Monday, August 09, 2021

Siti Sarah

Seingat saya, lagu Kesetiaan mula menaikkan nama beliau pada sekitar tahun 2003, ketika beliau baru berusia 18 tahun, baru tamat sekolah, dan baru lepas menyertai Bintang RTM (yang dimenangi Azharina Azhar dan turut disertai Misha Omar).
Waktu awal kemunculannya, vokalnya dikagumi ramai kerana lunak dan merdu tetapi penampilannya sering diusik dan ditertawa. Lumrah masyarakat kita, gemar body shaming. Tetapi siapa sangka beliau mampu bertahan sehingga ke hari ini dan dikurnia Allah kehidupan berkeluarga yang bahagia. Suami yang baik, anak-anak yang comel dan sihat, juga kehidupan yang selesa, apa lagi yang kita mahukan di dunia ini?

Dan hari ini, Allah memanggilnya pulang asbab Covid 19 yang kita semua takuti. Sebagai ibu mengandung, beliau berdepan risiko tinggi apabila dijangkiti dan itulah yang terjadi. Bayinya diselamatkan melalui pembedahan pada usia kandungan 30 minggu, dan kini memberi respon positif. Sedihnya, bayi comel Ayash Affan ini tidak sempat melihat ibunya di dunia. 

Sedih, tidak tahu kenapa kepergian Siti Sarah amat membekas di hati saya. Doa dipanjat untuknya, air mata mengalir kerananya. Bukan hanya saya, tetapi berjuta lagi rakyat Malaysia mengongsi pedih yang sama. Selalu saya mendengar berita kematian artis, tetapi kali ini ia seperti berbeza. Seperti yang saya rasa ketika Sudirman pergi dahulu. Yang menyentuh naluri seorang perempuan seperti saya.

Berehatlah dik. Kita tidak pernah kenal di dunia, tetapi saya tahu ada kebaikanmu yang Allah pandang, sehingga didoa dan ditangisi sebegini. 

Semoga roh almarhumah ditempatkan dalam kalangan hamba yang beriman.




No comments:

Post a Comment