Sunday, May 05, 2019

Bercuti Lagi

Kali ini di Pulau Pangkor pula.

Suami saya suka sangat bercuti, dan sentiasa sahaja ada idea untuk pergi bercuti. Diajaknya rakan-rakan, dicari pula tarikh, dan sudahnya ia menjadi.

Saya? Menurut sahaja, dalam tidak suka pun saya tiada pilihan.

Sebenarnya, bercuti itu seronok tetapi jika kerap sangat, hilang keterujaannya. Tambah pula jika ada yang tidak kena dalam perjalanan, saya terpaksa mendengar bebelan dan kritikannya yang mengganggu mood saya. Aduhai!

Hari Khamis itu kami bertolak pada jam 3.45 petang dan perjalanan sangatlah panjang.  Cikgu Wan Rusdi dan isterinya Nik Hasni mengepalai kami menuju ke Lumut, Perak. Jam 11 malam baru kami tiba dan menginap di Hotel Brezza. Nak jadi cerita, kereta suami saya dilanggar dari sisi di tempat parking dan kemek sedikit. Apa nak buat, reda sajalah.

Jumaat pagi, kami pusing-pusing dan membeli belah sekitar Lumut. Jam 12 kami menaiki feri ke Pulau Pangkor dan menginap di MNY Hotel. Penginapan kami percuma sebenarnya kerana ada sahabat cikgu Wan Rusdi yang sudi menaja. Alhamdulillah. Semoga rezeki mereka murah dan diberkati. Kami menyewa kereta Proton Wira ACG 6939 untuk kegunaan sehari dengan harga RM80.

Jam 2.30 kami keluar untuk makan dan ronda-ronda Pulau. Memang cantik pulau ini dan bagi yang sukakan aktiviti bot dan snorkling tentu tidak akan melepaskan peluang yang ada. Kedai makan pun banyak dan berpatutan.

Malam, hanya saya dan suami keluar untuk makan kerana cikgu Wan dan isteri sudah kenyang. Sempat saya mencuba lempeng pisang yang dijual di gerai tepi jalan dengan harga RM1.50 selepas selesai makan chicken chop. 

Pagi Sabtu, kami sarapan bertiga kerana isteri cikgu Wan tidak mahu turun. Tidak sihat katanya. Nasi lemak dan teh tarik cukup mengenyangkan.

Jam 9.15 kami bergerak keluar dari pulau menaiki feri. Tiket feri berharga RM14 memang untuk dua hala jadi kami sempat keluar awal kerana tiket sudah ada.

Dari Lumut kami bergerak ke Manjong dan singgah sebentar di rumah kawan suami yang juga anak kepada jiran kami. Oh ya, isterinya ialah dua pupu suami saya.

Jam 11.40 kami bergerak pulang, singgah makan di Kuala Kangsar, solat di Gerik dan makan sekali lagi di Jeli. Akhirnya pada jam 7.48 kami sampai di rumah kami.

Cukuplah dulu untuk kami bercuti. Jika boleh saya sudah tak mahu bercuti lagi untuk tahin ini. Tunggulah tahun depan pula. Saya sudah penat dan jemu. Sungguh!

Gambar-gambar kenangan sepanjang di sana saya simpan di sini.











No comments:

Post a Comment