Selasa itu saya sepatutnya pulang seperti biasa kerana tiada mesyuarat juga tiada kelas tambahan. Sudah saya maklumkan kepada suami yang waktu pulang saya ialah jam 2.10 petang dan selalunya dia tiba sekitar 2.30 untuk menjemput saya.
Tiba-tiba telefon saya berdering pada jam menghampiri 12 tengah hari, irama panggilan dari suami. Dia mahu saya pulang sendiri hari ini kerana dia perlu hadir ke PPD untuk menerima memo. Langsung hati saya terdetik, suami saya naik pangkat!
Saya sebenarnya tidak bersedia untuk pulang sendiri hari ini kerana jika pulang sendiri, saya akan singgah di rumah ma tetapi ma tiada di rumah, ma ke RTC dengan Husna untuk membuat pasport. Saya mahu ke mana? Saya kurang selesa jika kawan saya menghantar ke rumah kerana rumah saya jauh terperosok ke dalam, dengan jalan yang sempit. Kasihan pula dia melalui kesukaran hanya untuk menghantar saya.
Sudahnya, saya terfikirkan Grab. Ya, itulah pilihan yang ada. Untuk mengelak kesesakan saya mohon keluar lebih awal dan PKP mengizinkan. Grab membawa saya pulang pada jam 1.50 dan Alhamdulillah selamat tiba di rumah saya sepuluh minit kemudian dengan tambang RM10. Benarlah Grab sangat memudahkan insan-insan seperti saya.
Suami saya juga tiba di rumah hanya dua minit selepas saya. Sangka saya dia sudah berada di PPD, rupa-rupanya dia pulang ke rumah dahulu untuk bertukar pakaian. Aduhai, begitu sekali dia mahu kelihatan segak berhadapan dengan pegawai di PPD.
Jam 4.20 minit suami saya pulang dengan wajah yang bahagia. Ya benar, dia dinaikkan pangkat sebagai Guru Kanan Bahasa di sekolah yang sama. Saya sudah mengagak dan mengucapkan tahniah kepadanya.
Perasaan saya? Tentulah saya tumpang gembira kerana dia suami saya. Cuma saya risau jika beban tugas yang bakal bertambah akan menambahkan tekanan padanya. Saya kenal dia, suami saya memang seorang yang sensitif dan kadangkala negatif. Saya risau jika dia dilanda tekanan dengan tugas-tugas baharu apatah lagi jika bersabit dengan teknologi. Saya boleh membantu dari segi luaran tetapi apalah upaya saya jika ia berkait emosi.
Apa pun, saya berdoa agar segalanya dipermudahkan. Amin.
No comments:
Post a Comment