SMK Kampong Chengal yang saya kasihi telah menganjurkan satu majlis kutipan derma untuk mengisi tabung PIBG kami dan satu majlis makan malam diadakan sempena kutipan tersebut. Para penderma yang membeli kad berharga RM50 dijemput untuk hadir ke majlis itu yang berlangsung pada 5 April 2019 jam 8.00 malam.
Setiap guru diwajibkan untuk membeli sekurang-kurangnya tiga keping kad dan saya tidak terkecuali. Sayangnya suami saya enggan hadir ke majlis itu jadi saya membawa anak-anak saudara saya sebagai ganti.
Mujur Nurul Afiqah dan Mohamad Azrie sudi menerima jemputan saya.
Majlis berlangsung seperti yang dirancang dan tamat sekitar jam sepuluh malam. Hidangan yang sederhana tetap mengenyangkan kami. Nasi putih berlaukkan tom yam, daging merah, ikan sos dan sayur kangkung itu tiada cacat celanya. Alhamdulillah.
Sebenarnya ada sahaja suara-suara yang tidak bersetuju dengan majlis seperti ini. Mungkin mereka terbeban dengan tugas untuk menyempurnakan majlis yang bukan kecil dan dihadiri VIP juga. Mujur saya tidak diberi tugas besar, hanya membantu Ustazah Raziah mencari murid-murid yang layak untuk menerima sumbangan pada malam itu. Dan tugas itu selesai sebelum majlis berlangsung.
Apa pun, setiap perkara akan sentiasa ada pro dan kontra. Sebagai insan yang mahu positif, saya terima semuanya dengan hati terbuka. Semoga ada rahmat dari-Nya untuk kami di sini.
No comments:
Post a Comment