Saturday, April 27, 2019

Hujung Minggu

Selepas berhari guru dengan jayanya pada Khamis itu, badan saya sakit-sakit. Dek jarang-jarang bermain dan bersenam, badan cepat benar letih. Ditambah cuaca yang panas merecik, peluh bertitisan tanpa henti kerana berjubah Arab, saya lelah sekali.

Jam menghampiri satu, majlis pun selesai. Semua orang pulang tetapi saya masih menanti pemandu tiba. Hajat hati mahu selesaikan RPH tetapi mood sudah ke laut kerana penat yang amat. Saya menghabiskan masa menanti suami tiba dengan bermain game sambil mendengar lagu-lagu kegemaran di laptop. Nasi Arab yang dibekalkan untuk makan tengah hari kami, saya usik sedikit sahaja. Pulang ke rumah nanti saya akan habiskan, jangan risau.

Di rumah saya benar-benar berehat. Suami saya ada jemputan tahlil malam ini jadi saya hanya santap mi segera. Sempat juga saya menonton episod akhir Patah Sayap Bertongkat Paruh di Astro Ria sebelum lena seenaknya pada jam 11.

Pagi Jumaat, saya bangkit dengan rasa sakit yang masih bersisa. Alangkah enaknya jika dapat berurut dari pinggang ke bawah, tetapi di mana? Suami saya pulang dari masjid jam 7.30 bersama sarapan dan saya kembali berehat.

Malas sungguh rasanya hendak selesaikan segala urusan rumah tangga, mahu berlingkar di katil sahaja jika boleh! Tetapi tetap saya siapkan basuhan kain dan mengemas dapur sebelum keluar berbelanja di G Orange pada jam 10.

Tengah hari ini saya masak tom yam campur, ikan gelama goreng dan telur dadar. Alhamdulillah.

Petang, saya dan suami berserta ipar duai menghadiri kenduri kesyukuran di rumah saudara suami di Kampung Kor. Singgah sebentar di rumah ma sebelum pulang ke rumah semula pada jam 6.

Malam ini saya cuma panaskan tom yam tengah hari tadi untuk dimakan dengan mi, menjadikan hidangan mi tom yam yang lazat.

Jam 10.30 saya tidur, tetapi terjaga sejam kemudian kerana bekalan elektrik terputus. Panasnya tidak terkata, tetapi mujurlah sekejap sahaja dan saya kembali lena apabila bekalan elektrik kembali pulih pada jam 12.10 malam.

Pagi Sabtu hari ini, kami keluar jam 6.45 ke airport untuk menghantar kak Rohaini dan Afiqah yang akan ke Johor Bahru.  Kami bersarapan di kedai makan berhampiran dan jam 8.25 kami sudah selamat tiba di rumah semula.

Saya meneruskan tugas suri rumah saya dengan membasuh balkoni rumah saya yang kotor diberak burung dan cicak, seterusnya menggosok pakaian dan melipat kain.

Penat lagi.

Sekarang saya sedang berehat di bilik, dan perut saya sudah kembali berirama.

Sekian.

No comments:

Post a Comment