Wednesday, May 27, 2020

Mimpi Raya

Malam tadi saya bermimpi pergi beraya di rumah adik-adik saya, Ismah dan Zahidah. Dalam mimpi saya itu, rumah mereka berada pada bangunan yang sama, Ismah di tingkat lima dan Zahidah di tingkat empat.

Mungkin saya rindu untuk beraya dengan adik-adik manja saya ini sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Maklumlah, selama ini tidak pernah kami beraya berasingan begini. Walaupun hanyalah raya, dan akan tiba lagi raya pada tahun-tahun mendatang (jika usia masih ada) tetapi rindu itu bukan boleh diusir-usir.

Selalu saya iri melihat keluarga yang tinggal berdekatan, seperti adik beradik suami saya yang membina rumah sebelah menyebelah sahaja dengan rumah Mek. Ya lah, rezeki mereka memiliki tanah luas yang muat untuk lima beradik. Sedangkan kami, tidak begitu.

Jika tinggal berdekatan begitu tentu kami boleh bertemu selalu-selalu. Kami adik beradik seingat saya bukan jenis yang gemar bergaduh atau bermasam muka, walaupun selalu berbeza pendapat dalam banyak hal. Kami boleh menerima perbezaan dan tidak ambil hati atas segala kesalahan. Jadi jika tinggal berdekatan pun tentu tiada masalah.

Pun begitulah, impian itu tidak mungkin dapat terlaksana. Rumah abang Lutfi di Terengganu, rumah saya di Kg Chenok, Aziah pula di Beta, Husna di Mulong, Rifqi di Johor, Muhammad di Pasir Mas, Ismah di Putrajaya dan Zahidah di Shah Alam.

Biarlah berjauhan, asal kasih kekal berpanjangan.

No comments:

Post a Comment