Wednesday, May 01, 2019

Hati

Saya mengajar diri untuk sentiasa ikhlas dan redha dalam segala perkara, terutama dalam melaksanakan tugas sebagai guru. Tugas yang telah Allah tetapkan sebagai punca pendapatan saya di dunia ini. Dan sebab itulah saya tidak berkira untuk membelanjakan wang sendiri dalam memudahkan urusan saya melaksanakan tugas ini.

Pun belakangan ini, hati saya sedikit tersentuh. Saya cuba untuk tidak membesarkannya kerana bimbang hilang nilai keikhlasan yang selama ini saya benar-benar jaga. Saya takut segalanya sia-sia di sisi Tuhan. Tetapi saya ini manusia biasa yang ada waktunya ingin sedikit pertimbangan.

Semua orang tahu tempat saya bekerja - di bilik peperiksaan - suasananya cukup panas. Bilik ini dibahagikan kepada enam bilik dan satu ruang tengah. Bilik pertama dilengkapi dengan pendingin hawa, bilik kedua dijadikan bilik kebal untuk simpanan bahan peperiksaan dan kedua-duanya berpintu dan berkunci. Empat lagi bilik bukanlah sebenar-benarnya bilik, ia hanya sekadar partition iaitu ruang yang dilingkung dengan papan fomika tanpa pintu dan setinggi lima kaki sahaja.

Bilik pertama tadi dihuni oleh Ketua SU Peperiksaan, Cikgu Haji Yuswadi yang juga merangkap SU SPM. Empat lagi bahagian yang ada itu menjadi milik kami - saya, Noor Hanani, Nor Haida dan Norita - yang masing-masing mempunyai tanggungjawab sebagai SU Peperiksaan di sekolah ini. Saya memegang bahagian Analisis dan Headcount, Hanani menjaga urusan PT3, Haida sebagai Pembantu SU yang akan menyediakan jadual peperiksaan dan Norita mengetuai bahagian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Tugas kami memang sepanjang tahun dan tidak pernah berhenti.

Suatu ketika pada tahun 2016, PKP ketika itu - Pn. Hjh. Wan Shuraya masuk ke Bilik Peperiksaan ini dan berkata, "panasnya bilik ini". Saya menyampuk, memang bilik ini sangat panas Kak Su, tetapi tiada air cond.

Kak Su menjawab, "nanti dapat duit Jogathon kita akan pasang air cond di bilik ini"

Saya bahagia sangat dengan janji Kak Su itu.

Hujung 2016, Kak Su bersara tetapi kata janjinya sentiasa saya ingat. Saya suarakan janji Kak Su kepada pentadbir lain, tetapi tiada apa-apa tindakan. Sudah empat buah kipas saya beli sendiri bagi menyejukkan suasana bilik ini tetapi kepanasan masih berbahang.

Mac lalu, majlis makan malam amal PIBG diadakan untuk kutipan sumbangan tabung. Kutipan agak memberangsangkan dan saya mula kembali menyuarakan tentang pendingin hawa di bilik peperiksaan ini. Juga, saya mahu komputer baru bagi menggantikan komputer tua di bilik ini yang sudah uzur benar. Sambungan internet pun tidak mampu dibuat dengan komputer ini, tentulah sangat tidak sesuai kerana urusan peperiksaan banyak menggunakan aplikasi atas talian. Kami di bilik ini semua menggunakan komputer sendiri, tetapi ini menyukarkan kerja kerana guru-guru lain yang ingin berurusan tentu tidak dapat mencapai kerja kami dari komputer sekolah.

Awalnya, mereka memberi reaksi positif. Pada Isnin minggu lepas, sudah ada orang yang datang melihat-lihat bilik ini bagi pemasangan pendingin hawa. Hati saya berbunga riang.

Isnin lalu, kak Rohana dan beberapa orang guru lagi masuk berjumpa Tuan Pengetua untuk menyerahkan kertas kerja dan quotation pembelian pendingin hawa di bilik peperiksaan dan beberapa bilik lain. Kami menanti dengan penuh harap.

Permohonan kami tidak diluluskan oleh Pengetua.

Mendengar berita itu, sayu dan hiba bertingkah di dada. Sebak. Tidak dapat digambar perasaan saya dan rakan-rakan di bilik ini apabila harapan kami berkecai sebegitu mudah. Sedangkan pada masa yang sama, pendingin hawa yang rosak di pejabat sudah diganti baru, dan kesejukannya mencengkam sehingga ke tulang hitam! Langkah saya ke pejabat akan mengundang sayu teramat.

Masih terngiang kata-kata Kak Norihan PKP apabila saya menyerahkan analisis peperiksaan Mac kepadanya baru-baru ini. Saya masuk ke biliknya dengan peluh merecik di dahi. Dia menegur, "Ti buat analisis sampai berpeluh-peluh!" Saya menjawab, ya Kak Han, bilik peperiksaan itu panas.

Saya cuma mahu sedikit pertimbangan daripada pihak pentadbir. Kami di bilik peperiksaan seumpama nadi bagi sekolah. SPM dan PT3 berpusat di sini, tetapi kami cuma dikerah untuk bekerja tanpa sedikit pun ditanya tentang keselesaan. Kami juga ada perasaan, cuma mungkin setakat ini kami masih mampu bertahan. 

Tentang komputer juga sama ceritanya. Sejak 13 tahun komputer itu kami guna, tentulah keupayaannya sudah tidak sekuat mana. Apabila guru-guru mahu memasukkan markah SAPS, mencetak slip murid, atau mendapatkan analisis dari SAPS, mereka tidak boleh menggunakan komputer itu dan sayalah yang terpaksa menyempurnakan semuanya. Bukankan ia teruk?

Saya tidak tahu apakah sebenarnya keutamaan di sekolah saya. Mungkin bola sepak lebih utama.

1 comment:

  1. Kerana manusia tak semua punyai akal yang sempurna, budi yang saksama.

    ReplyDelete