Saturday, May 09, 2020

Nasi Dagang

Ini percubaan pertama. Saya yang bagi idea pada suami untuk berbuka dengan nasi dagang dan dia setuju saja.

Entahlah kenapa (buang tebiatkah?) saya rasa mahu mencuba resipi nasi dagang tanak ini. Saya nampak macam mudah dan saya mahu lihat hasilnya. Ya, saya rajin menggugel resipi tau!

15 Ramadan semalam, saya realisasikannya.

Saya campur beras serindit dan beras pulut dalam nisbah 1:3 (agak-agaklah) menjadikannya secawan beras. Saya rendam selama 40 minit bersekali dengan setengah sudu kecil halba, bawang merah hiris dan halia hiris. Seterusnya saya masukkan santan setengah kotak kecil dan tanak dalam periuk nasi elektrik.

Sekejap aje dah masak. Baunya memang macam nasi dagang. Tapi rasanya kena tunggu nanti berbukalah ya!

Untuk lauk, saya sediakan kerutuk ayam kampung. Saya buat mudah-mudah je, malas nak bersusah-susah.

Saya kisar bawang merah, bawang putih, halia dan lengkuas. Saya tumis bunga lawang dan kulit kayu manis dan masukkan bahan kisar tadi juga sebatang serai dititik. Dah wangi tu saya masukkan pula rempah kerutuk adabi yang dibancuh dengan sedikit air. Seterusnya saya masukkan lapan ketul ayam yang sudah dipotong kecil dan sedikit air.

Apabila ayam dah empuk, saya masukkan santan, garam, gula, asam keping dan kerisik. Manisan pun saya masukkan juga sebab kerutuk kena manis sikit, baru sedap.

Apabila kuah pekat dan ayam empuk elok, saya padamkan api dan dekat berbuka nanti saya panaskan balik. Oh ya, saya siap masak jam 4 petang. Jadi lepas ni saya boleh rehatkan badan sebab air dan kuih suami saya akan beli di kedai sahaja nanti.




Sekian.

No comments:

Post a Comment