Friday, April 12, 2019

Hukum

Geger lagi, isu murid dirotan hingga lebam dan bengkak. Ibu bapa melapor, guru pun menyindir. Saya cuma menggeleng.

Cukup-cukuplah. Guru yang baik bukanlah yang suka mendenda. Bukanlah dengan merotan itu pendidikan menjadi lebih berkesan. Sungguh ia bukan begitu. Jadilah guru yang berhemah, tahu mengawal perasaan dan bijak menyelidik. Menghukum itu biarlah jalan yang paling akhir dan lebih baik jika ia tidak berlaku.

Sewaktu alam persekolahan dulu saya jarang didenda, baik oleh guru atau pun ibu bapa. Sebab itu apabila sekali saya didenda, jiwa saya terdera teruk. Saya jadi sakit hati, malu, benci dan segala perasaan negatif datang mengganggu. Lama untuk ia hilang dan kembali pulih, dan saya tidak suka perasaan itu. Saya melaluinya dan saya tidak mahu anak-anak murid saya merasainya. Kadang-kadang denda itu bukan kerana salah saya, tetapi salah faham. Bukankah ia sangat meremukkan hati?

Emosi terganggu, fikiran kacau dan tidak mampu fokus di dalam kelas. Itukah kesan yang kita mahu?

Cubalah kita berfikir dengan lebih ke hadapan, pada era yang sudah dikuasai teknologi ini untuk menjadi guru yang bukan terkebelakang, yang suka mendenda, berleter dan mencipta jurang dengan murid. Guru kini ialah yang mendekati, memesrai dan memahami. Tenang, positif dan penuh hemah. Bukankah guru itu obor hemah menyinari pertiwi?

No comments:

Post a Comment