Tuesday, April 30, 2019

Begini Perasaan

Ahad petang itu, saya mendapat pesanan daripada kakak ipar saya, Kak Rohaizan melalui kumpulan WhatsApp kami. Dia menjemput kami untuk menikmati sedikit jamuan petang di rumahnya. Seperti selalu, jemputan sebegini amatlah saya gemari dan tentunya akan hadir.

Selesai solat Asar, saya bersiap dan tiba di rumahnya yang cuma 800 meter dari rumah kami sekitar jam 5.30 petang. Rupa-rupanya Kak Rohaizan mahu meraikan bakal besannya yang datang menziarah, dan kami dijemput sama memeriahi majlis.

Emak saya juga turut sama berada di situ. Untung juga apabila bernikah dengan jiran, apa-apa majlis yang ipar saya buat, emak tentu akan dijemput sama. Saya tentulah sangat seronok dapat bertemu emak. Dapat berbual dan bercerita dengan emak, walaupun sekejap, ia satu terapi yang mujarab dalam melegakan segala tekanan yang ada. Rupanya banyak cerita yang saya belum tahu dari emak, maklumlah betapa susahnya saya mencari ruang untuk ke rumah emak pada setiap minggu, kerana kekangan tanggungjawab dan masa. Kasihan emak, anak ramai tetapi bersendirian. Mengenang itu saya akan sedih, tetapi saya tidak ada upaya untuk mengubah keadaan.

Emak rancak bercerita tentang tanah yang dibeli, tentang temujanji di klinik dan tentang apa sahaja dengan saya. Sebagai anak, saya selalu berasa terkilan kerana tidak dapat membantu emak menyelesaikan urusan-urusan yang ada. Selalu saya berlepas tangan dan adik-adik saya - Aziah dan Husna - lebih terkehadapan dalam memenuhi keperluan emak. Saya sentiasa kerugian.

Sebenarnya saya sering tersepit, ingin memenuhi kehendak emak tetapi pada masa yang sama suami saya ada urusan lain. Belum sempat saya mencari ruang waktu yang sesuai, adik-adik saya sudah menyelesaikan. Dan begitulah selalunya, dan saya akan sentiasa dalam rasa terkilan.

Apabila emak memberitahu dia mahu ke Tabung Haji mengeluarkan duit untuk bayaran tanah di belakang rumah itu, saya terus menyatakan yang saya akan membawa emak ke sana. Emak kata tidak mengapa kalau saya tidak dapat kerana emak boleh mengajak Aziah, tetapi saya tetap mahu melakukannya. Saya memberitahu suami saya dan suami saya bersetuju untuk membawa emak ke Tabung Haji selepas habis sekolah pada Isnin. 

Dan Isnin itu saya menelefon emak, memberitahunya supaya bersiap pada jam 2.30 petang kerana kami akan mengambilnya sekitar jam 2.45 petang ke Bank Rakyat Wakaf Che Yeh. Emak akur sahaja.

Kami tiba di Bank Rakyat pada jam 3.05 petang dan orang sangatlah ramai. Risau juga saya jika terpaksa menunggu lama. Jika cuma saya dan emak saya tidak kisah sangat tetapi kerana suami saya juga ada, saya sedikit gelisah. Mujur suami saya tergerak hati untuk ke klinik gigi di sebelah bank itu untuk merawat gusinya yang sedikit bengkak, jadi tidaklah masanya berlalu sia-sia. Alhamdulillah urusan kami selesai serentak - sebaik suami saya keluar dari klinik, saya dan emak sudah hampir siap di kaunter. 

Seterusnya kami bergerak pulang, dan tiba di rumah kami pada 4.25 petang.

Nanti untuk urusan emak di klinik, saya akan cuba mencari ruang pada minggu hadapan. Semoga Allah mengizinkan.

1 comment:

  1. Kami yang berjauhan ini tentulah lebih terkilan dan berasa melepas tangan begitu sahaja. Terima kasih kak ti dan abe di tolong uruskan mama.

    ReplyDelete