Saturday, May 15, 2010

Kenangan Piala Thomas

Saya selalu mendengar tentang piala Thomas, tetapi tidak pernah ambil tahu tentang pertandingan itu sehinggalah pada tahun 1988. Saya di tingkatan empat waktu itu, dan sedang bercuti di rumah. Entah macam mana, saya tidak mengikutinya di TV (saya rasa TV di rumah rosak waktu itu) tetapi mendengar ulasan selari di radio sahaja. Waktu itu sedang berlangsung perlawanan semi final antara Malaysia dan Indonesia. Kenyataannya, tiada siapa yang meletak harapan pada Malaysia. Semua tahu kekuatan Indonesia dan kerapuhan skuad Malaysia yang sudah sekian lama tidak melangkah ke final. Hanya setakat semi final sahaja. Piala Thomas digilir oleh Indonesia dan China, setelah Malaysia membawa pulang buat kali terakhir pada 1967. Memang waktu itu Malaysia tidak meletak harapan yang tinggi. Ke semi final sudah memadai.

Saya masih ingat, perlawanan pertama ialah antara Misbun Sidek dan Icuk Sugiarto yang dimenangi Icuk, dalam tiga set. Seterusnya Foo Kok Keong turun sebagai perseorangan kedua bertemu Eddy Kurniawan dan Foo juga tewas, straight set. Ini menjadikan Indonesia mendahului 2-0. Mereka agak selesa dan begitu optimis akan menang pada perlawanan ketiga seterusnya menempah tempat di final.

Rashid Sidek turun sebagai perseorangan ketiga, berhadapan dengan pemain muda Indonesia Ardy Wiranata. Rashid yang baru berusia 20 tahun waktu itu rupa-rupanya begitu mudah menjinakkan Ardy dengan straight set. Rashid menang dan ini memberi nafas buat Malaysia.

Beregu utama Malaysia Razif dan Jalani Sidek mengambil tempat untuk menentang beregu utama Indonesia, Hartono dan Gunawan. Kemenangan adik mereka menjadi semangat buat Razif dan Jalani yang memenangi perlawanan ini dalam 3 set. Kali ini kedudukan terikat 2-2.

Malam sudah larut, ayah emak dan adik-adik sudah masuk ke bilik tidur, tetapi saya masih melayan ulasan selari di radio. Dengan kedudukan terikat begini, saya enggan berganjak dari radio kecil itu dan mujur ayah memberi izin saya membawa radio itu ke bilik saya. Aziah sudah lena di sebelah tetapi saya masih mendengar radio!

Perlawanan seterusnya ialah antara Cheah Soon Kit dan Ong Beng Teong menentang pasangan Lim Swee King dan Bobby Ertanto. Walaupun hanya mendengar dari radio, debaran yang saya rasai sangat hebat. Pada set pertama, prestasi Cheah Soon Kit sangat mengejutkan. Sekian lama Malaysia ketandusan aksi 'killer' dari pemainnya, Cheah mengembalikan semua itu. Jumping smash yang menjadi, permainan jaring yang bagus dan persefahaman yang hebat dengan Ong, memberikan kemenangan kepada Malaysia pada set pertama.

Di set kedua, Indonesia pula mengganas. Walaupun Indonesia menang set ini, mereka sangat tertekan dengan semangat melawan pasangan Malaysia. Pada suatu ketika, Bobby dan Lim sampai jatuh tertiarap untuk mengembalikan pukulan smash Cheah. Dengan semangat yang begitu menyala, akhirnya Malaysia menang pada set ketiga dan mengetepikan Indonesia untuk melangkah ke final, bertemu China.

Kemenangan yang di luar jangka ini menjadi berita hangat pada keesokan harinya. Surat khabar dan tv tidak henti-henti menyiarkan berita tentang kemampuan Malaysia melangkah ke final Piala Thomas setelah 18 tahun menanti. Semua pihak mula membuka mata dan serta merta pemain-pemain badminton negara menjadi tersohor. Sebelum ini tiada siapa yang mengenali Cheah Soon Kit, tetapi dia tiba-tiba diangkat sebagai wira.

Pada perlawanan final, Malaysia dengan mudah 'diratah' oleh China untuk kemenangan 3-0. Segalanya bagai anti klimaks tetapi kejayaan ke final sudah cukup mengujakan.

Bermula di sinilah, Malaysia mula menjejaki kembali Piala Thomas. Target untuk merangkul piala itu pada 1990 tidak berhasil, apabila tewas di final. Akhirnya ia menjadi nyata pada 1992, di tempat sendiri dengan pemain-pemain yang lebih kurang sama kecuali Misbun Sidek yang tidak lagi bermain, Rashid sebagai perseorangan pertama, Foo Kok Keong sebagai perseorangan kedua dan Kwan Yoke Meng perseorangan ketiga. Beregu pula, pasangan Razif Jalani kekal sebagai beregu utama manakala Ong Beng Teong diganti dengan Soo Beng Kiang untuk berpasangan dengan Cheah Soon Kit.

Awalnya, pada peringkat kumpulan Malaysia menang dengan England tetapi tewas pada Korea Selatan 2-3, yang mana ini menipiskan peluang untuk bergelar juara.

Tetapi jika sudah tertulis rezeki Malaysia, entah kerana apa Korea yang hebat itu tersungkur pula di tangan England menyebabkan kedudukan menjadi terikat. Akhirnya Malaysia terpilih ke quarter final atas perkiraan set yang dimenangi. Bertemu China, Malaysia mengganas lagi. Akhirnya Malaysia menang dan bertemu Indonesia di final.

Saya menonton perlawanan akhir itu sendirian di ruang tamu di rumah. Waktu itu saya baru tamat matrikulasi dan sedang menunggu panggilan universiti. Tentu sahaja TV menjadi sahabat sejati! Tiada satu perlawanan pun yang saya terlepas menonton.

Kali ini bagaikan tiada apa yang boleh menyekat Malaysia. Dengan semangat 'Malaysia Boleh', pasukan Malaysia menewaskan Indonesia 3-1. Sebaik Soon Kit meraih mata kemenangan, saya rasa ingin melompat, tetapi jam waktu itu menunjukkan pukul 12.35 malam, sangat tidak sesuai! Ayah pula, tiba-tiba sahaja keluar dari biliknya dan bertanya, "Malaysia menang dah?" Rupa-rupanya dia belum tidur lagi! Mungkin mengikuti perlawanan melalui radio...

Sungguh, tiada yang dapat menggambarkan perasaan gembira yang terbit di hati rakyat Malaysia waktu itu. Pasukan badminton pula bagai menerima durian runtuh kerana mendapat pelbagai sumbangan termasuk sumbangan tanah dari kerajaan negeri! Hebat sekali! Oh ya, pengurus pasukan badminton Malaysia waktu itu ialah Tan Sri Elyas Omar yang sangat hensem itu... hehehe!!! Beliau juga menjadi glamour kerana berjaya membawa skuad badminton negara sebagai juara Piala Thomas.

Selepas 1992, segalanya bagai bukan milik Malaysia lagi. Segalanya tidak menjadi, sehinggalah ke hari semalam. Malaysia gagal lagi....


No comments:

Post a Comment