Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru 2010

Hari ini acara sambutan hari guru berlangsung di sekolah. Bermula dengan senamrobik pada jam 7.45 pagi, diikuti sukaneka dan berakhir dengan acara di dewan. Meriah juga, tapi seperti biasa ada rasa bosan singgah di jiwa.

Di Malaysia, guru adalah profesion yang paling banyak dikritik tetapi pada masa yang sama paling popular. Ramai siswa siswi tidak kira bidang apa sekali pun mensasarkan guru sebagai kerjaya selepas mereka tamat belajar. Mungkin pada mereka kerjaya guru paling senang, paling rileks dan gaji pula besar.

Tetapi apa yang mereka tidak tahu ialah dugaan yang perlu dihadapi oleh guru sebenarnya sangat besar dan banyak. Guru seringkali menjadi mangsa keadaan, sentiasa berhadapan dengan situasi yang menekan dan serba salah dalam melaksanakan sebarang tindakan. Guru kini menjadi manusia keliru, antara beban, tugas dan tanggungjawab.

Apa pun, keikhlasanlah yang menjadi benteng dalam segenap perkara. Semoga saya tergolong guru yang ikhlas dalam mendidik, tanpa mengharap apa-apa pulangan selain kejayaan anak-anak didik saya.

Saya tidak mahu menjadi lilin. Saya tidak mahu diri terkorban sebelum waktunya. Biarlah saya menjadi matahari yang tidak pernah jemu memancarkan sinar pada alam tanpa merosakkan diri...

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment