Sunday, May 31, 2020

Peti Sejuk

Peti sejuk rumah emak sudah uzur benar walaupun usianya baru 11 tahun (saya beli pada 2009). Mungkin saiznya yang kecil tetapi selalu diisi banyak barang menyebabkan ia cepat rosak. Mahu dibaiki pun rasa seperti tidak berbaloi.

Khamis lalu, atas permintaan emak, saya dan Aziah ke G-Orange untuk membeli peti sejuk baru. Kali ini emak memberi wangnya dan kami cuma membeli sahaja. Kata emak, duit rayanya banyak, bolehlah dia guna untuk beli peti sejuk baru. Kami akur saja.

Peti sejuk berjenama Toshiba berwarna hitam dengan isipadu 480 liter berharga RM2099 menjadi pilihan kami. Sebenarnya pening juga memilih sebab ada banyak sangat model yang menarik. Mungkin yang kami pilih ini adalah ilham dari Tuhan, dan semoga ia tidak meragam sebelum masanya.

Selamatlah sudah peti sejuk itu tiba ke rumah emak pada petang Sabtu semalam. Semoga ia dapat memberi bakti seperti yang emak harapkan. Amin.




Saturday, May 30, 2020

Puasa Sunat

Hari ini sudah 7 Syawal. Alhamdulillah, walaupun beraya dalam PKP tetapi saya seronok sekali. Tenang dan aman rasa di hati.

Seperti yang dianjurkan, dalam Syawal ini kita disunatkan berpuasa sunat enam hari. Saya boleh nampak peluang itu ada untuk saya kali ini kerana hanya berpuasa di rumah sahaja dan tetamu pun tiada. 

Sebelum ini, saya memang jarang benar berpuasa sunat. Pada saya, puasa qada pun sangat sukar, apatah lagi puasa sunat. Seingat saya puasa enam yang pernah saya lakukan hanyalah sewaktu di universiti dulu, itu pun saya sekalikan dengan puasa qada. Ya, masa anak dara tenaga masih melimpah. Dan sebagai pelajar universiti bukanlah penat mana pun. Sahur pun cincai-cincai, dengan biskut atau roti saja. Berbuka pula beli nasi bungkus. Senangkan?

Bila dah semakin berusia, puasa menjadi begitu mencabar bagi saya. Nak habiskan puasa ganti pun selalu sehingga ke Syaaban.

Alhamdulillah suasana PKP ini ada banyak hikmahnya. In shaa Allah, bersama-sama dengan suami saya akan cuba menyelesaikan puasa enam pada tahun ini. Semoga Allah memberi kekuatan. Amin.

Wednesday, May 27, 2020

Mimpi Raya

Malam tadi saya bermimpi pergi beraya di rumah adik-adik saya, Ismah dan Zahidah. Dalam mimpi saya itu, rumah mereka berada pada bangunan yang sama, Ismah di tingkat lima dan Zahidah di tingkat empat.

Mungkin saya rindu untuk beraya dengan adik-adik manja saya ini sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Maklumlah, selama ini tidak pernah kami beraya berasingan begini. Walaupun hanyalah raya, dan akan tiba lagi raya pada tahun-tahun mendatang (jika usia masih ada) tetapi rindu itu bukan boleh diusir-usir.

Selalu saya iri melihat keluarga yang tinggal berdekatan, seperti adik beradik suami saya yang membina rumah sebelah menyebelah sahaja dengan rumah Mek. Ya lah, rezeki mereka memiliki tanah luas yang muat untuk lima beradik. Sedangkan kami, tidak begitu.

Jika tinggal berdekatan begitu tentu kami boleh bertemu selalu-selalu. Kami adik beradik seingat saya bukan jenis yang gemar bergaduh atau bermasam muka, walaupun selalu berbeza pendapat dalam banyak hal. Kami boleh menerima perbezaan dan tidak ambil hati atas segala kesalahan. Jadi jika tinggal berdekatan pun tentu tiada masalah.

Pun begitulah, impian itu tidak mungkin dapat terlaksana. Rumah abang Lutfi di Terengganu, rumah saya di Kg Chenok, Aziah pula di Beta, Husna di Mulong, Rifqi di Johor, Muhammad di Pasir Mas, Ismah di Putrajaya dan Zahidah di Shah Alam.

Biarlah berjauhan, asal kasih kekal berpanjangan.

Tuesday, May 26, 2020

Salam Aidilfitri

1 Syawal 1441 tiba pada Ahad 24 Mei 2020 lalu. Alhamdulillah.

Saya bangkit jam 5.10 pagi untuk memulakan hari. Seperti janji saya pada Ma, saya sediakan gulai udang dan mihun goreng untuk dibawa ke rumah Ma nanti. Kami berpakat menyiapkan menu raya tahun ini untuk dihidang dan dinikmati di rumah Ma.

Adik ipar saya, Cik Nab memasak nasi dagang dan gulai ikan tongkol manakala adik saya seorang lagi, Aziah menyediakan gulai ayam. Husna pula diberi tugas menyediakan telur rebus.

Pakaian raya kami tahun ini sebenarnya hanyalah pakaian yang sedia ada. Suami saya berjubah hitam yang dibeli di Mekah beberapa tahun dulu. Saya pula berbaju kurung hitam, berkain sarung susun dan bertudung merah. Baju kurung itu sudah pernah saya pakai sekali ke sekolah awal tahun ini. Kiranya masih barulah juga.

Jam 8.00 pagi kami turun ke rumah Mek dahulu. Jam 8.30 barulah ke rumah Ma.

Kami menjamah nasi dagang sebagai sarapan sebelum memulakan acara solat raya yang diimamkan oleh Amin, dan khutbah dibaca Ustaz Rifqi.

Apabila jam menghampiri 10.00 pagi, kami beransur pula menuju ke rumah adik beradik di sekitar. Jam 11 pagi kami pulang ke rumah.

Ustaz Rifqi dan keluarga sedang menunggu kami untuk beraya. Hidangan yang ada cumalah biskut raya dan air oren.

Hari raya kali ini memang berbeza kerana ziarah hanyalah dari keluarga terdekat. Saya sangat menyukainya. Pun ada juga dua tetamu yang hadir pada raya pertama ini iaitu sahabat suami dari Meranti yang datang sekeluarga (4 orang) dan jiran sekampung yang datang sendirian.

Alhamdulillah, selesailah 1 Syawal kali ini, dan doa saya semoga kita sentiasa dalam reda Allah jua.

Abang dan adik-adik yang beraya berjauhan kali ini, sesungguhnya kalian tetap dalam ingatan kami.

Saturday, May 23, 2020

Eh Raya?

Penyimpan Mohor Besar dah umum dah malam tadi, raya hari Ahad esok. 

Hailah raya, tiba jua akhirnya.

Sungguh, tahun ini adalah raya yang paling saya suka. Apabila Menteri dan Pengarah Kesihatan duk ulang-ulang berpesan suruh raya minimalis sahaja - tak boleh ziarah-ziarah - saya cukup seronok. Ya, inilah raya yang saya mahu, hanya beraya dengan suami, mak, adik beradik dan keluarga terdekat sahaja.

Tentu nanti jalan raya tak sesak. Tentu nanti kuih raya tak payah sedia banyak. Tentu nanti duit raya hanya untuk anak beranak.

Bukanlah kerana saya ini kedekut, tidak. Cuma saya tak suka raya yang penat. Setiap hari kena masak juadah, setiap hari kena gosok baju raya, setiap hari kena keluar ziarah. Penat sangat!

Terbukti saya ini introvert yang pekat. Yang rimas dalam keramaian dan lelah dikelilingi orang asing. Saya suka cuma keluarga sendiri, dan yang paling aula ialah menyendiri.

Alhamdulillah. Raya ini harapnya sebegitulah. Seperti yang disaran kerajaan Malaysia. Walaupun saya masih sangsi adakah orang kita mendengar kata? Saya tidak boleh menjangka. Entah-entah masih ada rombongan budak-budak mencari duit raya. Manalah tau kan? Semoga ibu bapa menasihati anak-anak mereka untuk kekal di rumah. Walaupun pendapatan raya mereka terjejas teruk tahun ini, ingatlah kesihatan lebih utama.

Saturday, May 16, 2020

Syawal Ini

Hari ini sudah 23 Ramadan 1441H. Syawal sedang mengintai-intai untuk mengambil gilirannya lagi seminggu. Pantas bukan masa berlalu? Seperti tidak terkejar oleh kita yang alpa ini.

Dalam suasana PKPB yang masih bersisa ini, suasana Syawal kali ini pasti akan berbeza nian. Sudah bersediakah kita untuk mematuhi SOP yang ditetapkan?

Pada saya, inilah Syawal yang saya impikan. Syawal yang tenang tanpa gangguan, selain bertemu keluarga terdekat. Ada juga rasa sedih dan sayu kerana adik Zahidah, Ismah dan abang Lutfi tiada di sisi keluarga, tetapi kami yakin ada hikmahnya yang akan terhurai suatu waktu nanti. Semoga adik Zahidah, Ismah dan abang Lutfi tetap berbahagia menyambut Syawal walaupun berjauhan.

Perancangan saya pada Aidilfitri yang bakal tiba ini hanyalah untuk ke rumah Ma dan Mek untuk bermaafan, dan seterusnya pulang ke rumah untuk beraya sendiri-sendiri. Harapnya semua saudara dan sahabat memahami yang aktiviti kunjung mengunjung sangatlah tidak digalakkan dalam suasana PKPB ini.

Jadi, bagaimanakah beraya sendiri-sendiri itu?

Bagi yang memiliki keluarga besar, nikmatilah segala juadah istimewa yang disediakan itu bersama-sama dengan penuh kesyukuran dan bersulam kemesraan. Tanpa tetamu, tentu lebih banyak ruang untuk bermesra dan bercerita juga bergelak ketawa. Bagi yang berdua sahaja seperti saya, raikanlah dengan sama-sama menonton rancangan TV yang menarik, juga sama-sama menyediakan juadah untuk makan tengah hari. 

Ah, apa-apa sahajalah aktiviti yang seronok boleh dilakukan, demi memenuhi tuntutan Syawal walaupun tiada tetamu. Pada saya, ia lebih istimewa begini kerana ada ketenangan di hati.

Semoga Syawal dalam PKPB ini tetap memberi makna yang akan dikenang suatu hari nanti.

Selamat Hari Guru.

😁😁

Saturday, May 09, 2020

Cuti Memasak

"Hari ni Ti tak payah masaklah, kita keluar beli lauk je petang nanti.."

Suara suami saya bergema memecah sunyi seusai solat Subuh pagi tadi. Saya tersenyum bahagia, Alhamdulillah!

Bukanlah saya ini malas sangat, tetapi diberi cuti memasak sebegini sangat melegakan. Sekurang-kurangnya saya tidak resah menanti ulasan suami pada masakan saya. Kalau dia komen lauk yang dibeli, lantaklah. Saya tak rasa apa pun. Haha!

Suami saya ni nak kata cerewet sangat tu tidaklah, tetapi lidahnya dan lidah saya tak sama. Bila dia merasa lauk masakan saya, akan ada sahaja ulasannya yang menunjukkan masakan saya itu belum mencapai tahap yang dia mahu. Saya jadi susah hati untuk memasak lauk itu lagi, nanti tak sampai-sampai ke tahap kemahuan dia sebab saya tak memiliki deria rasa yang sama dengannya. Itulah masalah saya yang paling utama.

Tapi kalau masakan saya sedap, dia akan puji melambung-lambung. Boleh buka restoranlah, boleh ambil tempahanlah. Kemudian bila saya masak lagi sekali dan tak sama rasa, dia akan kata "eh, yang hari tu lagi sedap!" Mau tak kecewa saya?

Jadi bila dicutikan hari ini, tentulah saya lega amat. 

(Kebetulan DG Dr. Noor Hisham pun diberi cuti dari sidang media hari ini, samalah kita Dato'!)

Lauk yang dibeli hari ini sangat memenuhi selera saya. Ayam pedas, ikan cencaru sumbat, ikan ketuka bakar cecah air asam dan kerabu sare. Habis licin semuanya kecuali ikan cencaru ada sikit lagi.

Apa komen suami saya?

Air asam yang saya buat lagi sedap. Sudahnya air asam yang dibeli itu saya kena tambah gula sebab katanya tak rasa manis. Barulah boleh makan.

Saya pula? No komen. Suap, kunyah dan telan.

Alhamdulillah.

Nasi Dagang

Ini percubaan pertama. Saya yang bagi idea pada suami untuk berbuka dengan nasi dagang dan dia setuju saja.

Entahlah kenapa (buang tebiatkah?) saya rasa mahu mencuba resipi nasi dagang tanak ini. Saya nampak macam mudah dan saya mahu lihat hasilnya. Ya, saya rajin menggugel resipi tau!

15 Ramadan semalam, saya realisasikannya.

Saya campur beras serindit dan beras pulut dalam nisbah 1:3 (agak-agaklah) menjadikannya secawan beras. Saya rendam selama 40 minit bersekali dengan setengah sudu kecil halba, bawang merah hiris dan halia hiris. Seterusnya saya masukkan santan setengah kotak kecil dan tanak dalam periuk nasi elektrik.

Sekejap aje dah masak. Baunya memang macam nasi dagang. Tapi rasanya kena tunggu nanti berbukalah ya!

Untuk lauk, saya sediakan kerutuk ayam kampung. Saya buat mudah-mudah je, malas nak bersusah-susah.

Saya kisar bawang merah, bawang putih, halia dan lengkuas. Saya tumis bunga lawang dan kulit kayu manis dan masukkan bahan kisar tadi juga sebatang serai dititik. Dah wangi tu saya masukkan pula rempah kerutuk adabi yang dibancuh dengan sedikit air. Seterusnya saya masukkan lapan ketul ayam yang sudah dipotong kecil dan sedikit air.

Apabila ayam dah empuk, saya masukkan santan, garam, gula, asam keping dan kerisik. Manisan pun saya masukkan juga sebab kerutuk kena manis sikit, baru sedap.

Apabila kuah pekat dan ayam empuk elok, saya padamkan api dan dekat berbuka nanti saya panaskan balik. Oh ya, saya siap masak jam 4 petang. Jadi lepas ni saya boleh rehatkan badan sebab air dan kuih suami saya akan beli di kedai sahaja nanti.




Sekian.

Tuesday, May 05, 2020

Solat Tarawih

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Alhamdulillah, bulan Ramadhan kembali menemui kita. Banyak ilmu yang perlu kita ulangkaji berkenaan amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan, agar kita dapat memperoleh manfaat dan ganjaran yang sepenuhnya pada bulan yang mulia ini.

Risalah ringkas ini akan membincangkan tentang "Solat Terawih" dan perkara yang berhubung kait dengannya.

Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah saw menganjurkannya pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:

((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]

Maksudnya: "Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas." [Sahih Muslim, no: 759]

Takrif Solat Terawih:

Menurut bahasa (lughah): Terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.

Menurut istilah: Terawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan. Bermula waktunya selepas solat isya' dan berakhir dengan masuk waktu subuh, tidak termasuk sunat ratibah isya' dan solat witir.

Dinamakan terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat (dua salam).

Solat terawih termasuk solat tahajjud atau solatul-lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

 

Waktu Melakukan Solat Terawih.

Sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas: "Sesiapa berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan…". Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat terawih ialah sesudah masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Ini bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir malam.

 

Hukum Solat Terawih

Solat terawih hukumnya sunat mu'akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah saw telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah sunat dan tidak wajib.

Sejarah Terawih:

Ummul Mukminin Aishah ra, meriwayatkan bahawa Rasulullah  saw melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. [HR Bukhari dan Muslim].

Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda saw bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.

Abi Zar t meriwayatkan Nabi saw bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda saw: "Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat". Maka Nabi saw bersabda:

((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]

Maksudnya: "Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)." [HR At-Tirmizi, sahih].

Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga selesai dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.

Berkata sebahagian ulama': "Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam."

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir ra bahawa Nabi Muhammad saw melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.

Khalifah Umar bin Al-Khatab ra  ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab ra.

Solat terawih dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.

 

Cara Perlaksanaan Solat Terawih.

Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah saw seperti hadis di atas.

Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.

Menurut imam Al Ghazali rh walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.

 

Bilangan Rakaat Solat Terawih.

Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat?

Persoalan jumlah rakaat bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat kedua: Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ketiga: Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat witir.

Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.

Ibnu Umar ra menceritakan: Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi saw:

صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.

Maksudnya: "Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat" [HR: Bukhari].

Rasulullah saw tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.

Berkata Imam Asy-Syafie: "Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat terawih di  Madinah 39 rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan)."

Katanya lagi: "Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai."

Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat separuh jalan.

 

Antara Kualiti dan Kuantiti.

Persoalan yang lebih penting dalam solat terawih ialah cara melaksanakannya. 8 atau 20 rakaat, yang penting ialah membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca senafas dan jangan dibaca dengan tujuan mengejar jumlah rakaat.

Demikian juga dengan toma'ninah dalam solat, jadi yang penting ialah kualiti dan bukan kuantiti. Maka pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).

 

Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ialah:

1. Meninggalkan bacaan al-Qur'an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur'an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: "Dan bacalah al-Qur'an dengan tartil." [Surah al-Muzammil:4]

2. Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.

3. Mengabaikan toma'ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya.

Pernah seorang lelaki bersolat tanpa toma'ninah pada zaman Rasulullah saw. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu menunjukkan toma'ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih atau selainnya, adalah tidak sempurna.

4. Tidak mengambil berat tentang melurus dan memenuhkan saf solat. Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُم .

Maksudnya: "Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu)." [HR Bukhari].

Sabda Baginda saw lagi:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاةِ

Maksudnya: "Luruskan saf-saf solat kamu, kerana saf yang lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat." [HR Bukhari].

Berdasarkan perbincangan  di atas, sama-samalah kita jadikan solat terawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti.  

Semoga semua amalan baik kita diterima oleh Allah swt.

 Sekian.

ِِِAkhukum, Abu Anas Madani.

Pondok Sungai Durian, 4 Ramadhan 1430H.

 Rujukan:

–         التراويح أكثر من ألف عام في مسجد النبي عليه الصلاة والسلام. – الشيخ عطية محمد سالم.

–         حكم التراويح والزيادة فيها على إحدى عشرة ركعة. – دكتور عبد الرحيم الهاشم، دار ابن الجوزي، 1426هـ.

–         تيسير الفقه في ضوء القرآن والسنة (فقه الصيام) دكتور يوسف القرضاوي

Monday, May 04, 2020

Sakit

Sepanjang PKP ini, saya ada dua temujanji. Satu di HRPZ di unit Cardiology dan satu lagi di HUSM di klinik Gynaecology. Kedua-duanya ditangguhkan ke tarikh lain yang masih lama lagi.

Saya sedar kekangan ini. Situasi tidak mengizinkan untuk saya bertemujanji dengan doktor pakar dan mengetahui kedudukan terkini kesihatan saya. Saya reda walaupun jauh di sudut hati, ada sedih yang tersisa.

Beberapa hari ini saya seperti tidak stabil. Ada degupan jantung yang kencang tiba-tiba menyerang saya, ada kesukaran dalam perkumuhan saya, juga ada pendarahan yang mengelirukan yang mengganggu saya. Tentunya, emosi saya terganggu tetapi harus bagaimana saya lakukan?

Setiap malam saya tidur dalam doa. Terjaga sentiasa lebih awal daripada waktu jam penggera, dan mata berkelip enggan lena. Perut terasa membesar, pundi kencing terasa membengkak. Saya menahan rasa.

Saya seperti mahu menyendiri. Mahu menangis, mahu bermonolog, mahu tidak diganggu. Saya mahu menemani diri sendiri, memujuk hati. Ya, saya mahu begitu tetapi saya tidak mampu. Di bahu saya ada tanggungjawab, dan saya wajib menunaikannya.

Allah tidak sekali-kali menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu digalas. Saya tahu itu. Saya wajib menerima setiap jalinan cerita yang telah dilakar dalam takdir saya dengan tabah dan gagah. Allah ada. Dia penawar segala. Hanya Dia.

Hanya Dia.

Sunday, May 03, 2020

Makanan

Apa je saya makan hari ini?

Melihat menu berbuka puasa yang banyak dan pelbagai, timbul di Facebook saya, saya rasa sebu pula. Saya tak mampulah makan sebanyak begitu.

Hari ini saya masak kari ayam kampung dan sayur goreng. Kuih pula saya buat kuih ketayap enam ketul. Manakala air teh o ais sebagai penghilang dahaga.

Apabila azan berkumandang, kami makan nasi dan sedikit kuih. Kenyang usah cerita. Usai tarawih, kami hanya habiskan kuih ketayap (itu pun tak habis juga, ada lagi dua ketul) dan minum air teh o ais tadi. 

Cukuplah untuk mengisi perut sebelum tiba sahur nanti. Jadi bagaimana orang lain boleh makan lebih daripada itu? Jam sepuluh mata saya sudah layu. Perut sudah terisi, tak perlu dilayan lagi. Mata pula yang akan saya ladeni.

Begitulah adanya. Semoga Allah reda.

Kuih

Seawal 1 Ramadan lagi saya berusaha membuat kuih setiap hari. Tuhan tahu betapa saya tidak gemar memasak kuih (berbanding lauk pauk) tetapi demi PKP ini saya mencuba.

Pertama kali saya membuat kuih ketayap, saya rasa susah sungguh. Peluh menitik di dahi dek kepanasan dan kepayahan. Itu baru kuih ketayap. Belum lagi segala jenis puding dan kek!

Saya mengaku saya gagal. Kuih ketayap saya tiada rupa. Kuih gerodok telur saya lembik. Kuih cucur topi saya tidak serupa topi. Mungkin kuih onde-onde atau buah melaka sahaja yang nampak seperti ada budi bahasa sikit, tetapi suami saya pula tidak begitu menggemarinya. Dan popia sira, yang setakat ini masih menjadi.

Semuanya saya berguru dengan Google. Alhamdulillah teknologi masa kini amat memudahkan tetapi setakat berteori sahajalah. Praktikalnya saya memang gagal.

Nanti saya mahu mencuba kuih badak Kelantan pula. Suami saya suka, harap-haraplah ia menjadi.

Bilangan Kes

PENTING 
Laporan Kes Positif Harian dari 17 Mac 2020 

FASA 1
18/3/2020 => 117 Kes
19/3/2020 => 110 Kes
20/3/2020 => 130 Kes
21/3/2020 => 153 Kes
22/3/2020 => 123 Kes
23/3/2020 => 212 kes
24/3/2020 => 106 kes 
25/3/2020 => 172 Kes
26/3/2020 => 235 Kes
27/3/2020 => 130 Kes
28/3/2020 => 159 Kes
29/3/2020 => 150 Kes
30/3/2020 => 156 Kes
31/3/2020 => 140 Kes

FASA 2
01/4/2020 => 142 Kes
02/4/2020 => 208 Kes
03/4/2020 => 217 Kes
04/4/2020 => 150 Kes
05/4/2020 => 179 Kes
06/4/2020 => 131 Kes
07/4/2020 => 170 Kes
08/4/2020 => 156 Kes 
09/4/2020 => 109 Kes
10/4/2020 => 118 Kes
11/4/2020 => 184 Kes
12/4/2020 => 153 Kes
13/4/2020 => 134 Kes
14/4/2020 => 170 Kes

FASA 3 
15/4/2020 => 85 Kes
16/4/2020 => 110 Kes
17/4/2020 => 69 Kes
18/4/2020 => 54 kes
19/4/2020 => 84 kes
20/4/2020 => 36 kes
21/4/2020 => 57 kes
22/4/2020 => 50 kes
23/4/2020 => 71 kes
24/4/2020 => 88 kes
25/4/2020 => 51 kes
26/4/2020 => 38 kes
27/4/2020 => 40 kes
28/4/2020 => 31 kes

FASA 4
29/4/2020 => 94 kes
30/4/2020 => 57 kes
01/5/2020 => 69 kes
02/5/2020 => 105 kes
03/5/2020 => 122kes
04/5/2020 =>
05/5/2020 =>
06/5/2020 =>
07/5/2020 =>
08/5/2020 =>
09/5/2020 =>
10/5/2020 =>
11/5/2020 =>
12/5/2020 =>

Saturday, May 02, 2020

Webinar

Menjadi penjawat awam, kami tidaklah terkesan dengan PKP ini. Gaji kami dapat seperti biasa, sama sahaja jumlahnya. Bezanya, kami tidak pergi kerja.

Tetapi jangan sangka kami tidak bekerja. Arahan yang pelbagai sentiasa ada daripada pihak pentadbir kami. Bagi memastikan kami tidak berehat sesuka hati, kami diminta menghantar juga Rancangan Persediaan Mengajar setiap minggu dengan mencatat latihan yang kami beri kepada murid kami.

Juga, kami diarah mengikuti kursus secara dalam talian melalui Youtube. Kursus selama dua ke tiga jam kami hadap di rumah, dan mesti lulus ujian  yang diberi bagi melayakkan kami menerima sijil.

Kami patuh, demi memastikan gaji kami berkat.

Dua kursus saya dan suami hadap iaitu Google Classroom for Beginners pada 27 April dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan Google Calendar/Keep/Task pada 29 April, juga selama tiga jam dari 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Kedua-duanya disampaikan oleh Puan Aidaliza Azmi, dan sungguh memberi manfaat jika mahu dimanfaatkan.

Sekurang-kurangnya, kami tetap meneruskan tugas walaupun di rumah. Semoga Allah reda.