Sunday, April 28, 2019

Tahap

Awal saya menjadi guru dahulu, saya tidak tahu banyak tentang perbezaan antara individu. Benar kami diajar tentang psikologi dan kelakuan individu, perbezaan antara murid cemerlang, sederhana dan lemah sewaktu Kursus Perguruan dahulu tetapi apabila berada dalam dunia nyata, saya terlupa.

Masih saya ingat sewaktu mengajar Matematik Tingkatan Lima di SMK Kuala Krai kira-kira dua puluh tahun lalu. Saya mengajar dengan penuh perasaan, lengkap persediaan dan saya yakin benar murid saya faham semuanya. Saya rasa mustahil mereka tidak faham kerana tajuk itu sangat senang. Sehinggalah apabila saya memberi mereka ujian.

Terkejut amat saya apabila melihat jawapan mereka yang seperti tidak tahu apa-apa. Saya rasa sangat marah. Kenapa tajuk semudah ini pun mereka tidak faham? Mereka murid kelas pertengahan, bukannya murid lemah. Saya berleter panjang dalam kelas mereka. Mereka diam dan mendengar. Tetapi pada ujian seterusnya pun, jawapan mereka tetap mengecewakan saya. Saya seperti sukar untuk menerima kerana saya rasa saya sudah memberi segala penerangan dengan jelas, contoh penyelesaian yang banyak dan juga teknik. Hati saya tidak puas kerana mereka tidak mendapat markah seperti yang saya mahu.

Perlahan-lahan, saya mula menyedari yang sememangnya manusia ini berbeza. Walaupun pada awalnya saya hairan kenapa benda yang mudah pun mereka susah faham, tetapi akhirnya saya sedar yang mudah itu adalah pada saya, sedang pada mereka ia susah. Dari tahun ke tahun saya mula mempelbagaikan kaedah dan cuba mendekati murid-murid lemah dengan mengajar mereka mengikut tahap mereka. 

Daripada pengalaman begini, saya mendapat banyak pengajaran. Saya tidak boleh menyamakan keupayaan murid, saya mesti memberi mereka sesuai dengan tahap mereka dan saya perlu rajin mengasingkan soalan untuk kategori murid yang pelbagai.

Dan perkara ini sebenarnya bukan hanya pada murid yang kami ajar, tetapi terpakai juga kepada rakan-rakan guru sekeliling saya. Apabila mereka bertanya tentang komputer - internet atau perisian - saya tidak boleh menerangkan secara pemahaman saya kerana mereka tidak akan dapat memahami. Walaupun saya rasa hairan kenapa susahnya mereka mahu faham sedangkan benda mudah sahaja, tetapi yang mudah itu ialah pada saya. Mereka tidak terdedah dengan komputer sebagaimana saya. Kadangkala saya rasa kecewa kerana sebagai guru mereka perlu malah wajib belajar Word, Excel, Internet dan benda-benda asas yang lain kerana mereka tidak boleh lari daripadanya. Saya dahulu pun belajar sendiri juga, tidak pernah berguru secara formal tetapi mungkin saya minat dan ingin menambah pengetahuan dan tidak pernah memandang rendah kebolehan sendiri maka saya mampu menguasai.

Ada waktunya saya rasa marah kerana mereka malas belajar, tetapi apabila saya mengajar mereka saya tahu yang mereka memang tidak mampu. Mereka bukan seperti saya yang minat benar dengan komputer sejak saya kenal apa itu komputer. Mereka adalah golongan yang lebih minat kepada memasak, mengemas rumah, melancong, mencari resepi baru, mencuba fesyen baru dan semua yang bukan jiwa saya. Dan itulah kepelbagaian dalam kehidupan manusia. Raikanlah.

No comments:

Post a Comment