Wednesday, May 05, 2010

Natrah. Cinta. Rusuhan. Air mata.


Pertama kali mendengar tentang Natrah ialah pada sekitar tahun 1983, sewaktu saya masih di sekolah rendah. Waktu itu filem Jasmin sedang dalam penggambaran dan filem ini berinspirasikan kisah Natrah. Watak Jasmin dilakonkan oleh Noraini Jane, yang kini menjadi isteri Raja Ashman Shah, putera kedua sultan Perak. Filem ini membolehkan Rosnani Jamil meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia tahun itu.

Jun 1989, saya dalam tingkatan lima, dan sedang bercuti penggal di rumah selama beberapa minggu. Ada banyak naskhah majalah Dewan Masyarakat di dalam bilik saya (yang saya kongsi bersama adik saya Aziah) dan saya tidak berapa pasti dari mana Aziah mendapatkannya. Mungkin beli, mungkin pinjam. Waktu itu cuti sekolah saya tidak serentak dengan sekolah kementerian. Sebelah pagi adik-adik saya akan ke sekolah dan saya tinggal di rumah bersama emak dan adik saya Ismah yang baru berusia dua tahun. Suasana yang aman tenteram sebegitu memberi ruang yang banyak untuk saya menelaah naskhah-naskhah Dewan Masyarakat itu.

Permulaannya, saya tertarik dengan keluaran Mei 1989, dengan gambar Natrah sebagai penghias muka depan dan tajuknya “Nasib saya malang – Natrah”.

Membelek majalah itu, saya membaca temubual saudari Fatini Yaacob dengan Natrah yang waktu itu menetap di USA dengan penuh khusyuk. Dari awal rencana hingga tamat, saya tidak berhenti walau sekejap. Dan, saya menangis teresak-esak sewaktu membaca rencana itu. Simpati saya pada Natrah tidak terungkap. Betapa berlikunya hidup yang dilalu, namun dia tetap mampu bertahan.

Naskhah pertama itu membawa saya untuk membelek lagi naskhah-naskhah sebelumnya iaitu keluaran Februari hingga April. Dan saya menangis lagi.

Dari majalah Dewan Masyarakat itulah saya mengenali dan memahami sejarah Natrah. Seorang gadis Belanda yang menjadi rebutan keluarga angkatnya dan ibu bapa kandungnya pada 1950, yang membawa kepada rusuhan dan kematian. Seorang gadis manis yang riang dan manja, yang amat cinta pada suaminya Mansor Adabi tetapi terpisah tanpa rela hingga ke akhir hayat. Betapa menderitanya dia!

Lama tiada sebarang cerita dan kisah tentangnya di akhbar, tiba-tiba pada Julai 2009, berita kematiannya diterima. Saya terkejut, dan hati saya tersentuh lagi. Saya tertanya-tanya, adakah Natrah menemui bahagia dalam hidupnya sebelum dipanggil pulang?

Apabila terbaca tentang pembikinan buku Natrah – cinta, rusuhan, air mata oleh Pn. Fatini Yaacob (wartawan yang menemubual Natrah 20 tahun lalu), saya rasa tidak sabar untuk memilikinya. Saya meminta adik saya dapatkan buku itu di KLIBF baru-baru ini, malangnya mereka gagal mendapatkannya untuk saya.

Dengan perasaan tidak sabar, saya cuba memesan melalui internet (mphonline.com). Berkali-kali cubaan saya gagal kerana kad kredit saya bermasalah. Akhirnya saya gunakan internet banking, dan alhamdulillah pesanan saya dijawab dan saya menerima buku setebal 474 halaman yang dinanti-nanti itu pada Isnin 3 Mei yang lalu.

Hari ini saya tamat membacanya, dengan linangan air mata. Pun saya gembira dengan penamat buku ini, yang digarap dengan baik oleh Pn. Fatini. Sekurang-kurangnya saya lega kerana akhirnya Natrah bertemu bahagia juga, walaupun dalam tafsirannya sendiri.

Tidak perlulah saya ulas lebih dalam. Jika anda gemarkan kisah benar yang penuh liku dan pengajaran ini, bacalah buku ini. Ia benar-benar memberi sentuhan tersendiri dalam menyelami jiwa insan seperti Natrah.

No comments:

Post a Comment