Monday, January 31, 2022

Tentang Telur

Selain minyak masak yang mahal dan kurang bekalan, perkara sama juga berlaku pada telur ayam.

Sepuluh biji telur ayam gred C sekarang berharga RM4.00. Telur ayam adalah makanan termurah sebelum ini, tetapi kini tidak lagi. Ayam mahal, telur ayam mahal. Makanan laut usah cerita.

Lebih malang lagi, selain mahal, bekalan juga tiada. Kasihan sungguh kepada pembuat kek dan biskut, juga kuih muih berasaskan telur kerana mereka menanggung kos yang tinggi. Tetapi begitulah kenyataannya, pahit sekali.

Saya hanya mampu memohon doa dan berharap agar kerajaan Malaysia lebih peka dalam menjaga kebajikan rakyat.

Saturday, January 29, 2022

Mencari Minyak

Entah kenapa, sebuah negara pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia menghadapi masalah dengan minyak kelapa sawit. Bekalan tidak cukup. Harga mahal.

Dahulu, lebih sepuluh tahun dahulu, harga minyak masak dalam botol 5 kg hanya RM13.35 dan minyak masak paket 1 kg RM2.50. Sedikit sahaja bezanya dan saya tidak teragak-agak untuk membeli yang dalam botol.

Beberapa tahun lepas, harga minyak masak botol 5kg dinaikkan kerana subsidi ditarik, menjadi RM20.00 sebotol manakala harga minyak masak paket masih RM2.50. Jauh sangat bezanya, jadi saya mula menukar kepada minyak masak paket. Rasa tertipu pula bila membeli minyak masak botol.

Kini, minyak masak botol 5kg mencecah RM30.00 sedangkan minyak masak paket tetap RM2.50. Saya mahu terus membeli yang paket, tetapi bekalannya sangat kurang. Jarang-jarang ada di kedai, dan kalau ada pun hanya dibenarkan membeli sepaket seorang sahaja.

Kasihan pula pada golongan susah jika saya yang mampu ini pun turut berebut minyak masak paket, tetapi sebagai rakyat Malaysia saya mahu juga merasa subsidi minyak sawit. Apa pun sekarang saya sudah reda, saya beli juga minyak masak botol 5kg itu, kerana memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah menikmati minyak paket yang jauh lebih murah.

Cuma saya keliru. Kenapa bekalan minyak masak paket sangat terhad? Sepatutnya ia diperbanyakkan di pasaran kerana itu tandanya kerajaan prihatin dengan golongan susah, tetapi sebaliknya minyak masak botol 5 kg yang mahal itu yang dilambakkan di pasaran. Tahukah betapa terlukanya rakyat dengan situasi ini?

Tuesday, January 18, 2022

Hidup

Selalu sangat saya terbaca tentang keluhan mereka yang terkesan dengan kos hidup sekarang. Segalanya melonjak naik, kecuali gaji.

Ayam mahal. Ikan lagilah. Telur pun sama. Sayur, minyak, tidak lagi cukup sekali berbelanja dengan hanya dua keping not lima puluh. Jika seminggu ke pasar dua kali, bayangkan berapa habis sebulan untuk barang dapur sahaja. Belum lagi bil, ansuran, belanja sekolah dan segala macam.

Allahu akbar.

Memang tersangat mencabar dunia sekarang. Gaji bulan-bulan tidak lagi tertampung, mungkin perlu mencari sumber sampingan tetapi bagaimana?

Tabahlah. Itu ucapan yang sudah bosan didengari tetapi tiada lagi kata-kata lain yang boleh diucapkan. Laluan hidup memang tidak terkira likunya, semoga insan-insan yang memiliki tidak lokek untuk berkongsi. Usah berkira dengan siapa-siapa kerana apa yang kita punya bukan semua milik kita.


Sunday, January 16, 2022

Asiah dan Hatta

Asiah dan Hatta.

Pada pandangan saya, pasangan suami isteri ini sangat unik dari segala segi. Sifat dan fikrah kedua-duanya sangat berbeza bagai dua makhluk dari planet yang berlainan, tetapi telah dapat bertahan selama 20 tahun dalam alam rumah tangga dan memiliki 10 orang anak.

Saya tidak mahu mengulas tentang perbezaan mereka; atau pertelingkahan mereka; atau apa yang sedang riuh sekarang tentang kes saman si isteri yang dibantah suami; atau apa jua kisah yang kerap dipertonton oleh isterinya di media sosial setiap kali mereka bercanggah pendapat, malah pernah sehingga mahu bercerai; atau tentang sabarnya suami berdepan dengan karenah pelik isterinya. Bukan. Saya tidak kenal mereka secara peribadi maka saya tiada hak untuk memberi ulasan atau pandangan.

Apa yang saya mahu sentuh sedikit ialah tentang netizen yang galak memberi tafsiran. Mereka kata Hatta itu tidak mampu mendidik isteri, jika mereka di tempat Hatta, tentu Asiah sudah diceraikan.

Allahu Akbar. Kenapalah semudah itu menyimpulkan sesuatu yang kita tiada maklumat yang jelas dan sahih?

Usahlah mengandai-andai. Allah marah. Hatta bukan calang-calang manusia, dia seorang jurutera dan terpelajar. Dia tahu mana keutamaan dan mana picisan. Dia lebih kenal isterinya, siapa kita untuk menuduh itu ini?

Asiah memang suka menulis dengan nada provokasi. Saya mengikuti Facebooknya sejak 2012. Dari asalnya saya diterima sebagai rakan, tetapi apabila dia semakin dikenali kerana pelbagai kontroversi, dia mula membuang rakan-rakan Facebook yang tiada hubungan dengannya termasuk saya. Sudahnya saya hanya menjadi pengikut sahaja - boleh baca tetapi tidak boleh komen. 

Saya tiada masalah membaca penulisannya. Memang ada yang saya tolak, saya bantah dan saya tidak setuju, tetapi saya tetap membaca kerana pandangan dan ulasannya membuka ruang untuk saya memikir dan mencari. Begitu, dan tidak lebih dari itu.

Suaminya pula jarang-jarang ke udara di media sosial. Saya menjadi rakan Facebooknya, tetapi tulisannya tidak terlalu kerap saya sapa. Sesekali dia menulis selalunya berkaitan parti politik yang disokongnya, PAS.

Memang saya mengikuti kedua-duanya, tetapi cukup untuk saya membaca tulisan mereka sahaja tanpa mahu menilai lebih daripada itu. Biar segala penilaian saya tersimpan di dada saya sahaja kerana saya risau jika nanti tersilap nilai, mengundang pula kesilapan-kesilapan lain yang tentunya Allah murka.

Saturday, January 15, 2022

IPhone11

Entahlah, tidak tahu atas pengaruh siapa, hati saya teringin benar untuk memiliki set telefon pintar IPhone. Kata orang, ada kelas. Ya kah?

Kebetulan anak saudara saya yang minat berniaga itu menawarkan satu set IPhone terpakai yang masih tip top kondisinya dengan harga RM2000. Umpama bantal dihulur saat mata mengantuk, tidaklah mampu saya menolak. Terima kasih Amin, memberi pada masa yang betul.

Saya tahu kini di pasaran sedang dijual IPhone 13, dan model yang saya beli ini - IPhone 11 - sudah tiga tahun ke belakang. Tetapi saya baru mahu mencuba, biarlah bermula dengan rangkak merangkak dahulu.

Bunyi macam susah benar untuk membiasakan diri dengan IOS ya. Maklumlah sudah selesa dengan Android sejak 2011. Dan sungguhlah ia sesungguh-sungguhnya. Terasa Android jauh lebih mesra dan IOS ini ada banyak yang perlu saya terokai.

Banyak.

Saya masih belum mesra dengannya. Dan saya sedang berusaha. Jika yang kecil-kecil mungkin tiada masalah, tetapi saya ini godekan pada peranti sangat mendalam, bukan hanya untuk perkara asas. Saya mahu tahu segalanya.

Thursday, January 13, 2022

Anugerah

Sekitar jam 1.20 tengah hari tadi telefon saya berdering. Panggilan dari PKP masuk. 

Ti, saya nak tanya, tahun bila awak dapat APC hari tu?

Yang sebelum ni ke? 2012.

Sebelum tu?

2004.

Kena pangkahlah nama awak kali ini. Tadi pihak JPN beritahu Pengetua, kalau cikgu tu dah dapat APC dua kali, tak boleh dicalon lagi dah. Setakat dua kali seorang je untuk sepanjang tempoh perkhidmatan.

Oh gitu..

Nama awak sebenarnya tercalon untuk tahun ini tapi terpaksa dibuanglah, sebab dah dapat dua kali.

Tak apalah PKP, saya beres je..

Ok.

Tamat.

Saya tidak tahu apa rasa saya dengan makluman sebegini. Ada rasa gembira kerana sekolah mencalonkan nama saya untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, tetapi kerana say pernah menerima anugerah ini sebanyak dua kali sebelum ini, saya tidak layak.

Saya ok saja. Malah saya tidak berharap pun dengan apa-apa anugerah. Mereka beri, saya terima. Begitu. Cuma saya ada sedikit ulasan peribadi tentang isu ini.

Sebelum tahun 2002, penjawat awam yang menerima APC mendapat banyak keistimewaan. Gaji mereka dianjak secara melintang atau menegak (pergerakan gaji yang melangkaui rakan-rakan se'batch' posting yang menerima anjakan mendatar), seumpama mereka menerima anjakan dua tangga gaji. Selain itu mereka juga diberi hadiah tunai sebulan gaji, saham ASB, jam berjenama dan dirai di majlis yang diadakan di hotel.

Ramailah yang berharap untuk menerima APC dan ramai juga yang berasa iri dengan teman sendiri kerana APC. Waktu itu, penjawat awam dihadkan untuk menerima APC ini setakat dua kali sahaja. Tidak boleh lebih. Manakala bilangan penerima APC pula ialah lima peratus daripada bilangan kakitangan di sesebuah organisasi.

Memandangkan banyak pincangnya kaedah ini, selepas tahun 2002 pihak berkenaan telah meminda APC seperti mana yang sekarang. Tiada lagi anjakan gaji dan hadiah-hadiah yang banyak itu, sebaliknya diganti dengan hadiah tunai RM1000 sahaja. Bilangan penerima ditambah kepada lapan peratus, dan setiap guru boleh mendapat APC tanpa had selagi mereka belum bersara.

Dan itulah yang terbaik pada saya.

Entah kenapa, tahun ini syarat untuk menerima APC dipinda lagi tetapi saya tidak pasti pindaan ini setakat di peringkat JPN sahajakah atau sememangnya arahan pihak atasan. Pada saya, pindaan sebegini agak tidak sesuai kerana ia kembali kepada kaedah lama.

Tetapi begitulah, tiada apa yang kekal. Semua pun akan berubah.

Tuesday, January 11, 2022

DG52

Beberapa minggu lepas, saya diminta untuk mengisi borang permohonan kenaikan pangkat ke DG52 setelah enam tahun berada di gred DG48. Semua guru pun akan begitu kerana kenaikan pangkat kami adalah berasaskan Time-Based, mengikut tempoh masa 8-8-6-3. Selepas tiga tahun di DG52, saya akan memohon DG54 pula. In shaa Allah.

Seperti selalu, sebelum-sebelum ini pun apabila membuat apa-apa permohonan saya tidak pernah mahu menyusahkan orang. Segala borang, sijil, surat, dan apa dokumen pun saya urus sendiri. Bukan susah sangat, segalanya di hujung jari.

Tetapi apabila sesuatu itu mahu berlaku, ia berlaku juga. Surat lantikan pertama saya tiba-tiba terbang ditiup angin daj jatuh ke belakang kabinet kayu yang melekat di dinding bilik peperiksaan tempat saya bekerja. Tidak sempat saya menangkapnya. Allahuakbar!

Terpaksalah saya ke pejabat, meminta bantuan Kak Wan kerani untuk mencari kalau-kalau ada salinannya. Lama saya membelek fail peribadi saya, dalam debar dan harap. Alhamdulillah ia ada.

Sekarang saya hanya menyimpan salinannya sahaja kerana surat asal tidak dapat diambil kecuali kabinet itu dicabut. Rasanya tidak mungkin. Biarlah surat legenda itu berehat di situ walaupun saya terkilan kehilangannya.

Booster

Saya menerima suntikan vaksin Sinovac dos pertama pada 2 Jun 2021 dan dos kedua pada 23 Jun 2021. Tiada apa-apa kesan sampingan yang saya hadapi, selain sedikit bengkak pada tempat suntikan. 

Apabila kerajaan menyarankan pengambilan suntikan ketiga (booster) sekitar September lalu, saya menanti nama saya dipanggil. Rakan-rakan guru saya satu demi satu mendapat tarikh temujanji suntikan tetapi nama saya seperti dipandang sepi.

Lama saya menanti. Guru yang menerima suntikan satu dan dua kemudian daripada saya sudah ramai dipanggil, tetapi saya tetap tidak menerima apa-apa notis. Kerap saya menyemak MySejahtera kalau-kalau saya terlepas pandang tetapi hampa.

Jiwa saya tidak tenang jadinya. Kenapa begini lama saya menanti? Lalu saya menelefon beberapa klinik berhampiran untuk bertanya bolehkah saya walk in sahaja. Alhamdulillah, Klinik Farahain di Kok Lanas ada khidmat sebegitu.

Tanpa lengah, saya mengajak suami ke sana pada pagi Sabtu 27 November. Saya turut memaklumkan pada emak kalau-kalau emak mahu ikut sekali tetapi emak menolak.

Proses di klinik itu sangat mudah dan cepat. Sekitar setengah jam sahaja semua selesai. Lega rasanya.

Seperti suntikan-suntikan dahulu, yang ini pun tiada memberi kesan sampingan pada saya. Tiada demam, tiada sakit badan, cuma bengkak lengan sedikit untuk dua tiga hari.

Inilah ikhtiar saya. Sebagai rakyat yang mahukan kesejahteraan negara, saya patuh pada setiap saranan kerajaan. Tiada apa yang saya takutkan kerana ikhtiar sebegini selaras dengan perintah Allah juga.

Dan pada 5 Januari lalu, suami saya pula menerima suntikan ketiganya. Demam juga dia sehari, tetapi tidaklah teruk. Sekadar panas badan sahaja dengan suhu 37.8. 

Semoga Allah menjaga seluruh rakyat Malaysia dalam sebaik-baik jagaan.

Amin.

Sunday, January 09, 2022

Being 50

Once, when I was little I saw those people in their 50s were so old and weak. In my thought, my time to be 50 was very far away. So far away that I don't think it will come nearer. But it is now being with me. So near and I am embracing it.
Today, I am 50 years old. How do I feel?

Awesome!

First person wishing me Happy Birthday is my husband (after I reminded him last night and one more time this morning) and that is all. 

Then I received bundles of wishes via WhatsApp from my wonderful sisters and friends. Then I went to school.

My office mate, Hanani then arrived and wished me happy birthday. She gave me Telekung Siti Khadijah as a gift. Thank you my dear!  I went upstairs to find my rph file and met Maryam. She then gave me a caftan that she made herself as a gift. Oh my! I'm so touched with this kind of remembrance.

And now, I'm waiting for another birthday present. Haha!

Saturday, January 01, 2022

Tahun Baru

Saya baru pulang dari Langkawi dua hari lepas. Di sana, saya ceria sesungguhnya. Walaupun penat dengan pengisian yang padat tetapi saya gembira. Sesekali melangkah keluar dari rutin, terasa berbeza. Suami saya tidak bersama saya di sana tetapi saya sentiasa meletaknya di hati.

Di rumah dua hari ini, saya berkurung. Masih belum mahu saya keluar walaupun ujian Covid saya semalam negatif. Esok saya akan melakukan sekali lagi ujian dan barulah saya akan berani untuk keluar jika negatif keputusannya.

Di Langkawi saya sihat, alhamdulillah. Ada juga kebimbangan jika diganggu SVT sewaktu di sana tetapi tiada. Syukur ya Allah. Apa pun, baru sebentar tadi degupan jantung saya melaju, tetapi sebentar benar. Beberapa saat sahaja. Tidak sempat pun saya mengambil alat oximeter untuk mengukur kadar denyutannya, ia sudah kembali normal. Alhamdulillah.

Dan hari ini sudah tahun baru. Sudah 2022. Sudah akan menjadi lima puluh usia saya dalam sembilan hari lagi. 

Menyambut ketibaan hari ini ialah dua berita utama yang berlegar di media maya. Satu, Heliza Helmi bernikah. Dua, umrah disekat semula bermula 8 Januari.

Yang satu, semoga bahagialah. Dan yang dua, semoga tidak berpanjangan. Virus ini sudah meraja benar. Hanya pada Allah kita meminta perlindungan.

Selamat Tahun Baru.

Selamat Hari Ulangtahun Amal Nurkhayreen.