Ini perasaannya apabila berada dalam situasi seorang guru yang mengharap terlalu. Melihat keupayaan anak-anak didik saya tahun ini sungguh ia menghadirkan debar yang panjang. Soalan yang ditanya menuntut rasa hairan, bukankah sudah berkali-kali cikgu terangkan? Tidak fahamkah cara cikgu mengajar?
Kata mereka, terlalu banyak perlu ditelan, cikgu. Semuanya bercampur baur. Sejarah, Fizik, Add Maths. Aduh!
Kasihan pula mendengar. Dahulu cikgu pun begitu. Tetapi Allah banyak sungguh membantu. Kalau cikgu kenang kembali kepayahan cikgu dulu dengan keputusan yang cikgu terima, sepertinya tidak layak. Tetapi itulah janji-Nya, usaha seiring dengan doa. Yakin. Harap. Allah tidak pernah memungkiri janjinya.
Sayu juga hati melihat seorang anak murid yang lemah ini masih terus membuat latihan tanpa mahu berhenti untuk makan. Semua kawannya sudah ke dewan makan, dia masih setia meneruskan ulangkaji. Tentulah doa saya untuk anak ini bertalu-talu. Semoga Allah menerangkan laluannya, amin.
Begitulah. Persekitaran seorang guru begitu rencam. Rasa marah boleh saja bertukar sedih sekelip mata dan doa untuk anak-anak murid tercinta tidak pernah terlupa. Mereka umpama anak-anak sendiri, malah mungkin lebih lagi.
Tuhan, semoga debar yang kurasa ini menerbitkan hasil yang tidak kecewa. Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment