Tuesday, August 31, 2021

Mencintai Tanah Ini

MENCINTAI TANAH INI

Siapakah berani merobek angin musim sentosa ini
Sayapnya menebar jauh hingga ke lereng bukit dan denai-denai desa
Siapakah berani memancung damai negeri bertuah ini
Dengan pedang terhunus dendam berpercikan silau kebencian.

Sejarah pertiwi masih cermat tersimpan
Dalam album purbanya ngilu hiris cengkam penjajah
Berganti silih
Mencakar sukma ibunda
Hari ini pun terasa lagi akan pedih siatnya.

Degup ingin anak-anak bangsa
Masih kental mengisi mimpi
Membenteng tanah yang sesusuk ini
Dengan harga cinta tak tertawarkan
Dengan anyam kasih tak tercelakan.

Kemerdekaan yang kita genggam bukan kata hiasan
Seperti kedaulatan bukan hanya seuntai slogan
Telah berjanji kita atas nama bumi pusaka
Sepakat rela kita julang menjunjungnya ke puncak persada.

Marilah kita tentang perobek angin musim sentosa
Hingga luluh sayapnya melayang ke gurun-gurun yang saujana
Marilah kita lestarikan limpah rahmat
Bernafaskan kasih luhur
Dengan jiwa paling bening tunduk dan syukur.

Lim Swee Tin



Saturday, August 28, 2021

Mi Goreng

Bila memikirkan menu untuk hidangan malam, saya selalu buntu. Bukan seperti orang lain, suami saya jenis yang tidak lalu untuk ulang makan menu tengah hari. Terpaksalah saya memasak menu lain untuk makan malam.

Dia bukan jenis makan beria pun bila malam, tetapi tidak boleh tidak makan. Ada waktunya saya hanya sediakan roti atau biskut, dicecah teh atau kopi sahaja. Tetapi takkanlah begitu setiap kali. Jemu juga.

Saya pula, ok sahaja ulang makan makanan tengah hari tadi. Jika masih berbaki, saya akan habiskan pada waktu petang untuk tidak membazir. Jadi bila malam saya sudah kenyang. Memikirkan menu pada waktu perut kenyang memang payah. Apatah lagi untuk orang lain. Aduh!

Dulu, jika ada jemputan majlis tahlil atau solat hajat pada waktu malam, saya lega sungguh. Rasa seperti hilang beban yang memberat di bahu. Tapi sejak covid mengganas ini, mimpi sajalah untuk perkara sebegitu.

Paling mudah untuk saya siapkan untuk dia ialah mi goreng. Jujurnya, saya sudah rasa muak untuk menelan mi goreng buatan sendiri tetapi saya ulang masak juga berkali-kali kerana ia mudah dan tekak suami saya masih mampu menerima. Ada juga sesekali dia mengomen, mi berlengas sangatlah, kering sangatlah, macam-macam. Saya diam saja. Malas nak kata apa sebab saya goreng campak-campak saja. Waktu mengena, ia menjadi. Jika salah campak, lainlah rasanya!

Mudahnya mi goreng ini, saya tak perlu buat rempah yang renyah. Hanya hiris bawang, masukkan lauk dan fish ball, kicap dan sos tiram, sayur dan mi. Gaul, siap. Mudah sungguh, sampai saya pun dah jemu nak makan. 

Entahlah sampai bila episod malas masak ini saya perlu layan. Nak tunggu ada maid, bermimpilah!

Friday, August 27, 2021

Kabinet

Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
YB. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 
Timbalan Menteri : YB. Datuk Lim Ban Hong

Menteri Kanan - Menteri Pertahanan
YB. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri : YB. Datuk Seri Ikhmal Hisham bin Abdul Aziz

Menteri Kewangan
YB. Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Timbalan Menteri I : YB. Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri II : YB. Tuan Haji Yamani Hafez Musa

Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya 
YB. Datuk Seri Haji Fadillah Yusof
Timbalan Menteri : YB. Datuk Arthur Joseph Kurup

Menteri Kanan - Menteri Pendidikan 
YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin
Timbalan Menteri I : YB Senator Dato' Dr Mah Hang Soon
Timbalan Menteri II : YB Datuk Mohamad Alamin

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) 
YB Datuk Seri Mustapa bin Mohamed 
Timbalan Menteri : YB Eddin Syazlee bin Shith

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  (Tugas-Tugas Khas)
YB Datuk Dr Hj Abdul Latiff bin Ahmad
Timbalan Menteri : YB Datuk Mastura binti Tan Sri Dato' Mohd Yazid

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)
YB Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar
Timbalan Menteri : Datuk Wira Hajjah Mas Ermieyati binti Samsuddin 

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
YB Senator Tuan Idris bin Ahmad 
Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili
Timbalan Menteri : YB Dato' Hajah Hanifah Hajar Taib

Menteri Pengangkutan 
YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong
Timbalan Menteri : YB Dato' Henry Sum Agong

Menteri Alam Sekitar
YB Datuk Seri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Menteri : YB Dato' Dr Mansor bin Othman 

Menteri Sumber Manusia 
YB Datuk Seri Saravanan a/l Murugan 
Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Awang bin Hashim 

Menteri Wilayah Persekutuan 
YB Datuk Seri Shahidan bin Kassim 
Timbalan Menteri : YB Datuk Seri Jalaluddin bin Alias 

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat
YB Datuk Seri Rina Binti Harun 
Timbalan Menteri : YB Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff

Menteri Pengajian Tinggi 
YB Dato' Dr Noraini binti Ahmad
Timbalan Menteri : YB Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal bin Muhammad 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli 
YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan 
Timbalan Menteri 
YB Datuk Ali Anak Biju 

Menteri Dalam Negeri 
YB Datuk Seri Hamzah Bin Zainuddin
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Dr Haji Ismail bin Haji Mohamed Said
Timbalan Menteri II : YB Jonathan Yassin

Menteri Kesihatan
YB Tuan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar 
Timabalan Menteri I : YB Dato' Dr Noor Azmi bin Ghazali
Timbalan Menteri II : YB Datuk Aaron Ago Dagang

Menteri Pertanian dan Industri Makanan 
YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Hj Ahmad bin Hamzah 
Timbalan Menteri II : YB Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Salleh 

Menteri Pembangunan Luar Bandar 
YB Datuk Seri Mahadzir Bin Khalid
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Abdul Rahman bin Mohamad
Timbalan Menteri II : YB Datuk Haji Hasbi bin Habibollah 

Menteri Luar Negeri 
YB Dato' Saifuddin bin Abdullah 
Timbalan Menteri : YB Haji Kamarudin bin Jaffar 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna 
YB Datuk Alexander Nanta Linggi 
Timbalan Menteri : YB Dato' Rosol bin Wahid

Menteri Komunikasi Dan Multimedia
YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa 
Timbalan Menteri : YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
YB Datuk Seri Reezal Merican bin Naina Merican 
Timbalan Menteri : YB Datuk Sri Ismail bin Abdul Mutalib

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi 
YB Datuk Seri Dr Adham Baba 
Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Amzad bin Mohamed @ Hashim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi 
YB Tan Sri Noh bin Haji Omar 
Timbalan Menteri : YB Tuan Muslimin bin Yahaya 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi
YB Datuk Dr Hajah Zuraidah binti Kamaruddin 
Timbalan Menteri I : YB Datuk Seri Wee Jeck Seng 
Timbalan Menteri II : YB Willie anak Mongin

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan 
YB Datuk Seri Hajah Nancy binti Shukri 
Timbalan Menteri : YB Datuk Seri Dr Santhara Kumar a/l Ramanaidu

Menteri Perpaduan Negara 
YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique
Timbalan Menteri : YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal bin Wan Ahmad Kamal 

Menteri Belia dan Sukan 
YB Datuk Seri Ahmad Faizal bin Datuk Azumu
Timbalan Menteri : YB Senator Datuk Seri Ti Lian Ker

Sunday, August 22, 2021

Apa Yang Saya Rindu?

Jam sudah mahu ke angka sembilan pagi. Saya masih tergolek di katil. Sarapan tadi dibeli suami. Usai makan saya kembali ke bilik, pasang TV, dan berbaring malas di katil.

Saya ada dua kelas PdPR hari ini, jam 8.00 dan 12.30. Yang pertama sedang berlangsung sekarang. Saya sudah habiskan enam bab bersama mereka, dan tinggal lagi dua bab. Hari ini saya cuma mahu menguji ingatan mereka tentang topik tahun lepas jadi saya cuma beri soalan untuk mereka jawab. Mudah.

Mudah begini sesungguhnya tidak memberi kepuasan. Ada yang saya mahu lakukan tetapi tiada ruang. Ada yang saya rindu tetapi tidak terucapkan.

Apa yang saya rindu?

Rindunya saya mahu berada di bilik peperiksaan tempat kerja saya itu. Suasana yang tenang dan sekali-sekala riuh, memang mengujakan rasa. Tiba waktu kelas, bergegas saya mencari buku dan bahan, dan berjalan menuju anak-anak murid yang sedang menanti, lalu disapa dengan jeritan dari jauh tatkala ternampak saya, cikgu! 

Riuh kelas mereka, saya suka. Tawa dan usikan bersilih ganti, menceriakan jiwa. Mereka sudah dewasa, tetapi sifat anak-anak masih ada dalam jiwa tujuh belas tahun mereka. Senyum mereka mengubat rasa. 

Allahuakbar!

Lama benar suasana itu hilang. Saya rindu untuk belanja mereka minum, juga berkongsi coklat dengan mereka. Selalu mereka teruja dan berkata nak lagi! Ah..

Semoga cepatlah kami dapat kembali mengisi ruang sebegitu lagi. Saya sudah tidak tertahan menanggung rindu begini!

Saturday, August 21, 2021

Back to Square One

We're back to square one. 

As it is official now, allow me to vent my spleen. I just need to get this out of my chest. Feel free to skip reading, especially if you don't like to read about politics. 

Semasa Muhyiddin meletakkan jawatan, rata-rata kenalan saya di Sarawak agak bersedih. Mereka suka Abah. They drew comparison of him with the late Adenan Satem. Mungkin mereka tidak suka drama politik sekarang, tetapi jelas, mereka suka dan menyokong Abah. 

Jadi, persoalan saya, politik ini sebenarnya sokongan kepada individu atau kepada parti? Ismail Sabri vs Anwar Ibrahim. Yang bertandingnya individu, tetapi yang menentukan kemenangan adalah parti. Jadi, rakyat perlu sokong individu atau parti? 

Secara peribadi, as a human being, saya pun suka Muhyiddin. Perwatakannya baik. Tetapi cara PN membentuk kerajaan dan cara beliau menjadi Perdana Menteri, walaupun mengikut perlembagaan, tetap salah di mata rakyat. It is an insult to the people who gave the rightful mandate to PH in PRU14. Tapi ramai juga yang bersyukur bila Muhyiddin menjadi PM. Jadi, rakyat suka Muhyiddin, tapi tidak suka PN. Suka Muhyiddin, tapi tidak suka kabinet dan menteri beliau. How does that work? 

Yes, we can blame UMNO for all this recent conundrum. Menarik sokongan kepada Muhyiddin, kemudian beri sokongan kepada Ismail. Sedangkan Ismail jelas tidak patuh keputusan Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini dan kekal menyokong Muhyiddin. But suddenly UMNO said, all is forgiven and you are our Prime Minister. Apa ni?

Anwar dan pembangkang pula kata bukan salah mereka Muhyiddin letak jawatan. Itu salah UMNO. Tapi desakan mereka setiap hari untuk Muhyiddin mengundur diri dan laungan berterusan bahawa kerajaan sebelum ini gagal bukanlah suatu rahsia. Mereka kata merekalah penyelesaian. Mereka kata beri peluang pada Anwar. Tetapi setelah Muhyiddin akhirnya berundur, mereka tetap tidak mampu untuk membentuk kerajaan. Jadi desakan berterusan sebelum ini untuk apa? 

Akhirnya, kita sebenarnya menyokong individu atau komponen parti? Kalau ramai yang membenci UMNO dan PN, kenapa banyak rakyat yang menyatakan sokongan terhadap Khairy Jamaluddin untuk dicalonkan sebagai PM? Kenapa UMNO tidak mencalonkan KJ? Mereka ini mewakili suara parti atau suara rakyat?

Dulu semua, termasuk ahli politik parti komponen PN sendiri, asyik melaungkan perkataan "kerajaan gagal". Tapi akhirnya, "kerajaan gagal" yang sama kembali berkuasa. Muka yang sama juga. Jadi segala usaha dan emosi untuk kecelaruan politik dan ketidakstabilan negara selama ini untuk apa? Apa hasilnya? 

We're back to square one! 

Sudah-sudahlah berpolitik. Kerajaan atau pembangkang, sila duduk! Sehingga PRU15 tiba, rakyat sudah tidak kisah lagi siapa yang memerintah dan siapa yang jadi PM. Dalam keadaan sekarang, tumpukan sepenuh masa dan tenaga anda betul-betul untuk membantu rakyat dan negara. Bukan asyik nak tunjuk siapa yang lebih layak dan lebih bagus memerintah. 

Because frankly, I don't give a s**t!

(From FB Aimir Ma'rof)

Friday, August 20, 2021

Raniah

Anakanda Raniah binti Rosdi yang saya kasihi kini sedang ditidurkan kerana Covid 19. Anak manis yang sentiasa peramah dan mesra ini sedang diuji. Anak yang begitu dekat di hati saya, yang saya kasihi kerana Allah.
Saudara dan sahabatku, doakanlah Raniah. Dia masih kami perlukan. Anak-anak dan suaminya menanti dalam kerinduan. Ibunya apatah lagi, kehilangan kata namun masih penuh dengan harapan. Harapan agar puterinya Raniah disembuhkan Tuhan.

Ya Allah, Engkau berilah kesembuhan untuk anak ini. Hanya kepada-Mu kami bermohon. Perkenankanlah.

Amin.


 

Berita Terkini Hari Ini


Dah tak terkini pun. Dah empat jam lebih dah. Dah basi eh?

Tak apa lah. Ulasan saya bukan penting pun. Saya terima keputusan Agung walaupun hati saya kecewa. Semoga ada hikmahnya.

Saya tidak tahu bagaimana masa hadapan Malaysia. Saya tidak punya apa-apa kuasa untuk menentukan, saya hanya mampu menunggu. Semoga sejahtera.

Saya cintakan negara saya.


Wednesday, August 18, 2021

Diburu

Bertalu-talu saya menerima berita kematian orang terdekat yang berada di sekitar saya kerana Covid. Bermula dengan kakak ipar saya Rohaizan, kemudian ibu saudara jauh saya Mak Su Yah, jiran sewaktu kecil saya Sukri, dan terbaru hari ini ayah anak murid saya yang juga abang ipar sahabat saya, Sulaiman.

Yang sedang tenat dirawat kerana Covid juga ramai, antaranya dua orang jiran kami Dato' Rosdi dan Abang Dollah. Yang terjangkiti dengan gejala ringan dan dikuarantin tidak terkira bilangannya, dan semua mereka ini adalah jiran-jiran kami - penduduk Batu 8 Jalan Kuala Krai.

Saya terasa seperti sedang diburu. Entah siapa pula nanti yang akan menjadi mangsa, entah diri sendiri atau orang-orang yang saya kasihi. Ya Allah jauhkanlah!

Tidak mampu saya memikirkan getir perasaan berada dalam suasana seperti ini. Seperti sedang bertempur dan peluru yang tiba tidak bermata. Sungguh!

Ya Allah, ampuni dan lindungilah kami, dan kembalikan sejahtera untuk negara kami.

Tuesday, August 17, 2021

Titah Tuanku

Hari ini semua ketua-ketua parti telah dititah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Tuanku memulakannya dengan titah nasihat bahawa negara ketika ini dalam kemelut politik dan harus bersatu menghadapi malapetaka COVID-19 dan juga kemelesetan ekonomi. 

Tuanku Agong turut memberitahu mengenai lunas-lunas Perlembagaan, mencari calon Perdana Menteri yang dapat majoriti sokongan Ahli Parlimen, tetapi politik perlu berubah. 

Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru. 

Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri baru, tapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Tuanku Agong dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas suatu bentuk politik baru yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat.

Sumber FB DSAI

Monday, August 16, 2021

Letak Jawatan



📌 Muyhiddin maklum beliau kehilangan kepercayaan majoriti dewan rakyat, seluruh jemaah menteri letak jawatan.

📌 Muhyiddin maklumkan telah persembah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri kepada Agong hari ini

📌 Tindakan saya selaras dengan sumpah jawatan untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan pertahankan Perlembagaan - Muhyiddin

📌 Ikhtiar selamatkan kerajaan Perikatan Nasional tidak berhasil disebabkan ada pihak rakus rebut kuasa - Muhyiddin Yassin

📌 15 Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan kepada saya dan cadangan persefahaman rentas parti turut ditolak parti pembangkang - Muhyiddin

📌 Muhyiddin Yassin mohon maaf atas kekhilafan sepanjang menjadi Perdana Menteri

📌 Ini hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi - Muhyiddin Yassin

📌 Muhyiddin harap kerajaan baharu segera dibentuk supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa 

📌 Muhyiddin rakam penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus uruskan COVID-19

📌 Tempoh dua bulan ke hadapan sangat penting, negara dalam proses capai imuniti kelompok - Muhyiddin

📌 Jawatan PM bukan kemegahan, tetapi bebanan dan tanggungjawab berat kerana disandang dalam keadaan pandemik COVID-19 - Muhyiddin Yassin

📌 Muhyiddin optimis negara akan keluar dari krisis pandemik COVID-19 dalam masa terdekat

📌 Muhyiddin nyatakan tak akan sekongkol dengan kumpulan kleptokrat, tidak ganggu badan kehakiman, belakangi perlembagaan semata-mata untuk kekal kuasa 

📌 Muhyiddin harap dasar-dasar kerajaan yang baik akan dikekalkan pada masa akan datang

📌 COVID-19: Muhyiddin jamin semua rakyat Malaysia akan divaksin menjelang hujung tahun ini, lebih banyak nyawa akan diselamatkan

Sunday, August 15, 2021

Tazkirah

Kalimat "Hasbunallah wani'mal wakil" adalah sebuah zikir pendek, namun di dalam zikir ini terdapat kandungan makna yang luar biasa.

Di dunia ini, manusia acapkali merasakan suka dan juga duka yang silih berganti.

Walaupun sudah dijelaskan di dalam Al-Quran bahwasanya manusia itu akan diuji dengan rasa gelisah, tetapi orang yang beriman akan tetap mempercayai jikalau Allah Ta'ala akan selalu bersama mereka sehingga rasa kegalauan dan kegelisahan dapat diatasi.

Allah Ta'ala telah menceritakan tentang Rasulullah beserta sahabatnya dalam firman-Nya yaitu,

ٱلَّذِینَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُوا۟ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِیمَـٰنࣰا وَقَالُوا۟ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِیلُ

"(Yaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan, "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab". 

(QS. Ali Imran: 173)

Selain itu sahabat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, Ibnu 'Abbas Radhiyallahu anhu berkata bahwa "hasbunallah wa ni'mal wakiil" merupakan perkataan Nabi 'Ibrahim 'alaihis salaam pada saat beliau akan dilempar ke api.

Dan juga Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wa sallam mengatakan kalimat tersebut dalam hadist yang berbunyi,

"Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka," maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung". (HR. Bukhari no. 4563)

Saturday, August 14, 2021

Buku Lagi




Tujuh buah buku ini saya beli melalui Shopee. Saya simpan di sini untuk rekod.

"Mak, inilah ceritaku" ialah buku tentang seniwati Sarimah yang ditulis oleh anak lelakinya, Shahray. Saya terbaca tentang buku ini secara tidak sengaja sewaktu menggelintar nama Sarimah di Google, lalu timbul rasa mahu memilikinya. Saya mencari dan berjumpa di Shopee.

Enam lagi buku, saya beli dari satu kedai yang sama di Shopee. Asalnya saya mencari buku tulisan Ustaz Hasrizal, "Ma Oon Rizal" tetapi terjumpa pula buku-buku lain yang menarik minat saya di kedai itu. Apa lagi, semua saya beli.

Sekarang semuanya bertimbun di meja tepi katil saya, dan saya belek setiap kali ada ruang percuma.

Nasi Kerabu

Nak makan apa sarapan pagi ni? Seperti selalu, itulah soalan encik suami setiap pagi apabila dia mahu keluar membeli sarapan.

Dan seperti selalu, saya tidak tahu nak makan apa dan tidak kisah pun dia beli apa untuk saya. Tetapi saya tidak suka menyusahkan suami untuk berfikir, kerana jika saya jawab "apa-apa je lah" tentu dia buntu. Samalah dengan saya, bila saya bertanya keinginan orang (mahu apa ya?) tetapi dikembalikan kepada kita untuk memikir (apa-apa pun boleh), saya akan susah hati. Saya tidak tahu citarasa orang, saya takut saya silap membuat pilihan. 

Jadi apa yang pertama terlintas di fikiran, itulah yang saya suarakan.

Nasi kerabu golok. Lauk ayam.

Encik suami saya yang kacak itu terus pergi dengan senang hati. Saya menanti kepulangannya sambil membancuh seteko teh o ais kegemarannya. 

Nasi kerabu golok itu sudah banyak kali saya makan.  Sedaplah juga. Rasanya cukup, ayamnya boleh tahan. Harga pun murah, tiga ringgit je. Tak muak sebab tiada kuah tumis. Saya tak suka sangat nasi kerabu tumis, sebab itu saya pesan nasi kerabu golok.

Selang setengah jam, dia pulang. Saya menyambutnya di pintu, dia menghulur plastik berisi makanan untuk sarapan sambil berkata, "Ah sudah!"

Kenapa?

Rupa-rupanya nasi kerabu yang saya pesan sudah pun dibelinya, tetapi diberi pada orang! Mek mahu nasi kerabu itu untuk makan tengah hari. Yang tinggal cuma nasi ayam untuk saya.

Dia sudah berhenti di kedai berdekatan rumah kami untuk membeli nasi kerabu untuk saya, tetapi sudah habis. Dia risau jika saya kecewa tak dapat makan nasi kerabu pagi ini.

Aduh! Mahu ketawa pula rasanya. Nasi ayam pun bolehlah bang! Saya ok je. 

Sungguh? 

Kelakar juga ya. Suami saya ni risau berlebih-lebih kah atau dia buat-buat risau?

Nasi ayam itu pun sedap juga, sebab tidak muak sangat. Nasinya seimbang rasa dan ayamnya besar. Terima kasih encik suami belikan saya sarapan. Bila tak perlu masak pagi-pagi rasa besar benar syukurnya.

Alhamdulillah.

Wednesday, August 11, 2021

Cucur Lempuk

Minggu lepas, kawan suami saya beri kami sebekas lempuk durian. Kami kan cuma berdua, sebekas itu agak banyak bagi kami. Walaupun lempuk boleh tahan lama jika disimpan dalam peti, tetapi baunya boleh tahan kan?

Saya mencari idea untuk menjadikan lempuk itu enak dimakan. Jika dimakan begitu sahaja, suami saya kurang gemar walaupun sedap. Jadi saya teringat cucur lempuk yang Ma selalu buat dahulu, kami panggil "jjepuk lepok".

Ma celup lempuk itu dalam tepung dan goreng. Mudah. 

Saya teringat tepung naik sendiri yang saya beli raya tahun lepas sudah hampir luput tarikhnya. Saya perlu jadikan ia berguna. Lalu saya bancuh tepung itu dengan sedikit garam, serbuk kunyit dan majerin. Saya bancuh menggunakan air panas. Kemudian saya celup lempuk yang dibulat-bulat kecilkan, dan goreng dalam minyak panas.

Wah, sedapnya! Suami saya kata sedap dan rangup. Kali kedua saya celup juga pisang, pun suami saya kata sedap. Dan hari ini saya celup isi durian pula. 

Begitu saya mencari idea untuk memanipulasi makanan yang ada. Jika menjadi saya bahagia, gembira dipuji. Jika tidak sedap saya tak buat dah.

Rupanya tepung naik sendiri bila dibancuh air panas menjadi rangup sekali. Saya perlu beli lagi tepung ini selepas ini untuk cucur yang rangup.

Monday, August 09, 2021

Siti Sarah

Seingat saya, lagu Kesetiaan mula menaikkan nama beliau pada sekitar tahun 2003, ketika beliau baru berusia 18 tahun, baru tamat sekolah, dan baru lepas menyertai Bintang RTM (yang dimenangi Azharina Azhar dan turut disertai Misha Omar).
Waktu awal kemunculannya, vokalnya dikagumi ramai kerana lunak dan merdu tetapi penampilannya sering diusik dan ditertawa. Lumrah masyarakat kita, gemar body shaming. Tetapi siapa sangka beliau mampu bertahan sehingga ke hari ini dan dikurnia Allah kehidupan berkeluarga yang bahagia. Suami yang baik, anak-anak yang comel dan sihat, juga kehidupan yang selesa, apa lagi yang kita mahukan di dunia ini?

Dan hari ini, Allah memanggilnya pulang asbab Covid 19 yang kita semua takuti. Sebagai ibu mengandung, beliau berdepan risiko tinggi apabila dijangkiti dan itulah yang terjadi. Bayinya diselamatkan melalui pembedahan pada usia kandungan 30 minggu, dan kini memberi respon positif. Sedihnya, bayi comel Ayash Affan ini tidak sempat melihat ibunya di dunia. 

Sedih, tidak tahu kenapa kepergian Siti Sarah amat membekas di hati saya. Doa dipanjat untuknya, air mata mengalir kerananya. Bukan hanya saya, tetapi berjuta lagi rakyat Malaysia mengongsi pedih yang sama. Selalu saya mendengar berita kematian artis, tetapi kali ini ia seperti berbeza. Seperti yang saya rasa ketika Sudirman pergi dahulu. Yang menyentuh naluri seorang perempuan seperti saya.

Berehatlah dik. Kita tidak pernah kenal di dunia, tetapi saya tahu ada kebaikanmu yang Allah pandang, sehingga didoa dan ditangisi sebegini. 

Semoga roh almarhumah ditempatkan dalam kalangan hamba yang beriman.




Saturday, August 07, 2021

Menakutkan

Tiba-tiba ia menjadi sesuatu yang menakutkan. Tiba-tiba ia seperti terlalu dekat, sedang mendekat dan ada di sekitar saya. Tiba-tiba saya menjadi resah. Wajah-wajah semua yang saya sayang menerpa di mata.

Ma, adik beradik, anak-anak saudara, ipar duai, saudara mara, sahabat, anak-anak murid, jiran tetangga. Semua. Semua yang saya sayang.

Seperti terancam semuanya dengan penularan yang kian mengganas ini! Seperti tidak cukup doa-doa yang dipanjatkan, dan mahu dipanjangkan tanpa henti! 

Ya Allah! Ujian ini benar-benar hebat, menakutkan dan mendebarkan. Ya Allah! Perlindungan dari-Mu sangatlah kami harapkan.

Tiada tempat lain untuk kami meminta, hanya pada-Mu.