Tuesday, November 13, 2018

Sedar

Setiap kali SPM tiba, inilah yang bermain di minda seorang guru seperti saya, yang juga seorang wanita tetapi bukan seorang ibu.

Betapa kesedaran tentang pentingnya, begitu penting dan amat penting sekali peperiksaan ini, ibu bapa mencari ruang untuk menghantar anak-anak mereka sehingga ke pintu dewan. Doa sahaja sesungguhnya tidak cukup pada era masa kini.

Ini pandangan seorang saya. Sekadar pandangan cuma, entah betul entah tidak.

Kasihan anak-anak yang tidak punya ibu bapa, atau yang ibu bapanya jauh, atau yang ibu bapanya tidak mampu hadir meneman hingga ke pintu dewan. Sayunya rasa di hati mereka, kerana mereka sebenarnya mahu dibuat begitu juga tetapi apalah daya.

Dan anak-anak yang dihantar ini, perasaan mereka damai dan tenang amat barangkali, sehingga tentunya dapat menjawab setiap soalan dengan tepat dan mendapat markah penuh. Mungkinlah. Seorang saya berpendapat, cukuplah pesan berpesan di rumah dan cukuplah peluk berpeluk dan salam bersalam juga restu merestu di hadapan pintu rumah. Cukuplah. Selebihnya kirimkanlah doa kerana Allah mendengar walau di mana kita berada.

Jika ibu bapanya bekerja, wajarkah meninggalkan tempat kerja hanya untuk mengiring anak ke dewan SPM? Motivasikah itu? Walaupun seketika, nilai masa dalam kerja tetap diambil kira. Adakah saya kedengaran seperti dengki mendengki?

Sesekali tidak. Saya sekadar melontar pandangan kerana cara ibu ayah memanjai anak sekarang kelihatan lebih melebih. Bahagian yang tidak perlu rasanya tidak usahlah dibuat. Persekitaran kadang-kadang tidak begitu sesuai dan kita wajar pertimbangkan pelbagai situasi.

Sekadar pandangan seorang saya yang tidak pernah dihantar oleh ibu atau ayah pada mana-mana peperiksaan, tetapi bersyukur dan bahagia memiliki ibu dan ayah yang tidak henti mendoakan kebahagiaan hidup kami di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment