Khamis itu seperti berbeza apabila berlaku sesuatu yang mengejutkan kami seluruh warga Chengal. Belum pernah ia berlaku seperti ini dan kami seperti hilang arah. Di sana jeritan, di sini tangisan. Murid terpinga-pinga, guru tertanya-tanya. Dugaan apakah ini?
Mungkin misteri sebegini sukar dirungkaikan. Dalam enggan percaya, ia ada. Dalam mahu menafikan, ia wujud di depan mata. Alam ghaib itu sangat tidak mampu kita telah, tetapi bila berlaku terpaksalah mencari jalan untuk memulihkan keadaan. Sukar kerana puncanya seperti terlalu misteri.
Kata mereka ia bermula di tempat perkhemahan. Ada pula yang berkata ia cuma di sini, di padang Chengal. Entahlah, saya tidak tahu dan tidak pasti. Saya hanya memerhati sambil menaakul misteri yang sukar diungkap.
Dia menyerang anak-anak murid yang lemah semangat, kata mereka lagi. Guru-guru pun tidak terkecuali apabila dua orang turut menerima tempiasnya. Ya Tuhan! Bantulah kami.
Kami dibenar pulang awal pada hari itu, dan hari ini - Ahad - kami mengadakan majlis Solat Hajat dan bacaan Yasin pada masa perhimpunan. Pun seusai acara, sewaktu Pengetua sedang berucap, ada lagi pelajar yang diserang. Begitulah. Kami tidak ada daya upaya selain Mu Tuhan.
Semoga terungkai dan tamatlah segala misteri yang sebegini selepas ini. Amin.
No comments:
Post a Comment