Dahulu, lebih sepuluh tahun dahulu, harga minyak masak dalam botol 5 kg hanya RM13.35 dan minyak masak paket 1 kg RM2.50. Sedikit sahaja bezanya dan saya tidak teragak-agak untuk membeli yang dalam botol.
Beberapa tahun lepas, harga minyak masak botol 5kg dinaikkan kerana subsidi ditarik, menjadi RM20.00 sebotol manakala harga minyak masak paket masih RM2.50. Jauh sangat bezanya, jadi saya mula menukar kepada minyak masak paket. Rasa tertipu pula bila membeli minyak masak botol.
Kini, minyak masak botol 5kg mencecah RM30.00 sedangkan minyak masak paket tetap RM2.50. Saya mahu terus membeli yang paket, tetapi bekalannya sangat kurang. Jarang-jarang ada di kedai, dan kalau ada pun hanya dibenarkan membeli sepaket seorang sahaja.
Kasihan pula pada golongan susah jika saya yang mampu ini pun turut berebut minyak masak paket, tetapi sebagai rakyat Malaysia saya mahu juga merasa subsidi minyak sawit. Apa pun sekarang saya sudah reda, saya beli juga minyak masak botol 5kg itu, kerana memberi ruang kepada golongan berpendapatan rendah menikmati minyak paket yang jauh lebih murah.
Cuma saya keliru. Kenapa bekalan minyak masak paket sangat terhad? Sepatutnya ia diperbanyakkan di pasaran kerana itu tandanya kerajaan prihatin dengan golongan susah, tetapi sebaliknya minyak masak botol 5 kg yang mahal itu yang dilambakkan di pasaran. Tahukah betapa terlukanya rakyat dengan situasi ini?
No comments:
Post a Comment