Saya bangkit jam 5.10 pagi untuk memulakan hari. Seperti janji saya pada Ma, saya sediakan gulai udang dan mihun goreng untuk dibawa ke rumah Ma nanti. Kami berpakat menyiapkan menu raya tahun ini untuk dihidang dan dinikmati di rumah Ma.
Adik ipar saya, Cik Nab memasak nasi dagang dan gulai ikan tongkol manakala adik saya seorang lagi, Aziah menyediakan gulai ayam. Husna pula diberi tugas menyediakan telur rebus.
Pakaian raya kami tahun ini sebenarnya hanyalah pakaian yang sedia ada. Suami saya berjubah hitam yang dibeli di Mekah beberapa tahun dulu. Saya pula berbaju kurung hitam, berkain sarung susun dan bertudung merah. Baju kurung itu sudah pernah saya pakai sekali ke sekolah awal tahun ini. Kiranya masih barulah juga.
Jam 8.00 pagi kami turun ke rumah Mek dahulu. Jam 8.30 barulah ke rumah Ma.
Kami menjamah nasi dagang sebagai sarapan sebelum memulakan acara solat raya yang diimamkan oleh Amin, dan khutbah dibaca Ustaz Rifqi.
Apabila jam menghampiri 10.00 pagi, kami beransur pula menuju ke rumah adik beradik di sekitar. Jam 11 pagi kami pulang ke rumah.
Ustaz Rifqi dan keluarga sedang menunggu kami untuk beraya. Hidangan yang ada cumalah biskut raya dan air oren.
Hari raya kali ini memang berbeza kerana ziarah hanyalah dari keluarga terdekat. Saya sangat menyukainya. Pun ada juga dua tetamu yang hadir pada raya pertama ini iaitu sahabat suami dari Meranti yang datang sekeluarga (4 orang) dan jiran sekampung yang datang sendirian.
Alhamdulillah, selesailah 1 Syawal kali ini, dan doa saya semoga kita sentiasa dalam reda Allah jua.
Abang dan adik-adik yang beraya berjauhan kali ini, sesungguhnya kalian tetap dalam ingatan kami.
No comments:
Post a Comment