Saturday, January 01, 2022

Tahun Baru

Saya baru pulang dari Langkawi dua hari lepas. Di sana, saya ceria sesungguhnya. Walaupun penat dengan pengisian yang padat tetapi saya gembira. Sesekali melangkah keluar dari rutin, terasa berbeza. Suami saya tidak bersama saya di sana tetapi saya sentiasa meletaknya di hati.

Di rumah dua hari ini, saya berkurung. Masih belum mahu saya keluar walaupun ujian Covid saya semalam negatif. Esok saya akan melakukan sekali lagi ujian dan barulah saya akan berani untuk keluar jika negatif keputusannya.

Di Langkawi saya sihat, alhamdulillah. Ada juga kebimbangan jika diganggu SVT sewaktu di sana tetapi tiada. Syukur ya Allah. Apa pun, baru sebentar tadi degupan jantung saya melaju, tetapi sebentar benar. Beberapa saat sahaja. Tidak sempat pun saya mengambil alat oximeter untuk mengukur kadar denyutannya, ia sudah kembali normal. Alhamdulillah.

Dan hari ini sudah tahun baru. Sudah 2022. Sudah akan menjadi lima puluh usia saya dalam sembilan hari lagi. 

Menyambut ketibaan hari ini ialah dua berita utama yang berlegar di media maya. Satu, Heliza Helmi bernikah. Dua, umrah disekat semula bermula 8 Januari.

Yang satu, semoga bahagialah. Dan yang dua, semoga tidak berpanjangan. Virus ini sudah meraja benar. Hanya pada Allah kita meminta perlindungan.

Selamat Tahun Baru.

Selamat Hari Ulangtahun Amal Nurkhayreen.




No comments:

Post a Comment