Apabila kerajaan menyarankan pengambilan suntikan ketiga (booster) sekitar September lalu, saya menanti nama saya dipanggil. Rakan-rakan guru saya satu demi satu mendapat tarikh temujanji suntikan tetapi nama saya seperti dipandang sepi.
Lama saya menanti. Guru yang menerima suntikan satu dan dua kemudian daripada saya sudah ramai dipanggil, tetapi saya tetap tidak menerima apa-apa notis. Kerap saya menyemak MySejahtera kalau-kalau saya terlepas pandang tetapi hampa.
Jiwa saya tidak tenang jadinya. Kenapa begini lama saya menanti? Lalu saya menelefon beberapa klinik berhampiran untuk bertanya bolehkah saya walk in sahaja. Alhamdulillah, Klinik Farahain di Kok Lanas ada khidmat sebegitu.
Tanpa lengah, saya mengajak suami ke sana pada pagi Sabtu 27 November. Saya turut memaklumkan pada emak kalau-kalau emak mahu ikut sekali tetapi emak menolak.
Proses di klinik itu sangat mudah dan cepat. Sekitar setengah jam sahaja semua selesai. Lega rasanya.
Seperti suntikan-suntikan dahulu, yang ini pun tiada memberi kesan sampingan pada saya. Tiada demam, tiada sakit badan, cuma bengkak lengan sedikit untuk dua tiga hari.
Inilah ikhtiar saya. Sebagai rakyat yang mahukan kesejahteraan negara, saya patuh pada setiap saranan kerajaan. Tiada apa yang saya takutkan kerana ikhtiar sebegini selaras dengan perintah Allah juga.
Dan pada 5 Januari lalu, suami saya pula menerima suntikan ketiganya. Demam juga dia sehari, tetapi tidaklah teruk. Sekadar panas badan sahaja dengan suhu 37.8.
Semoga Allah menjaga seluruh rakyat Malaysia dalam sebaik-baik jagaan.
Amin.
No comments:
Post a Comment