Saturday, May 16, 2020

Syawal Ini

Hari ini sudah 23 Ramadan 1441H. Syawal sedang mengintai-intai untuk mengambil gilirannya lagi seminggu. Pantas bukan masa berlalu? Seperti tidak terkejar oleh kita yang alpa ini.

Dalam suasana PKPB yang masih bersisa ini, suasana Syawal kali ini pasti akan berbeza nian. Sudah bersediakah kita untuk mematuhi SOP yang ditetapkan?

Pada saya, inilah Syawal yang saya impikan. Syawal yang tenang tanpa gangguan, selain bertemu keluarga terdekat. Ada juga rasa sedih dan sayu kerana adik Zahidah, Ismah dan abang Lutfi tiada di sisi keluarga, tetapi kami yakin ada hikmahnya yang akan terhurai suatu waktu nanti. Semoga adik Zahidah, Ismah dan abang Lutfi tetap berbahagia menyambut Syawal walaupun berjauhan.

Perancangan saya pada Aidilfitri yang bakal tiba ini hanyalah untuk ke rumah Ma dan Mek untuk bermaafan, dan seterusnya pulang ke rumah untuk beraya sendiri-sendiri. Harapnya semua saudara dan sahabat memahami yang aktiviti kunjung mengunjung sangatlah tidak digalakkan dalam suasana PKPB ini.

Jadi, bagaimanakah beraya sendiri-sendiri itu?

Bagi yang memiliki keluarga besar, nikmatilah segala juadah istimewa yang disediakan itu bersama-sama dengan penuh kesyukuran dan bersulam kemesraan. Tanpa tetamu, tentu lebih banyak ruang untuk bermesra dan bercerita juga bergelak ketawa. Bagi yang berdua sahaja seperti saya, raikanlah dengan sama-sama menonton rancangan TV yang menarik, juga sama-sama menyediakan juadah untuk makan tengah hari. 

Ah, apa-apa sahajalah aktiviti yang seronok boleh dilakukan, demi memenuhi tuntutan Syawal walaupun tiada tetamu. Pada saya, ia lebih istimewa begini kerana ada ketenangan di hati.

Semoga Syawal dalam PKPB ini tetap memberi makna yang akan dikenang suatu hari nanti.

Selamat Hari Guru.

😁😁

No comments:

Post a Comment