Menjelanglah 1 Ramadan 1440 pada Isnin 6 Mei itu. Saya yang baru habis bercuti rehat pada Ahad, melangkah ke sekolah dengan rasa yang biasa-biasa. Sememangnya biasa sahaja kerana saya sudah terlalu biasa berpuasa pada hari-hari persekolahan. Penat pun biasa juga. Bila puasa, memang akan penat tetapi tanggungjawab tetap berjalan.
Saya bermula dengan puasa tetapi menjelang tengah hari uzur saya kembali. Sudah enam hari saya mengalami keuzuran yang tidak seperti biasa. Jujurnya saya keliru mahu anggap ia haid atau istihadah. Semoga apa yang saya pilih diredai Tuhan. Doakan agar saya tidak berterusan dalam kekeliruan.
Hari pertama hingga keempat, menu berbuka dibeli suami dari kantin sekolahnya. Saya cuma perlu memasak untuk sahur dan saya senang sekali begini kerana waktu petang saya tidak terkejar-kejar dan saya punya ruang untuk mengaji dengan lebih lama.
Tarawih pun saya lakukan sendirian di rumah. Bagi saya ia lebih menenangkan. Sudah bertahun-tahun saya begini, dan saya rasa bahagia dengan pilihan ini. Walaupun kata-kata Ustazah Thaniah menjadi kontroversi, sejujurnya saya menyetujui pandangannya. Terpulanglah anda memilih yang mana.
Hari ini sudah 7 Ramadan. Sebentar sahaja ia berlalu sehari demi sehari. Semoga ruang yang diberi Tuhan ini dapat saya manfaatkan sebaiknya.
No comments:
Post a Comment