Saturday, April 13, 2019

Ceritera Sabtu

(Setakat jam 2.14 minit tengah hari)

Seperti biasa, suami saya akan ke masjid bersolat Subuh dan hanya pulang paling awal pun jam 7.30 pagi. Waktu bersendirian di rumah pagi-pagi begini amat menenangkan. Alhamdulillah.

Seperti yang kami rancang, kami keluar bersarapan pagi di Warung Nasi Dagang Kak Yah, Gong Nering. Lima puluh minit sahaja perjalanan kami, dan pada jam 8.44 pagi kami tiba di kedai tersebut.

Suami saya memang penggemar nasi dagang di sini. Gulai ayam kampung dan gulai serati disediakan berselang hari dan hari ini giliran gulai serati. Suami saya mengambil dua ketul gulai serati dan habis dimakan dengan berselera sekali. Sedap sungguh, katanya. Ikutkan hati mahu menambah seketul lagi. Saya seronok melihat dia berselera begitu.

Hidangan kami. Air belum sampai. 

Saya kali ini mahu mencuba nasi minyak pula. Lauk yang saya pilih ialah kerutuk daging dan ayam gulai. Sedap. 

Jam 9.15 kami selesai makan dan harga cuma RM20 untuk hidangan kami kali ini. Kami terus memandu pulang, dan saya seperti biasa layu di tengah jalan. Tertidur dengan lenanya!

Pulang ke rumah, saya memulakan agenda seorang suri rumah pula. Menyiapkan basuhan kain dan melipat kain sahaja sudah memakan masa yang lama dan boleh tahan penatnya. Maklumlah, seminggu cuma sekali melakukan aktiviti ini. Tentunya mesin basuh berputar berkali-kali hari ini dan kain yang perlu dilipat pula penuh sebakul. Mana tak penat!

Menjelang tengah hari, saya ke dapur. Menu hari ini atas permintaan suami iaitu sotong serai, telur itik goreng dan pucuk paku goreng. Panasnya memasak di dapur saya, peluh menitik-nitik tetapi saya tahankan sahaja. Alhamdulillah selesai juga pada jam 1.40 tengah hari dan kami sama-sama menikmatinya selepas suami pulang dari masjid.

Usai makan, saya merebahkan badan di katil dan menghadap telefon pula. Rupa-rupanya ada missed call dari ma sewaktu saya di dapur tadi. Saya terus mendail semula.

Kata ma, Zahidah mahu ke kedai emas tetapi tidak tahu mahu ke Kota Bharu atau ke Ketereh. Ma bertanya pendapat saya.

Saya kata boleh saja mana-mana, tetapi jika mahu yang dekat tentulah Ketereh. Terpulanglah. Ma bertanya saya mahu ikut sekalikah? Ya Tuhan, hati saya mahu tetapi ada kekanganlah pula. Saya perlu menyiapkan beberapa perkara lagi hari ini dan saya terpaksa menolak pelawaan ma dengan hati yang berat.

Begitulah ceritanya.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment