Saya ada dua kelas PdPR hari ini, jam 8.00 dan 12.30. Yang pertama sedang berlangsung sekarang. Saya sudah habiskan enam bab bersama mereka, dan tinggal lagi dua bab. Hari ini saya cuma mahu menguji ingatan mereka tentang topik tahun lepas jadi saya cuma beri soalan untuk mereka jawab. Mudah.
Mudah begini sesungguhnya tidak memberi kepuasan. Ada yang saya mahu lakukan tetapi tiada ruang. Ada yang saya rindu tetapi tidak terucapkan.
Apa yang saya rindu?
Rindunya saya mahu berada di bilik peperiksaan tempat kerja saya itu. Suasana yang tenang dan sekali-sekala riuh, memang mengujakan rasa. Tiba waktu kelas, bergegas saya mencari buku dan bahan, dan berjalan menuju anak-anak murid yang sedang menanti, lalu disapa dengan jeritan dari jauh tatkala ternampak saya, cikgu!
Riuh kelas mereka, saya suka. Tawa dan usikan bersilih ganti, menceriakan jiwa. Mereka sudah dewasa, tetapi sifat anak-anak masih ada dalam jiwa tujuh belas tahun mereka. Senyum mereka mengubat rasa.
Allahuakbar!
Lama benar suasana itu hilang. Saya rindu untuk belanja mereka minum, juga berkongsi coklat dengan mereka. Selalu mereka teruja dan berkata nak lagi! Ah..
Semoga cepatlah kami dapat kembali mengisi ruang sebegitu lagi. Saya sudah tidak tertahan menanggung rindu begini!
No comments:
Post a Comment