi rasanya menyambut anak ini lahir ke dunia pada 28 Disember 2008, kini usianya sudah menjangkau sepuluh tahun. Aktif dan peramah, saya senang sekali melayan setiap tanya darinya. 

Jumaat lepas, mereka sekeluarga pulang dari Perak dan tiba di rumah Ma sekitar 12.30 tengah hari. Saya yang sejak lama menanggung rindu untuk bertemu mereka, terutamanya adik ipar saya Farah yang masih dalam pantang selepas melahirkan, tidak sabar-sabar untuk ke sana. Sambil suami saya keluar untuk menunaikan fardu Jumaat, saya dihantarnya ke rumah Ma. Dek kalut kerana masa yang sempit - baru selesai menjerang nasi dan memasak satu lauk - saya lupa langsung untuk membawa buah tangan.

Tiba di rumah Ma, senyuman Amal dan keletah Afeef amat mesra menyambut saya. Areef pula terus menyeru nama saya meminta tablet. Begitulah anak-anak, tablet umpama permata bernilai yang tidak terganti dengan apa pun!

Dalam masa terhad, sementara menanti suami saya pulang solat, saya sempat membantu Ma memasak di dapur. Ralat juga kerana tidak terfikir langsung untuk membawa apa-apa dari rumah tadi kerana tidak tahu mereka masih belum makan tengah hari. Sangka saya tentu mereka sudah singgah makan di mana-mana dalam perjalanan tadi.

Apabila suami saya pulang, saya pun bersedia jugalah untuk berangkat. Tak semena-mena Areef mahu mengikut. Beria benar dia, walaupun pada awalnya saya melarang. Bukan apa, sebentar lagi Sufi dan Muiz akan datang untuk bertemu dan bermain-main dengannya, tentulah tidak sesuai jika dia tiada. Tetapi dia langsung tidak mahu dengar. Tetap dia menaiki kereta suami saya dan meminta untuk ke rumah saya juga. Baiklah Areef, Ummi Ti suka sangatlah kalau Areef nak ikut!

Tiba di rumah, saya menyiapkan makan tengah hari. Lauk saya memang ringkas sungguh. Tadi sebelum ke rumah Ma saya sempat memasak kepala ikan tenggiri rebus serai. Saya tambah lagi dengan telur mata cecah kicap dan ikan kering keropok. Rupanya kata Aref, dia tak pernah makan kepala ikan rebus serai. Sedap juga katanya. Banyak dia makan, seronok saya tengok.

Usai makan tengah hari, dia mengikut suami saya melayan lembu dua ekor di kandang. Kemudian saya memanggilnya untuk solat Zohor. Dia minta saya temankan sebab takut solat sendirian di bilik. Lepas solat, sambil makan rambutan kami menonton TV dan saya berikan dia tablet. Seronok dia dapat apa yang dia mahu.

Tidak lama, abahnya datang bersama Muiz untuk menjemputnya pulang. Masih dia berkeras enggan pulang, mahu tidur di rumah Ummi Ti katanya. Kelakar juga Areef ini, dia tidak tahu kebosanan yang akan dilaluinya jika betul mahu tinggal di sini! Mujurlah akhirnya dia setuju untuk pulang bersama abahnya apabila kami memberitahu kami mahu keluar ke tempat lain petang nanti.

Begitulah Areef. Sesekali bertemu, tetap mesra di sisi saya dan saya seronok melayan dia. Semoga Allah memberi Areef kemudahan dalam setiap urusan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Doa dari Ummi Ti untuk Areef sekeluarga tidak akan pernah ada hentinya.



No comments:

Post a Comment