Pada pandangan saya, pasangan suami isteri ini sangat unik dari segala segi. Sifat dan fikrah kedua-duanya sangat berbeza bagai dua makhluk dari planet yang berlainan, tetapi telah dapat bertahan selama 20 tahun dalam alam rumah tangga dan memiliki 10 orang anak.
Saya tidak mahu mengulas tentang perbezaan mereka; atau pertelingkahan mereka; atau apa yang sedang riuh sekarang tentang kes saman si isteri yang dibantah suami; atau apa jua kisah yang kerap dipertonton oleh isterinya di media sosial setiap kali mereka bercanggah pendapat, malah pernah sehingga mahu bercerai; atau tentang sabarnya suami berdepan dengan karenah pelik isterinya. Bukan. Saya tidak kenal mereka secara peribadi maka saya tiada hak untuk memberi ulasan atau pandangan.
Apa yang saya mahu sentuh sedikit ialah tentang netizen yang galak memberi tafsiran. Mereka kata Hatta itu tidak mampu mendidik isteri, jika mereka di tempat Hatta, tentu Asiah sudah diceraikan.
Allahu Akbar. Kenapalah semudah itu menyimpulkan sesuatu yang kita tiada maklumat yang jelas dan sahih?
Usahlah mengandai-andai. Allah marah. Hatta bukan calang-calang manusia, dia seorang jurutera dan terpelajar. Dia tahu mana keutamaan dan mana picisan. Dia lebih kenal isterinya, siapa kita untuk menuduh itu ini?
Asiah memang suka menulis dengan nada provokasi. Saya mengikuti Facebooknya sejak 2012. Dari asalnya saya diterima sebagai rakan, tetapi apabila dia semakin dikenali kerana pelbagai kontroversi, dia mula membuang rakan-rakan Facebook yang tiada hubungan dengannya termasuk saya. Sudahnya saya hanya menjadi pengikut sahaja - boleh baca tetapi tidak boleh komen.
Saya tiada masalah membaca penulisannya. Memang ada yang saya tolak, saya bantah dan saya tidak setuju, tetapi saya tetap membaca kerana pandangan dan ulasannya membuka ruang untuk saya memikir dan mencari. Begitu, dan tidak lebih dari itu.
Suaminya pula jarang-jarang ke udara di media sosial. Saya menjadi rakan Facebooknya, tetapi tulisannya tidak terlalu kerap saya sapa. Sesekali dia menulis selalunya berkaitan parti politik yang disokongnya, PAS.
Memang saya mengikuti kedua-duanya, tetapi cukup untuk saya membaca tulisan mereka sahaja tanpa mahu menilai lebih daripada itu. Biar segala penilaian saya tersimpan di dada saya sahaja kerana saya risau jika nanti tersilap nilai, mengundang pula kesilapan-kesilapan lain yang tentunya Allah murka.
No comments:
Post a Comment