Saya sedar kekangan ini. Situasi tidak mengizinkan untuk saya bertemujanji dengan doktor pakar dan mengetahui kedudukan terkini kesihatan saya. Saya reda walaupun jauh di sudut hati, ada sedih yang tersisa.
Beberapa hari ini saya seperti tidak stabil. Ada degupan jantung yang kencang tiba-tiba menyerang saya, ada kesukaran dalam perkumuhan saya, juga ada pendarahan yang mengelirukan yang mengganggu saya. Tentunya, emosi saya terganggu tetapi harus bagaimana saya lakukan?
Setiap malam saya tidur dalam doa. Terjaga sentiasa lebih awal daripada waktu jam penggera, dan mata berkelip enggan lena. Perut terasa membesar, pundi kencing terasa membengkak. Saya menahan rasa.
Saya seperti mahu menyendiri. Mahu menangis, mahu bermonolog, mahu tidak diganggu. Saya mahu menemani diri sendiri, memujuk hati. Ya, saya mahu begitu tetapi saya tidak mampu. Di bahu saya ada tanggungjawab, dan saya wajib menunaikannya.
Allah tidak sekali-kali menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu digalas. Saya tahu itu. Saya wajib menerima setiap jalinan cerita yang telah dilakar dalam takdir saya dengan tabah dan gagah. Allah ada. Dia penawar segala. Hanya Dia.
Hanya Dia.
No comments:
Post a Comment