Dia bukan jenis makan beria pun bila malam, tetapi tidak boleh tidak makan. Ada waktunya saya hanya sediakan roti atau biskut, dicecah teh atau kopi sahaja. Tetapi takkanlah begitu setiap kali. Jemu juga.
Saya pula, ok sahaja ulang makan makanan tengah hari tadi. Jika masih berbaki, saya akan habiskan pada waktu petang untuk tidak membazir. Jadi bila malam saya sudah kenyang. Memikirkan menu pada waktu perut kenyang memang payah. Apatah lagi untuk orang lain. Aduh!
Dulu, jika ada jemputan majlis tahlil atau solat hajat pada waktu malam, saya lega sungguh. Rasa seperti hilang beban yang memberat di bahu. Tapi sejak covid mengganas ini, mimpi sajalah untuk perkara sebegitu.
Paling mudah untuk saya siapkan untuk dia ialah mi goreng. Jujurnya, saya sudah rasa muak untuk menelan mi goreng buatan sendiri tetapi saya ulang masak juga berkali-kali kerana ia mudah dan tekak suami saya masih mampu menerima. Ada juga sesekali dia mengomen, mi berlengas sangatlah, kering sangatlah, macam-macam. Saya diam saja. Malas nak kata apa sebab saya goreng campak-campak saja. Waktu mengena, ia menjadi. Jika salah campak, lainlah rasanya!
Mudahnya mi goreng ini, saya tak perlu buat rempah yang renyah. Hanya hiris bawang, masukkan lauk dan fish ball, kicap dan sos tiram, sayur dan mi. Gaul, siap. Mudah sungguh, sampai saya pun dah jemu nak makan.
Entahlah sampai bila episod malas masak ini saya perlu layan. Nak tunggu ada maid, bermimpilah!
No comments:
Post a Comment