Thursday, February 22, 2024

Perodua Axia

Ini cerita tertunda. Kami telah membeli sebuah kereta Perodua Axia model G sebagai kereta ketiga kami pada 13 Disember 2023 yang lalu. Kami cuma menunggu selama dua minggu sahaja untuk mendapat kereta itu, tidak lama kerana model G ini tidak begitu popular.

Semoga kereta Proton Axia ini menjadi kereta yang baik dan dapat berbakti dengan setia. Amin. 

Wednesday, February 21, 2024

Mesyuarat Pertama


Mesyuarat Guru Kali Pertama Sesi 2024/25 akan berlangsung pada 2 Mac nanti bertempat di Bilik Mesyuarat sekolah kami, SMK Kampong Chengal.

Sudah bertahun-tahun kami bermesyuarat kali pertama di hotel, tetapi kali ini kami lakukannya di sekolah sahaja.


2017 - Hotel Reinassance (Grand Renai sekarang)
 
2018 - Hotel mana, lupa...  Riverview kot.

2019 - Hotel Perdana

2020 - Hotel H-Elite
 
2021 - batal (musim PKP covid)
 
2022/23 - Langkawi (nama hotel lupa)

2023/24 - Hotel Perdana (saya tak hadir, cuti sakit)

Sebenarnya perancangan awal, pentadbir memilih untuk bermesyuarat di Sutra Beach Resort, Terengganu tetapi ada suara-suara guru yang hebat meminta untuk tidak dilaksanakan di situ. Mereka tidak mahu memandu sejauh itu dan meninggalkan keluarga selama satu malam. Susah, kata mereka.

Pengetua yang baik hati akur sahaja. Maka keputusan muktamad, mesyuarat sahaja di sekolah. Sukalah hati guru-guru tersebut. Alhamdulillah.

Jujurnya di pihak saya, saya rasa agak kecewa. Saya suka kalau mesyuarat di tempat peranginan begitu, boleh merehatkan minda juga. Bukan lama pun, sehari cuma. Boleh santai-santai dengan kawan-kawan dan lupakan sejenak hal rumah tangga. Tetapi siapalah saya untuk memberi pandangan dan cadangan. Akur jualah akhirnya.


 

Friday, February 16, 2024

Pak Su Mat

Telah pulang ke rahmatullah bapa saudara kami, Tn. Hj. Muhammad bin Omar pada jam 6.30 petang, Isnin 12 Februari 2024 pada usia 79 tahun (lahir 1945).

Beliau yang kami panggil Pak Su, ialah adik bongsu Mek, dan mereka cuma dua beradik seibu sebapa. 

Adik beradik Mek yang lain, yang berlainan ibu dan juga berlainan bapa, semua telah meninggal dunia.

Kini hanya Meklah satu-satu yang masih tinggal. Semoga Allah menjaga Mek selalu. Semoga roh Pak Su dicucuri rahmat.

Sajak Sebuah Ingatan

Ingatan ini seringkali hadir mengetuk fikiran
walaupun puas kuusir agar pergi jauh-jauh.

Pergilah
jauh.

Ingatan ini tetaplah menghuni setiap ruang fikiran
walaupun telah kutekan butang padam berulang-ulang.

Tetaplah
datang.

Gagal, aku gagal melarikan diriku dari ingatan ini yang selalu ada.

Selalu
ada. 

Wednesday, February 14, 2024

Adik Aqil

Sesekali,
ingin kurangkulmu dalam pelukan erat dan membisik ke telingamu rasa syukurku.

Syukur yang sungguh-sungguh.

Kerana pada hadirmu ada terlalu banyak hikmah yang Tuhan kirimkan untuk manusia seperti aku.

Engkau murni, aku tidak.

Engkau membawa sejuta seri buat aku yang kusam kelam.

Terima kasih Aqil, menjadi sinar, menjadi cahaya, menjadi penyeri. Engkaulah anugerah.

Monday, February 12, 2024

Hari Letih

Ahad, 11 Februari 2024. Sudah hari ketiga sekolah bercuti akhir sesi. Saya masih seperti selalu (sejak September), bangkit pagi di rumah mek. Selalunya saya cuma uruskan mek sementara menanti suami pulang bersama sarapan. Tetapi pagi ini, saya merajinkan diri untuk melakukan aktiviti lain juga.

Saya cuci bilik air. Saya basuh kain kotor mek. Saya gosok baju suami saya. Saya cuci sink dapur. Kemudian barulah saya uruskan mek - bagi mek kumur-kumur dan bancuh susu untuk mek basahkan tekak sebelum bersarapan sebentar lagi.

Sudahnya, baru jam 8.00 pagi saya sudah rasa letih.

Pulang ke rumah, lesu benar badan saya. Terus saya merehatkan diri di katil dan lena sejam. Pukul 9.45 pagi baru saya bangkit.

Kali ini saya uruskan rumah pula -  membasuh kain, mengemas dapur dan menggosok. Maka letihlah kembali badan saya. Tidak tercapai akal saya bagaimana orang boleh mengurus rumah seharian?

Mujur hari ini ada kenduri, saya tak perlu memasak tengah hari. Jam 2 petang kami keluar menuju ke tempat kenduri pertama di rumah rakan guru saya, Hasmah di Limbat. Kenduri kedua pula di rumah ipar kepada ipar saya di Salor. Alhamdulillah, kenyang saya makan.

Jam menghampiri 4 petang baru saya sampai semula ke rumah. Kali ini saya teruskan dengan menyiapkan makan malam pula. Saya buat mihun goreng untuk dibawa ke rumah mek malam nanti.

Begitulah. Selesai saja solat Isyak, saya sudah tiada daya untuk berjaga lagi. Selamat malam. 

Thursday, February 08, 2024

Bersara

Mendekati cuti akhir sesi 2023/24 ini, sekolah kami kehilangan tiga orang guru kerana bersara. Kebetulan, tarikh mereka bersara sama - 1 Mac 2024.

Tn. Hj. Azan Halmi genap usia 60 tahun dan bersara wajib selepas berkhidmat selama lebih 30 tahun, dan 17 tahun di SMK Kg Chengal.

Pn. Hjh. Arney pula memohon untuk bersara awal, pada usia 56 tahun (walaupun memilih 60 tahun sewaktu menandatangani borang pencen dahulu) atas faktor kesihatan. Beliau berkhidmat selama 28 tahun, dan berada di SMK Kg Chengal selama 9 tahun.

Dan Tn. Hj. Zawawi, PK Kokurikulum kami, turut memilih bersara awal, juga atas faktor kesihatan. Beliau berusia 58 tahun, telah berkhidmat selama 34 tahun dan merupakan guru perintis yang membuka sekolah ini pada 2006.

Terima kasih semua. Selamat bersara, semoga terus diberi kesihatan yang baik dan tenang menempuh usia persaraan di sisi keluarga tercinta. 





Monday, February 05, 2024

Teman



Tahukah
apabila teman itu seiringan
akrab bagai tiada batasan?

Selama mencipta persahabatan
segala cerita menjadi perkongsian
ada suka kita keriangan
ada duka kita kesedihan
rasa yang sama kita abadikan
dalam jiwa selalu bertautan

Pelukan kasih sebegini indah
biar terus dapat tercurah
tersemi abadi sampai Jannah

Teman
ada doa untuk kalian dalam setiap sujudku

Wednesday, January 31, 2024

Jamuan










Minggu ini minggu jamuan di sekolah kami. Bermula Ahad sampai hari ini Rabu, setiap hari ada jamuan kelas.

Hari ini semua kelas Tingkatan 4 mengadakan jamuan. Meriah betul. Seperti semalam dan sebelumnya, saya akan melangkah dari satu kelas ke satu kelas untuk bersama-sama meraikan hari gembira mereka ini.

Di kelas 4C1, saya disambut dengan gembira. Cikgu, marilah masuk... Jemput mereka bila melihat saya terpacak di pintu. Rupanya saya tetamu pertama mereka. Ya lah, hari masih pagi, baru jam 9 saya sudah sampai.

Saya teruja sebenarnya untuk ke kelas mereka berbanding kelas-kelas tingkatan 4 yang lain. Bukan ingin membanding, tetapi cara mereka memesrai saya membuatkan saya rasa dikasihi dan diperlukan. Begitu. Dan apa lagi yang cikgu mahu selain itu?

Mereka menghulur cenderamata, dan mempersilakan saya menjamah menu yang banyak disediakan. Terima kasih anak-anak. Guru kelas mereka pun hebat juga, Cikgu Rasida yang peramah dan mesra.

Tahun depan, saya tidak lagi mejgajar kelas mereka tetapi saya akan tetap mendoakan mereka sejahtera dan cemerlang selalu.

Anak-anak 4C1 yang cikgu kasihi - Shurfa, Ameer, Mirza, Umi, Ainaa, Aqilah, Husna, Akif, Maisarah, Sophia, Madihah, Arissa, Amna, Atiqah, Hanim, Syafiena, Zarif, Syahida, Insyirah, Adam, Alya, Nazrul, Abu dan Qayyim.
 
 


 

Saturday, January 27, 2024

Melecur

Wahai keropok losong, kenapa engkau meletup? Habis memercik ke tangan dan jariku sampai melecur. Bukan sedikit - satu, dua, tiga, empat, lima! Ya, lima tempat berlaku kelecuran. Dua di lengan kiri, dua di lengan kanan dan satu di jari manis kiri.

Sakitlah juga. Tapi sakit tu tak kisah sangat sebab bukan sakit teruk pun. Yang tak best, nanti ada parut!

Harap taklah... 

Friday, January 26, 2024

Satu Cerita Cinta

Di hari ia melahirkan cintanya
ia berkata kepada kekasihnya
“Kita tidak usah berjanji untuk setia
kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta.”

Di hari perkahwinannya
ia berkata kepada kekasihnya
“Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta.”

Di hari-hari kemudiannya
ia berkata kepada dirinya
“Perkahwinan kadang-kadang mengajar kita
melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama.”

Zurinah Hassan
Keberangkatan, 1990
Dewan Bahasa & Pustaka

Media Sosial

Semakin tahun, semakin pelbagai media sosial yang membanjiri maya. Ada yang sudah pupus seperti Friendster dan MySpace sejak Facebook melanda pada 2007, tetapi masih banyak yang muncul dan menambah koleksi variasi.

Boleh dikatakan, apabila saya tahu saja ada media sosial baru, saya akan mendaftar diri di situ. Semua saya ada - Facebook, Instagram, Twitter (X), Linkedln, Pinterest dan juga TikTok.

Tetapi saya masih meletakkan Facebook di tempat pertama walaupun ramai yang sudah beralih ke TikTok. Kenapa?

Saya ini bukan peminat video. Saya lebih suka tulisan. Jadi TikTok tidak sesuai dengan saya. Saya hanya membukanya sekali-sekala sahaja, dan itu pun tidak lama. Jemu. Ya, saya mudah jemu dengan video.

Berbeza dengan Facebook, ia ada banyak maklumat yang saya gemari. Dari berita terkini, rakaman aktiviti rakan-rakan, juga pandangan-pandangan bernas daripada tokoh-tokoh tertentu yang banyak memberi pengetahuan baru kepada saya. Tidak kiralah dalam isu apa, saya cuba mencari semuanya. Pendidikan, agama, sukan, hiburan atau apa saja.

Sungguh, saya masih setia dengan Facebook. Saya tahu Facebook kini sudah tidak digemari oleh golongan anak muda sejak wujudnya TikTok. Baguslah. Saya suka Facebook dikuasai golongan bijak pandai, kerana mereka lebih matang apabila berbincang. Semoga nanti Facebook menjadi temapt yang lebih ilmiah buat golongan veteran seperti kami.

Sunday, January 21, 2024

Sakit Hati

Saya selalu sakit hati membaca pandangan-pandangan sebegini tentang Matematik. Cara mereka memperlekeh subjek Matematik sebenarnya menunjukkan betapa dangkalnya otak mereka.

Tahulah anda tidak pandai Matematik, tetapi tidak perlulah menjustifikasikan kelemahan anda itu dengan mengatakan subjek Matematik Tambahan tidak berguna. Kalau setakat nak mengira bil elektrik dan barang dapur, mak mentua saya yang tak pernah pergi sekolah itu pun pandai. 

Saya malas nak senaraikan kepentingan dan kebergunaan ilmu Matematik dalam kehidupan. Tak perlu pun, kerana mereka yang mencemuh akan tetap mencemuh, dan yang tidak minat Matematik akan tetap tidak minat.

Cuma sebagai pempengaruh, usahlah menulis status seperti ini walaupun dalam nada sarkastik. Ia sangat hodoh kerana interpretasi pembaca berbeza-beza. Cubalah menulis dengan nada positif demi kebangkitan minda anak bangsa.

Sekian.



Sekian.

Friday, January 12, 2024

Rumah Cinta

Dari rumah mek, saya berjalan kaki menuju ke rumah ma. Setiap pagi minggu begitulah, usai sarapan saya akan melangkah dengan laju ke rumah ma.

Hari ini langkah saya terhenti di atas titi, betul-betul di hadapan rumah ma. Saya memandang sayu rumah kayu yang sudah berusia 40 tahun itu. Rumah yang terbina dari impian seorang isteri dan hasil keringat arwah ayah, benar-benar memaknakan hidup saya.

Masih jelas dan terang dalam ingatan saya saat rumah ini dibina ketika saya berusia 10 tahun. Masih terngiang-ngiang suara ayah bercerita tentang rumah yang dalam pembinaan. Saya suka mengayuh basikal dari rumah sewa kami di Kedai Mulong pada waktu petang sebaik pulang dari sekolah menuju ke tempat rumah kami dibina di Batu 8. Indah kenangan itu.

Pun ayah cuma sempat menghuni rumah ini selama 15 tahun 3 bulan 26 hari sahaja. Tidak lama tetapi irama kasih sayang ayah sentiasa berlagu di setiap sudut sepi rumah tua ini.

Kini rumah ini cuma dihuni ma, berteman cucu lelakinya buat sementara. Anak-anak lain sudah membina kehidupan pada suasana yang berbeza. Sesekali pulang, rumah ini terasa meriahnya dengan hilaian tawa cucu-cucu ma. Pada hari lainnya, ia sepi.

Jika ditanya, saya mahu sekali menghuni rumah ini dan menjaga ia sebaiknya tetapi saya tidak pasti impian itu akan tercapai atau tidak. Saya sayang rumah ini kerana ia lambang cinta ayah kepada seluruh keluarganya, juga tanda terlaksananya sebuah tanggungjawab yang tidak ternilai. Walaupun tidak semegah Taj Mahal - terlalu jauh sekali - yang menjadi lambang cinta Shah Jahan kepada Mumtaznya, rumah ini menjadi mercu tanda sebuah kecintaan yang hakiki.
 


Tuesday, January 09, 2024

Selamat Ulangtahun


 Sudah 52 tahun usia saya hari ini. Alhamdulillah. Semoga Allah terus beri saya kesihatan yang baik dan kebahagiaan hidup dunia akhirat.

Tiada apa yang istimewa, hanya satu pertambahan usia yang kita raikan.

Gambar: Puan Hajah Azizah (Pengetua) menyampaikan hadiah hari jadi untuk saya. Terima kasih.

Monday, January 08, 2024

Salahkah

Saya suka berkongsi dengan memberi. Apa sahaja yang saya beli, saya suka letak di tempat umum untuk sama-sama nikmati. Tidak kiralah apa pun, makanan atau keperluan lain.

Kisahnya, saya selalu membeli sekotak air mineral yang mengandungi 24 botol 600 ml air dan meletakkannya di sebelah meja kerja saya. Beberapa botol akan saya simpan dalam peti sejuk saya, sebab saya suka air sejuk. Saya kuat minum air putih, jadi sekotak itu tahannya tidak sampai sebulan. Apabila kawan saya meminta, saya beri saja percuma. Ada juga yang bayar seringgit walaupun saya menolak. Tak apalah, saya terima juga.

Selain air mineral, saya juga menyimpan air kotak dalam peti saya. Bila saya meminta murid-murid membantu saya membuat apa-apa kerja, saya hadiahkan mereka air kotak dan mereka seronok.

Apa yang saya tidak gemar ialah, apabila rakan guru saya sesuka hati mengambil air mineral atau air kotak saya dalam jumlah yang banyak untuk tujuan tertentu. Contohnya, mengambil 5 air kotak dari peti saya dan diberi kepada muridnya sewaktu ketiadaan saya. Kemudian baru maklum kepada saya dan tentulah saya akan kata ok. Tetapi hakikatnya saya terasa diperguna. Kenapa tidak beli sendiri untuk murid-muridnya?

Juga ada yang mengambil air mineral saya untuk diberi kepada guru yang bertugas di bilik mesyuarat, tanpa meminta kebenaran pun. Hanya dengan berkata, saya ambil air mineral ya dan terus ambil lima botol dibawa ke bilik mesyuarat. Tentulah saya akan kata ok, tetapi saya terfikir kenapa ambil air mineral saya untuk guru-guru itu?

Saya serba salah. Salahkah saya mempunyai perasaan begitu? Perasaan digunakan sesuka hati. Pada hal air mineral itu milik peribadi, bukan harta sekolah.

Entahlah. Buntu pula. 

Saturday, January 06, 2024

Jumaat Pertama

Seperti selalu, saya bangkit sekitar sejam sebelum Subuh untuk mengambil sedikit ruang berteleku di hadapan-Nya. Dan seperti selalu, sejak empat bulan belakangan ini saya bangkit pagi di rumah mek.

Suami saya pun seperti selalu, akan ke masjid untuk solat Subuh dan nanti pulang bersama sarapan untuk kami. Mek juga, seperti selalu akan terus terbaring di katilnya, menanti kami datang menguruskannya.

Cuma, fizikal saya tidak terasa seperti selalu. Ada sengal-sengal di betis, ada rasa lemah di badan dan selera makan pula tiada. Badan juga terasa seram sejuk. Demamlah ini.

Saat menyambut suami saya pulang, kelihatan dia terhincut-hincut berjalan. Kaki abang bengkak, sakit - katanya. Allahuakbar. Baru saja saya mahu mengadu saya demam, bila melihat dia sakit begitu, tidak jadilah pula.

Tetapi apabila nasi kerabu saya hanya dijamah beberapa suap, dia bertanya juga. Saya demam, bang. Oh...

Dalam demam begitu pun, saya sempat selesaikan basuhan kain, menyidai dan turun ke rumah ma sebentar. Kemudian jam 8.45 pagi kami pulang ke rumah kami.

Sampai saja di rumah, terus saya telan dua biji paracetamol dan tidur. Lama juga, sampai pukul 11 pagi baru saya bangkit. Badan rasa segar sedikit, tetapi kasihan pula melihat suami saya terbaring di ruang tamu tidak boleh berjalan. Kakinya makin bengkak. Lalu apa perlu saya buat? Marilah kita ke klinik nanti bang, kita ambil grab. Ajak saya, tetapi ditolak.

Selepas makan tengah hari, badan saya lemah kembali. Saya tidur lagi. Pukul 5.30 petang saya telan lagi dua biji paracetamol. Suami saya masih begitu. Masih sakit.

Memandangkan tiada perubahan positif, kami kena ke klinik juga malam ini. Klinik Ehsan Ketereh kami tuju selepas solat Isyak. Mujur tidak lama menunggu, dan doktor memberi ubat gout untuk suami saya.

Jam 10.15 malam kami sampai di rumah semula bersama sebungkus nasi goreng yang kami beli di kedai. Sebungkus untuk dua orang, itu pun tak habis.

Selepas makan ubat, kami tidur dengan harapan agar esok tiba dengan kesembuhan. Amin.

Friday, January 05, 2024

Bonia Baru

Sudah lama saya tidak berbelanja untuk sebuah beg tangan mahal. Mahal pada sayalah, bukan mahal sangat pun. Sebelum ini, pada tahun 2015 saya pernah membeli beg tangan jenama Coach dengan harga RM970, dan beg itu masih elok lagi cuma saya jarang guna kerana bentuknya agak tidak praktikal walaupun cantik.

Itulah beg termahal dalam hidup saya.

Minggu lepas, beberapa hari sebelum sekolah buka, saya tiba-tiba terasa ingin membeli beg baru. Terus saya mencari sesuatu yang berbaloi di Zalora dan saya menemuinya. Kali ini saya tidak berfikir panjang, terus check out dan place order.

Rabu semalam ia tiba, dan terus saya menggayakannya ke sekolah pada Khamis. Saya suka. 

Beg jenama Bonia, corak honeycomb dan berharga RM1259, tetapi dengan voucher yang diberi saya hanya membayar RM947.

Semoga ia tahan lama sehingga saya pencen.

Amin.





Tuesday, January 02, 2024

26 Tahun


Selamat Ulangtahun perkahwinan kita yang ke-26. Semoga Allah terus memberi rahmatnya buat kita.

26 tahun. Separuh usiaku bersamamu. 

Monday, January 01, 2024

Tahun Baru

Saya mulakan tahun baru dengan sebuah kesyukuran. Bangkit pagi masih di tempat sama. Wajah-wajah di sekeliling saya masih ceria. Alhamdulillah.

2024 saya sambut dengan penuh harapan. Tiada apa yang berubah - masih seperti kelmarin juga - perlu teruskan hidup biar apa pun cabaran.

Tuhan, terima kasih untuk setiap detik yang Engkau uji, setiap kurnia yang Engkau beri, setiap hikmah yang Engkau lampiri, semuanya ada makna buat kami. Semoga jalan di depan kami Engkau permudah, dan Engkau kuatkan langkah kami ke arah syurga-Mu.